Friday, October 2, 2015

CCIG, UUM jalin kerjasama iktiraf profesionalisme anak seni

GABUNGAN Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) berjaya mendapat kepercayaan pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menjalin kerjasama dalam membantu meningkatkan profesionalisme penggiat perfileman dan muzik tempatan khususnya dalam aspek pengajaran dan pembelajaran.


Kerjasama itu kelak menjurus kepada peluang yang bakal diberikan UUM kepada ahli CCIG yang mendapat pentauliahan rasmi dari persatuan itu dalam memperoleh peluang menjadi pengajar sambilan atau meneruskan pengajian dalam bidang berkaitan industri kreatif di kampus berkenaan.

Kerjasama itu secara rasmi dimeterai dalam satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara CCIG dengan UUM yang berlangsung di Kafe Skrin, Ukay Boulevard, Hulu Kelang, 
.

MoU itu ditandatangani Penolong Naib Canselor UUM, Prof Dr Norshuhada Shiratuddin yang mewakili kampus itu, manakala CCIG diwakili Pengerusinya, Jurey Latiff Rosli.


Hadir sama menyaksikan MoU itu ialah Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman dan Presiden Persatuan Produser Filem Malaysia (PFM) yang juga Ahli Lembaga Penasihat CCIG, Datuk Yusof Haslam. Turut bersama, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Kolej Sastera & Sains UUM, Dr Rosli Mohammed dan Timbalan Pengerusi CCIG, Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

Prof Dr Norshuhada berkata, sejarah industri kreatif di UUM bermula sejak lima tahun lalu dan tiga tahun lalu program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Komunikasi diperkenalkan yang bakal menyaksikan kumpulan graduan pertama seramai 60 pelajar akan menamatkan pengajian mereka tahun depan.


25 artis lulus sambung belajar di UUM

“Sebelum ini, UUM perkenalkan kumpulan pertama pelajar bidang kreatif menerusi program khas seramai 25 artis yang terbabit termasuk Zed Zaidi, mereka sudah jadi graduan tahun lepas. UUM setakat ini tawarkan kursus berkaitan filem, muzik, animasi dan media interaktif.

“Kita juga kini ada seorang felo dari kalangan anak seni iaitu Datuk Wah Idris, dan tahun lepas UUM memberi ijazah kehormat doktor falsafah kepada Datuk M Nasir. Kita sedang mempertimbangkan untuk menjemput Puan Habsah Hassan pula selepas ini. UUM sedia terima anak seni dalam industri kandungan kreatif untuk melanjutkan pengajian meskipun mereka tidak mempunyai kelayakan akademik kerana pengalaman mereka akan dijadikan asas untuk berpeluang menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana. Ia tertakluk pada pentauliahan yang diberikan CCIG.

“Peluang jadi pengajar juga akan diberikan berdasarkan pengalaman ahli CCIG. Kita akan beri bayaran yang sesuai mengikut profesionalisme seseorang anak seni kerana itu amalan di UUM. Kami juga tawarkan pengajian menerusi PJJ (Program Jarak jauh) kepada anak seni yang berminat sambung belajar,” katanya.

Sementara itu, Jurey dalam ucapannya menyambut baik kesudian UUM membantu ahli CCIG dalam mengiktiraf tahap profesional penggiat industri kandungan kreatif  berdasarkan pengalaman dan pencapaian.

UUM muncul universiti keempat terima CCIG

“UUM adalah universiti tempatan keempat yang bekerjasama dengan CCIG dalam aspek ini selepas Universiti Malaysia Sabah, Universiti Multimedia Malaysia dan Universiti Malaya, manakala selepas dalam masa terdekat ialah Universiti Kolej Yayasan Sabah.

“Penggiat seni dalam industri kandungan kreatif dapat berkongsi pengalaman dengan warga universiti menerusi peluang menjadi pengajar dengan bayaran sesuai mengikut profesionalisme. MoU ini untuk memberi garis panduan kepada pihak universiti supaya lebih mengiktiraf penggiat seni yang mempunyai pencapaian dan pengalaman yang ditauliahkan CCIG untuk mereka dibayar sesuai mengikut kualiti pengalaman mereka dari segi kos bayaran untuk mengajar.

"Sebabnya, sebelum ini ada yang cuma bayar RM100 atau RM300  saja kepada penggiat seni yang berpengalaman ketika jadi pengajar sambilan di universiti. MoU ini juga adalah satu tanda pengiktirafan UUM kepada ahli CCIG untuk jadi pengajar dan juga yang mahu menyambung pengajian sama ada dalam bidang Sarjana Muda, Sarjana mahupun peringkat Doktor Falsafah.

“CCIG juga gembira kerana pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) turut memberi persetujuan untuk mengiktiraf profesional penggiat seni menerusi pentauliahan CCIG,” kata Jurey sambil menjelaskan jumlah keahlian CCIG kini mencecah 6,216 orang

http://www.tabloidseni.com/#!CCIG-UUM-jalin-kerjasama-iktiraf-profesionalisme-anak-seni/c5b1/55eb4bd70cf24e84f7623ceb 

No comments:

Post a Comment