Friday, October 21, 2011

ADA UBAT ATASI FILEM TAHYUL

Pengerusi LPF, Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap


Sejak akhir-akhir ini, filem seram sering menjadi perdebatan apatah lagi ada antaranya melibatkan isu sensitiviti agama. Wujud pihak yang mendesak agar filem genre ini segera 'ditamatkan' riwayatnya memandangkan ia semakin menjadi-jadi. 


Hal ini turut mendapat reaksi daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, yang menganggap filem sedemikian wajar dihentikan. 



Bukan sahaja dikatakan semakin terpesong daripada landasan dan banyak menerjah unsur-unsur tahyul, tetapi juga mampu memberi pengaruh buruk kepada penonton, terutamanya golongan muda. 



Sebagai mengambil contoh filem Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham, dilihat terlalu banyak melanggar sensitiviti agama sehingga mencetus polemik di kalangan masyarakat kita. 



Bukan sahaja pelakon dan pengarah filem itu dipersalahkan, tetapi pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) juga turut diheret sama. 



Kredibiliti dan ketelusan LPF dalam menilai sesuatu karya mula dipertikaikan. Apakah badan ini benar-benar menjalankan tanggungjawabnya atau sekadar menangguk di air keruh? 



Namun sampai bila kredibiliti LPF mahu disanggah? Zass mendapatkan Pengerusi LPF, Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap (gambar), bagi merungkap setiap isu yang berbangkit ini. 



ZASS: Boleh Datuk terangkan apa sebenarnya garis panduan untuk penerbitan sesebuah filem di Malaysia?

Datuk Raja Azahar: Secara dasarnya, garis panduan diwujudkan oleh manusia. Semasa menerbitkan garis panduan ini, pihak LPF sudah berunding dengan beberapa agensi kerajaan dan juga penggiat seni. Harapan LPF apabila perkara ini melibatkan semua pihak ini, mereka memahami. Ini kerana setiap garis panduan dibuat dalam pengetahuan mereka dan bukan diberikan kepada mereka. 

ZASS: Sesebuah filem mendapat kritikan berdasarkan tiada ketelusan LPF semasa menjalankan proses suntingan. Ini kerana ada babak sepatutnya tidak ditayangkan, terlepas pandang daripada LPF?

Datuk Raja Azahar: Tidak dinafikan perkara tersebut boleh berlaku kerana ia secara umum. Interpretasi setiap orang mungkin berlainan. Latar belakang ahli panel juga bukannya sama. Tetapi dalam peringkat pengurusan LPF, jika sesebuah filem bertemakan agama, LPF akan menyerahkan ia kepada mereka yang mahir dalam bidang keagamaan untuk ditonton dan ditapis. Begitu juga filem yang menerapkan aksi (isu keselamatan), LPF mendapatkan ahli panel berpengalaman mengenai soal keselamatan. Ahli panel yang dilantik LPF adalah mereka yang mempunyai pengalaman melebihi 30 tahun dalam satu-satu bidang. Seharusnya ahli-ahli ini sedar mengenai apa yang mereka perlu tonton dan tapis. 

ZASS: Adakah pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut terlibat dalam proses tonton tapis, memandangkan pihak LPF tiada kepakaran dalam bidang keagamaan?

Datuk Raja Azahar : Selepas filem Hantu Bonceng, kami mula memanggil pihak Jakim. Mereka bukanlah panel, sebaliknya bertindak sebagai penasihat LPF. Mereka akan memberi pandangan daripada sudut hukum-hukum agama. Ingin ditegaskan, semua ahli panel terdiri daripada pegawai LPF sahaja, tiada orang luar terlibat. 

ZASS: Berapa ahli panel yang terlibat dengan proses tonton dan tapis ini?

Datuk Raja Azahar: LPF melantik tiga ahli panel untuk proses ini. Jika dalam sesebuah filem terdapat unsur keselamatan, sosiobudaya atau keagamaan, LPF sudah pasti tiada cukup panel untuk menapis kesemua kategori ini. Jika dari segi keagamaan sudah lepas, apabila melibatkan isu keselamatan, tidak mustahil panel akan terlepas pandang kerana ia bukan dalam bidang mereka. Jadi, di sini, pengerusi LPF akan menyerahkan kepada panel kedua pula dan menunggu laporan seterusnya. Sekiranya pengerusi tidak berpuas hati, akan diwujudkan satu lagi jawatankuasa panel ketiga dan melihat secara keseluruhan laporan. Akhir sekali pengerusi akan mempertimbangkan semua laporan sebelum ditayangkan kepada umum. 

ZASS: Bagaimana sekiranya ada pihak tidak berpuas hati dengan suntingan yang dilakukan terhadap filem, sama ada pembikin filem atau masyarakat umum?

Datuk Raja Azahar: Pihak LPF sentiasa menerima dan mendengar. LPF ada mewujudkan satu Jawatankuasa Khas Rayuan di peringkat lembaga. Jawatankuasa ini bukan kehendak undang-undang sebaliknya hanyalah dalam pihak pentadbiran LPF sahaja. Jawatankuasa ini lebih arif mengenai isu berkenaan pemotongan. Bagi penggiat seni yang mahu membuat rayuan mengenai pemotongan boleh kemukakan. Tidak terhad kepada penggiat seni, malah masyarakat juga boleh mengemukakan hasrat sama. Mungkin bagi mereka, perlu lebih banyak suntingan dilakukan. Mereka perlu tampil dengan alasan kukuh mengapa sesebuah filem perlu lebih pemotongan atau perlu diharamkan tayangannya. 

ZASS: Adakah LPF mengambil sebarang tindakan terhadap penggiat filem yang gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan?

Datuk Raja Azahar : Setakat ini, tidak pernah LPF mengenakan sebarang tindakan selain pemotongan babak. Namun sebagai organisasi kerajaan, kami optimis dan sedia memberikan panduan sebelum sesebuah filem itu siap. Ini termasuklah tema, skrip, lokasi penggambaran dan sebagainya. Walaupun ia tidak termaktub dalam prinsip LPF, tetapi ia adalah tanggungjawab sosial. LPF tidak mahu mengganggu proses suntingan, yang mana, mungkin adegan dipotong itu merupakan babak penting dalam penceritaan filem tersebut. 

ZASS: Sejauh mana kebenaran, dakwaan LPF tidak menjalankan tugas dengan efisien sebaliknya hanya mengikut telunjuk penggiat seni?

Datuk Raja Azahar: Itulah dilema yang dihadapi pihak LPF. Pihak LPF sentiasa mendengar dan bersifat terbuka. Kami memberi kepentingan kepada tiga faktor yang ada di dalam garis panduan. Pertama kepentingan kerajaan, kedua kepentingan pihak penggiat seni dan akhir sekali kepentingan masyarakat (suara). Sekiranya suara masyarakat lantang dalam memberi input terhadap sesebuah filem, kami akan memperketat lagi garis panduan sedia ada. Kami tidak mahu terlalu ketat menyebabkan penggiat seni tidak dapat pulangan baik terhadap filem karya mereka. Saya ada bercakap dengan Ketua Pengarah Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Naguib Razak (gambar) dan berpegang katanya untuk mengawal bilangan filem seram. Dalam masa sama, tidak melanggar terus garis panduan sedia ada serta lebih ramai ahli panel akan membuat tonton dan tapis. 

ZASS: Setakat ini, berapa filem tidak mendapat kelulusan LPF?

Datuk Raja Azahar: Buat masa ini, pihak LPF sudah menjalankan semua proses tonton dan tapis untuk semua filem yang akan ditayangkan sehingga tahun hadapan. Cuma ada sebuah filem tidak mendapat kelulusan LPF kerana filem terbabit bertemakan isu agama iaitu Syiah. LPF sentiasa realistik terhadap usaha penggiat seni yang bersusah payah dalam menyiapkan sesebuah filem. Namun, ada juga beberapa filem kami sekat tetapi didapati menggunakan medium lain untuk mendapat tayangan. Mereka (penggiat seni) melobi beberapa pihak. Bila filem itu mengundang masalah dan polemik kepada masyarakat, akhirnya kami juga dipersalahkan. 

ZASS: Selepas apa yang berlaku terhadap filem Hantu Bonceng, apa peranan LPF dalam menangani isu berkaitan sensitiviti khususnya keagamaan?

Datuk Raja Azahar: Pihak LPF sudah menubuhkan satu Jawatankuasa Dasar Sektor Agama (JDSA). Ditubuhkan sebulan yang lalu, JDSA sudah menjalankan peranan dalam bidang agama untuk menapis filem seram. Dasar yang ditubuhkan secara drastik ini mengambil kira segala perilaku, penggunaan bahasa serta kostum yang digunakan agar mematuhi garis panduan yang diberikan. Pada peringkat awal ini, LPF menjalinkan kerjasama dengan Jakim dalam memberi pandangan khususnya kepada penggiat seni mengenai butiran lengkap dalam sesebuah filem seram. Jika proses tonton tapis selain genre seram, hanya tiga panel terlibat, tetapi untuk JDSA ini, akan ada lima ahli panel dilantik. 

ZASS: Bagaimana penerimaan penggiat seni terhadap jawatankuasa baru ini?

Datuk Raja Azahar: Pada mulanya, ada merungut kerana kreativiti mereka tersekat sehingga ada yang mengatakan jawatankuasa ini hanya bakal membunuh kreativiti mereka dalam berkarya. Namun apabila diterangkan objektif sebenar dan akibat sekiranya tiada jawatankuasa ini, barulah mereka mula faham dan akur. LPF juga sentiasa fleksibel walaupun JDSA ini sudah wujud kerana mahu melihat industri seni terus berkembang tetapi mengikut garis panduan yang ditetapkan. 

ZASS: Bagaimana dengan klasifikasi tontonan, adakah ada rombakan berlaku?

Datuk Raja Azahar: Sejak tahun lalu, ada beberapa perubahan berlaku di mana klasifikasi diketatkan. Untuk tontonan umum (U) hanya diberikan kepada filem animasi serta filem komedi ringan sahaja. Klasifikasi baru diperkenalkan iaitu PG13 diberikan untuk filem-filem yang ada penggunaan bahasa kasar, aksi pergaduhan dan juga pakaian yang tidak sesuai ditonton oleh golongan kanak-kanak. Walaupun begitu, ia masih boleh ditonton tetapi memerlukan pemantauan ibu bapa. 

ZASS: Apakah matlamat LPF selepas semua perubahan dilakukan?

Datuk Raja Azahar: Buat masa ini, ia masih dalam tempoh percubaan. Dalam masa dua atau tiga tahun lagi LPF akan memastikan semua proses tonton tapis akan menerusi satu proses baru memandangkan ketika ini LPF masih menggunakan kaedah konvensional, tidak seperti di negara lain yang sudah maju dalam prosen tapisan. Harapan kami agar setiap hasil karya penggiat seni bertambah maju serta berkualiti. 

Sinar Harian
Jumaat
21 Oktober 2011

Tuesday, October 18, 2011

Dana Industri Kreatif - BSN


Jurey Latiff Rosli, Presiden


Mesyuarat bersama CEO BSN Datuk Adinan Maning daripada pukul 11.30 pagi hingga 2 ptg. PTVM diwakili oleh saya, Timbalan Presiden, Richard Ung dan Bendahari, Zainudin Miji. Alhamdulillah setelah diterangkan segala masalah berbangkit ahli PTVM yang meminjam Dana Industri Kreatif BSN, maka kesepakatan telah tercapai seperti berikut :-

1) Surat sokongan PTVM mempercepatkan proses pinjaman ahli yang layak (2minggu - sebelum ini 1 bulan)

2) Pengeluaran dana 50% pertama setelah lulus permohonan manakala 30% ke 2 sebelum ini setelah siap editing 6 episod sepenuhnya dari 13 episod, ditukar kepada 6 episod offline dan diperakui PTVM barulah BSN melunaskan 30% bayaran ke 2 dan baki 20% bayaran akhir setelah siap sepenuhnya.

3) Legal fee juga akan dikurangkan malah disarankan dikaji pinjaman lulus dengan hanya STAMPING LHDN sahaja (beban bayaran peguam ahli) Insyallah PTVM akan memperhalusi lagi perkara di atas bagi memanafaatkan ahli keseluruhannya.

Wednesday, October 12, 2011

Jemputan Forum Karyawan Filem Muda


Y. Bhg. Datuk / Datin / Tuan / Puan, 

Dengan segalah hormatnya mempersilakan AHLI JAWATANKUASA PTVM Ke Forum Karyawan Filem Muda. Anjuran Institut Kesenian & Kajian Media Malaysia (SEMESTA). Forum tersebut akan diadakan pada ketetapan seperti berikut :

Tarikh : 20 Oktober 2011, Khamis
Masa : 9.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat : Studio Sound Stage Kompleks Studio Merdeka, Finas.

Sila maklumkan kehadiran melalui email : ptvm08@gmail.com. 

Atas kehadiran YBhg Datuk / Datin / Tuan / Puan ke forum ini amat dialu-alukan dan dihargai serta didahului dengan ucapan terima kasih.

Harap maklum.