Monday, December 20, 2010

Artis Kanak-Kanak Perlu Dapat Kebenaran Dibantah

                                                                                       ERYNNE ERYNNA
DUNIA hiburan dikejutkan apabila Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, mencadangkan supaya kanak-kanak yang menceburkan diri dalam industri seni perlu mendapat kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja terlebih dahulu kerana dikhuatiri mereka akan dieksploitasi sehingga mencabuli hak mereka terutama dalam soal pelajaran.
Perkara itu akan dilaksanakan apabila Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 mula dikuatkuasakan kelak.
Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan banyak pihak sehinggalah ada yang berpendapat arahan berkenaan tidak masuk akal.
Pengarah filem Ahmad Idham dalam mStar Online 16 Disember lalu turut berkata idea berkenaan seolah-olah memberi gambaran bahawa ibu bapa kanak-kanak selama ini tidak pandai menjaga anak mereka sehingga perlu mendapatkan keizinan daripada pihak lain pula.
Idham turut menganggap idea tersebut merupakan satu penghinaan kepada ibu bapa kanak-kanak yang terlibat dalam bidang seni.Mingguan mStar mendapatkan pendangan ibu-bapa dua pelakon kanak-kanak terkenal Mia Sara Nasuha, 5, dan Erynne Erynna Abdullah, 13, mengenai cadangan tersebut.
Mereka berkata cadangan itu tidak wajar dilaksanakan kerana ia seolah-olah mempertikaikan kewibawaan mereka sebagai ibu bapa yang tidak tahu menjaga kebajikan anak masing-masing.
Bagi bapa kepada Mia Sara Nasuha iaitu Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh, 35, peraturan yang dinyatakan itu benar-benar mengecewakannya kerana ia seperti mempersoalkan dirinya sebagai seorang bapa.
Kata Muhammad Ridhuan, sebelum membenarkan anaknya terlibat dengan mana-mana produksi, dia telah pun memberi beberapa syarat kepada krew terlibat supaya menjaga kebajikan anaknya itu.
Malah kata Ridhuan, dia akan memastikan anaknya itu tidak mengabaikan pelajaran selain mempunyai cara tersendiri supaya anaknya dapat membahagikan masa di antara berlakon dan juga belajar.
“Saya tak rasa undang-undang ini perlu dinyatakan dengan jelas. Lagipun, tak mungkin saya mahu mengeksploitasikan anak saya sendiri. Anak saya adalah hak saya dan sebagai seorang bapa saya mahu yang terbaik dan tidak melupakan pelajarannya,” katanya.

                                                        MIA SARA NASUHA
Tambah Ridhuan, demi Mia, dia sanggup berhenti kerja untuk menguruskan anaknya itu selain membayar pembantu peribadi yang berpendidikan tinggi bagi memastikan anaknya benar-benar terjaga.
“Alhamdulillah, Mia seorang yang bijak dan setiap kali saya berbincang dengannya, pemikiran dia macam orang dewasa. Pada masa sama, kita tahu di set penggambaran, bahasa yang digunakan oleh krew agak kasar dan saya terangkan kenapa bahasa yang disebut itu tidak patut dibualkan,” katanya.
Beritahu Ridhuan, dia telah meletakkan penanda aras buat anaknya iaitu sekiranya dalam tempoh tiga tahun dia masih tidak mendapat apa-apa pengiktirafan dalam industri lakonan mungkin dia akan meminta Mia memberi tumpuan sepenuhnya kepada akademik seratus peratus pula.
Mia banyak berlakon drama antaranya Adam Maya, Epilog Syurga Cinta dan sebuah filem yang bakal di tayangkan pada tahun hadapan iaitu Sekali Lagi.
Sementara itu Kelly Tahir, 36, ibu kepada Erynne Erynna, peraturan yang dibuat itu agak keterlaluan dan ia tidak diperlukan kerana setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri untuk membentuk anak-anak.
“Peraturan ini adalah satu pemikiran yang sangat skeptikal. Memandangkan anak saya masih di bawah umur, saya berhak menentukan apa yang terbaik untuknya.
“Jika pihak-pihak tertentu mendakwa ada ibu bapa mengerah anak-anak supaya bekerja, sukar untuk saya komen. Bagi saya jika dari awal lagi anak-anak diberi pendedahan untuk berdikari, anak-anak itu mampu hidup dengan sendiri apabila mereka besar nanti.
“Lagi pun kerjaya kreatif seperti bidang seni tidak sama dengan kerja-kerja lain seperti buruh dan sebagainya.
“Kebetulan pula Erynne suka dengan lakonan dan ingin menjadi seorang pengarah filem satu hari nanti, saya memberi peluang kepadanya untuk menyertai dunia lakonan.
“Apa yang saya tahu setakat ini tidak ada ibu bapa yang meninggalkan anak di lokasi bersendirian jika anak mereka melakukan penggambaran,” katanya.
Dalam pada itu, tambah Kelly, dia percaya, pelakon kanak-kanak memiliki kecerdasan otak (IQ) yang tinggi dan sekali gus mereka mudah menangkap apa yang dipelajari di sekolah.
“Saya tak rasa kanak-kanak yang berlakon mempunyai masalah dalam pelajaran. Cuba anda fikirkan, sebagai seorang pelakon mereka perlu menghafal skrip dan hanya kanak-kanak yang bijak boleh menghafal skrip dengan baik.
“Jadi bila di sekolah, mereka mudah faham dengan apa yang dipelajari. Malah, guru sekolah Erynne sendiri berkata, Erynne adalah salah seorang pelajar yang bijak di sekolahnya,” katanya sambil memberitahu anaknya itu sudah berlakon tiga buah filem iaitu Congkak, Cinta dan Damping Malam.
Patuh peraturan - Jurey Latif
Sementara itu, bagi Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) Jurey Latiff Mohd Rosli, undang-undang yang akan dikuatkuasakan itu sebenarnya mampu memberikan garis panduan yang baik kepada penggiat-penggiat seni pada masa akan datang.
Beritahu Jurey dengan mendapatkan kelulusan Ketua Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja terlebih dahulu, kebajikan pelakon kanak-kanak dapat dijaga dan ia sekali gus menampakkan kerajaan mula mengambil perhatian terhadap industri seni tempatan.
“Mungkin selama ini kita tidak sedar dan main langgar sahaja dengan apa yang telah berlaku dalam industri kita. Jika kerajaan menguatkuasakan akta tersebut, ertinya kerjaya seni itu dilihat sebagai satu industri profesional.
“Pada masa sama, kerajaan juga boleh selaraskan penggajian mengikut gred yang ditetapkan.
“Saya tak nampak apa salahnya dengan akta tersebut. Kerana ia lebih memudahkan. Bukan sahaja untuk artis kanak-kanak, sebaliknya ia juga bagus buat artis-artis dewasa,” ujarnya.
Bagaimanapun kata Jurey, pihak kementerian perlu mengadakan sesi dialog dengan penggiat seni atau supaya mereka dapat memahami peraturan tersebut.
(keratan akhbar MSTAR bertarikh 19 Disember 2010)

 

Friday, December 17, 2010

DESAK SKMM LABUR WANG UNTUK INDUSTRI KREATIF







Jurey Latiff Rosli
Presiden Penaja MAJIKA


BARANGKALI tidak ramai sedar berkaitan ekosistem industri perfileman dan TV yang hanya memberi keistimewaan kepada satu pihak saja. Setiap tahun stesen TV akan mengumumkan keuntungan bersih berjuta ringgit hasil pembelain program daripada syarikat penerbitan.

Namun kitaran itu tidak berada di landasan betul sehingga berakhir pada satu peringkat saja. Syarikat TV harus memulakan kembali perjalanan industri bernula peringkat awal bagi memastikan industri seni dilihat masih ada.

“Industri penerbitan program TV kita mempunyai masalah dari segi kitaran hayat di mana ekosistem kita tidak betul. Di negara maju, mereka buat banyak program  TV dan lima tahun lagi pencen, kerana mereka masih boleh hidup dengan royalti.”

“Tapi industri kita tidak boleh hidup macam itu sebab tidak ada ekosistem yang betul. Macam mana pelajar jurusan perfileman yang keluar dari indudtri Pengajian Tinggi (IPT), ingin memasuki industri seni sekiranya perkara ini berterusan. Peluang kerja terlalu kecil dan kami yang sudah lama bertahan mencari makan serta memastikan industri seni terus bergerak inginkan pembelaan.”

“Ekosistem industri kreatif harus dibetulkan dan MAJIKA akan terus mendesak agar ekosistem berubah. Kesan daripada ekosistem yang betul ini akan memastikan industri bergerak dilandasan yang betul dan tahun 2020 Insya-Allah jika ini diperbaiki, kita akan menjadi seperti mana korea dan pada masa itu kita sudah menjadi Negara maju.” Katanya.

MAJIKA turut melihat ekosistem yang tidak betul ini bukan berpunca daripada stesen televisyen, namun meragui peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap industri hiburan.

“Kita dapat tahu stesen TV harus membayar beberapa peratus caj kepada SKMM daripada keuntungan mereka selain lessen. Jadi apa yang kita lihat, duit yang dibayar kepada SKMM itu tidak disalurkan kembali kepada industri.”

“Kita mahu industri boleh maju lagi seiring dengan stesen televisyen itu sendiri, mereka simpan duit untuk apa, ia satu kerugian kepada industri. Seperti yang dimaklumkan oleh Media Prima mereka membayar berjuta ringgit setiap tahun kepada SKMM caj yang dikenakan kepada stesen TV. “

“Duit itu juga diambil dari rakyat jadi SKMM harus memberikan semula untuk menggerakkan industri. Kita akan mendesak SKMM untuk melakukan sesuatu kepada industri dan tidak kira berapa peratus akan disalurkan kepada industri,” katanya yang masih tidak nampak sumbangan SKMM terhadap industri.


INFO MAJIKA
  • Terdiri daripada enam persatuan seni seperti Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN),Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM), Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM), Persatuan Profesional Pekerja Filem Malaysia (PROFIMA), dan Persatuan Syarikat Post Produksi dan Animasi Malaysia (POSTAM).
  • Penubuhan MAJIKA bagi memperjuangkan berkaitan harta intelek yang membabitkan royalti dan hak cipta pengkarya diadili dengan saksama. Isu seperti mana yang berlaku kepada seniman agung Tan Sri P Ramlee tidak akan berulang.
  • Suara MAJIKA dari kaca mata pemain industri boleh mengubah Dasar Industri Kreatif Negara agar ekosistem industri berubah dengan memperoleh keistimewaan sama rata sekali gus.
  • Industri kreatif membabitkan filem dan TV menyumbang sebanyak RM6 billion dan kerajaan suntik RM200 juta menerusi Dana Industri Kreatif.

Thursday, December 16, 2010

MAJIKA MAHU LAYANAN ADIL - DIKN sepatutnya beri manfaat sama rata kepada semua penggiat seni

WAKIL enam persatuan seni yang bergabung di bawah MAJIKA (kiri) mengadakan pertemuan dengan penfurusan tertinggi rangkaian TV Kumpulan Media Prima.

KEWUJUDAN Majlis Tindakan Industri Kreatif Perfileman dan Multimedia(MAJIKA), sejak tujuh bulan lalu tidak lain dilihat sebagai kumpulan pendesak.

Ini kerana MAJIKA adalah suara gabungan enam persatuan seni yang khusus dalam bidang perfileman dan penerbitan TV untuk menyuarakan, mencadang, membahas dan melaksanakan isu berkaitan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN). Manfaatnya diharap dapat dikongsi dengan sama rata antara stesen TV, penerbit, pengarah, pelakon, pekerja filem dan sebagainya.

Presiden Penaja MAJIKA, Jurey Latiff Rosli, berkata perubahan dasar amat diperlukan kepada semua pemain industri bagi memperoleh kepentingan sama rata lebih lagi negara sedang menuju negara maju.

“Atas sebab itu kami sepakat duduk bersama beberapa persatuan yang berkait dengan televisyen dan filem harus mengeluarkan satu suara, industri ada masalah dan tidak mampu pergi jauh kerana dasar yang mengekang. Dengan adanya suara yang satu ini kami dapat menjadi badan pendesak untuk kerajaan mendengar keluh kesah dan kita tahu apapun berkaitan industri kreatif ini harus mengubah dasar dan dasar yang ada hari ini haruslah menjurus ke arah itu,” katanya yang pernah membangkitkan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) ketika MAJIKA mula-mula ditubuhkan lagi.
Sedang KPKK mencadangkan dasar industri kreatif itu, MAJIKA diberi pengiktirafan untuk turut serta bagi memberi pandangan, cadangan serta rangka perbincangan bagi menghasilkan industri kreatif.

“Apabila ada suara kita yang terbabit secara terus dalam industri kreatif multimedia TV dan filem ini menyebabkan suara kami sudah mula didengar dan pandangan kita turut dimasukkan dalam dasar industri kreatif. Insya-Allah jika ia dibentangkan nanti, kesannya dapat dilihat apabila semua yang terbabit dalam industri ini akan akur dengan kehendak kerajaan,” katanya yang baru saja mengadakan pertemuan bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pengurusan rangkaian TV kumpulan Media Prima Sdn Bhd baru-baru ini bagi membincangkan pelbagai isu.

Dalam pertemuan itu, MAJIKA turut menyentuh berkaitan royalti yang sememangnya menjadi perjuangan utama MAJIKA berkaitan harta intelektual yang mana di bawah Dasar Industri Kreatif Negara nanti, harta intelek adalah aset utama kepada pengkarya.

“Jika hari ini dasar mengatakan stesen TV tidak boleh ambil hak, kami akan akur. Maknanya dasar harus dibetulkan agar semua pemain yang ada memahami dan menyumbang ke arah pembangunan industri kreatif dengan lebih sihat.

“Kita mahu penerbit akan rasa terbela dan tidak teraniaya. Begitu juga dengan pelakon dibayar dengan setimpal termasuk pengarah, pekerja dan penulis skrip, jadi semua akan mendapat manfaat dengan dasar yang betul.

“Dasar industri kreatif ini besar tetapi kita hanya memberi tumpuan kepada segmen TV, filem dan multimedia saja. Kita tidak mencampuri urusan industri kreatif lain. Kerajaan nampak industri kreatif ini besar dan ia dipecahkan kepada beberapa segmen. Industri TV dan filem ini adalah antara yang terbesar sehingga kerajaan meluluskan dana RM200 juta,” katanya.

(keratan akhbar Berita Harian pada 30 November 2010, Selasa)

Thursday, December 2, 2010

Program Malaysia-Korea TV Content Showcase & Forum

Korea Communications Commission (KCC) dan Korea Internet & Security Agency (KISA) dengan kerjasama Suruhanjaya Koumikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menganjurkan satu program yang dinamakan Malaysia-Korea TV Content Showcase & Forum. Forum berkenaan telah di adakan di :

Tarikh : 02hb. Disember 2010, Khamis.
Masa : 9.30 pg - 5.00 ptg.
Tempat : Hotel Nikko, Jalan Ampang. K.L.





Harap Isu Royalti Selesai. Oleh Rozdan Mazalan (rozdan@bharian.com.my. 2010/06/23)


ISMAIL SABRI (lima dari kiri) dan Jurey (tiga dari kanan) bersama ahli jawatan kuasa PTVM pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-3 Persatuan PVTM di PWTC, baru-baru ini.
Menteri berjanji tangani masalah itu sebaik mungkin.

JUMLAH syarikat penerbitan program dan kandungan televisyen semakin banyak. Memang ia boleh dilihat sebagai satu perkembangan yang sihat bagi memenuhi keperluan industri hiburan, terutama kepada stesen TV.

Persoalannya mampukah ratusan syarikat penerbitan di negara ini bernafas dengan pelbagai isu dan konflik yang tidak pernah selesai? Antaranya ialah isu seperti hak cipta karya yang masih tidak dapat diselesaikan hingga hari ini dan ia menjadi topik penting dalam mesyuarat agung Persatuan Penerbitan Televisyen Malaysia (PTVM) ke-3, baru-baru ini.

Presidennya, Jurey Latiff Rosli berkata, beberapa perjumpaan dan mesyuarat dalaman selain pertemuan bersama kementerian sudah diadakan bagi membincangkan mengenai masalah ini, namun hingga kini masih belum ada maklum balas yang positif.

“Isu hak cipta ini antara perkara yang boleh memberi galakan kepada penerbit untuk terus giat berkarya. Sehingga kini pihak penerbit seperti terpaksa untuk menerbitkan produk bagi meneruskan kehidupan.

“Hak cipta yang diberikan kepada stesen televisyen tidak memberi keistimewaan kepada penerbit, lebih-lebih lagi kalau pihak televisyen mengulang siar drama atau sesuatu program.

“Aduan yang diterima daripada banyak syarikat agar kerajaan dapat membantu menyelesaikan masalah ini. Sebelum ini pun kita melihat, syarikat penerbit terpaksa menandatangani kontrak sesuatu program yang akan disiarkan di televisyen.
“Selepas menandatangani, hak cipta akan jatuh di tangan stesen televisyen. Mereka (stesen TV) juga berhak untuk menyiarkan seberapa kerap tanpa membayar royalti kepada penerbit. Ia satu perjanjian yang tidak adil dan berat sebelah,” katanya yang ditemui selepas mesyuarat agung PTVM ke-3 itu diadakan.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Jurey berkata, walaupun mengetahui kandungan kontrak itu tidak adil, syarikat penerbitan drama atau program TV tidak ada pilihan terpaksa bersetuju juga kerana untuk ‘terus hidup’.

“Kalau tak menandatangani kontrak itu, di mana lagi syarikat penerbit ini mahu mencari makan? Sebab itulah, kami menyeru dan mengharap sangat kepada kerajaan supaya dapat membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Tambah Jurey lagi, bagi merancakkan industri penerbitan drama dan filem tanah air, PTVM berharap kesempurnaan perjalanan industri dapat diperhatikan oleh kerajaan dan stesen televisyen agar generasi baru mempunyai hala tuju dalam kerjaya mereka.

“Hari ini juga kita melihat beribu graduan yang menceburi bidang produksi, keluar dari universiti tidak memperoleh pekerjaan dan beralih kepada bidang lain. Ini menjadi satu kerugian besar kepada industri seni kerana kemahiran generasi muda ini adalah pelapis kepada menjana industri kreatif negara kita,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, hak cipta sesebuah karya adalah sepatutnya menjadi hak mutlak pencipta dan sebarang eksploitasi ke atas sesuatu karya itu adalah tertakluk kepada budi bicara pemegang hak.

“Baru-baru ini KPDNKK sudah mengadakan beberapa sesi dialog bersama karyawan seni bagi membincangkan mengenai industri kreatif dan termasuk juga berkaitan hak cipta 1987 yang di peringkat penggubalan.

“Ini menunjukkan kerajaan sentiasa peka dan memainkan peranannya dalam mendengar keluhan orang di dalam industri. Antaranya adalah bagi memberi keistimewaan kepada semua pihak.

“Berkaitan hak cipta penerbitan TV sememangnya sudah menjadi perhatian kerajaan untuk memikirkan kembali jalan penyelesaian terhadap masalah yang disuarakan oleh persatuan ini.

“Kami juga memikirkan bahawa sekiranya stesen tv menerima cadangan untuk memberikan hak cipta kepada pemiliknya tetapi mereka tidak memainkan selepas itu, bererti tiada guna juga buat pengkarya,” katanya yang berjanji akan menyelesaikan isu hak cipta dalam masa terdekat ini.

Tuesday, November 23, 2010

PTVM – Tercetus untuk membela



Bermula dengan perbincangan spontan antara tiga rakan, En. Jurey Latiff Rosli, En. Yusof Kelana dan En. Mohd Taha Ab Wahid, akhirnya lahirlah satu-satunya badan Persatuan khusus bagi membela nasib para penerbit televisyen tempatan: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM).  Langkah pertama bermula pada 30 Mei 2007 yang akhirnya telah melahirkan PTVM secara rasminya pada 14 Februari 2008 yang lalu.  Mesyuarat Agong yang pertama telah diadakan dengan jayanya di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 27 Mac 2008 sekaligus melahirkan ahli-ahli EXCO PTVM bagi penggal 2008/2011.

PTVM yang kini dianggotai sejumlah 56 buah syarikat produksi tempatan, yakin bahawa pendekatan yang lebih berhemah serta mengamalkan konsep bermusyawarah di dalam memperjuangkan isu-isu serius penerbitan akan menjadikan industri penyiaran tempatan berkembang dengan lebih indah. Berbekalkan perlembagaan yang diatur rapi bagi memelihara kepentingan ahli-ahli, PTVM turut menekankan keutamaan untuk mewujudkan hubungan baik antara Persatuan dan pihak kerajaan atau swasta yang terbabit di dalam industri penyiaran. Sehingga kini keahlian telah menjangkau 83 ahli.

Sesungguhnya PTVM akan terus berdiri kukuh bagi memastikan industri penyiaran tempatan akan terus maju seiring dengan asakan globalisasi ke taraf antarabangsa.