Monday, May 30, 2011






 Assalamu'alaikum, sama-samalah kita mendoakan supaya En. Mohd Najib B. Jaafar, Nafalia Corporation Sdn. Bhd. cepat sembuh dan pulih seperti biasa.  Beliau kini berada di Hospital Tropicana Damansara, Wad 503-2, setelah menjalani operation mengeluarkan batu karang. Semoga Allah s.w.t. memberi kesihatan sempurna dan kesejahteraan beliau. Amin….

Tuesday, May 24, 2011


Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan – Tidak Bagi Usahawan Penyiaran TV


Kepentingan penerbitan bahan siaran yang berkualiti serta mengangkat martabat Industri Penyiaran Tempatan sejajar dengan hasrat murni kerajaan untuk melahirkan Modal Insan yang menghayati kepentingan konsep 1Malaysia.

1.      Industri Penyiaran TV Dimonopoli : 

Terdapat sebanyak 927 buah syarikat pengeluar bahan kreatif yang berdaftar di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan hampir 800 buah syarikat yang masih giat di persada seni penyiaran kini. Namun apa yang menyedihkan adalah wujudnya 3 buah syarikat yang menguasai purata penerbitan di TV RTM di mana penganugerahan sebanyak 100-500 jam siaran telah diberikan dengan sewenangnya.

KESIMPULANNYA :
Sepatutnya setiap syarikat produksi harus diberikan peluang yang sama rata dengan mengambilkira rekod pencapaiannya. Setiap stesen penyiaran perlu menghasilkan satu sistem pemerolehan bahan siaran yang lebih telus lagi adil.


      2.      Usahawan Industri Penyiaran TV Hampir Kepada Muflis

Sesebuah syarikat produksi memerlukan peruntukan jam yang konsisten dan secara berkala iaitu di antara 1 ke 3 tahun untuk berkembang dan bersaing dengan sihat. Ini bagi memudahkan tujuan perancangan memajukan syarikat serta menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan(R&D) Produk secara berterusan.

KESIMPULANNYA :
Oleh itu, agihan sebanyak 40jam setahun kepada syarikat berprestasi baik dan berpotensi adalah wajar diberikan.


3.      Hak Usahawan Industri Penyiaran TV Terbatas 

Tiada peruntukan khusus yang membawa kepada pembayaran royalti kepada setiap karyawan dan kumpulan penggerak (krew) yang terlibat. Hak IP pula dipegang 100% oleh pihak stesen TV sehingga membantutkan peluang penerbit untuk menjual produk terbitan mereka ke mana-mana siaran tempatan yang lain serta luar negara sekaligus membantut peluang promosi industri ke tahap antarabangsa.

KESIMPULANNYA :
Berikan semula hak IP ini kepada pengusahanya. Ini membolehkan warga produksi menjual semula hasilkarya serta memperolehi bayaran tambahan melalui proses ulangtayang sekaligus membantu meningkatkan taraf hidup mereka. 


4.      Usahawan Industri Penyiaran TV Bakal Pupus

Bagaimanakah seorang usahawan yang bertungkus-lumus melahirkan produk untuk paparan rakyat boleh bertahan sekiranya ini terus berlaku. Adakah lanjutan ini bakal menjadikan pengusaha bahan penyiaran kian pupus dari industri?

KESIMPULANNYA :
Kadar belian oleh pihak stesen tv mesti diselaraskan dan berpandu kepada perkembangan pasaran semasa.



5.      Selamatkan  Usahawan Industri Penyiaran TV

SEKIRANYA BERLARUTAN MAKA WUJUDLAH RANTAIAN DI BAWAH :

a)    Lahirlah produk-produk tempatan yang tidak berkualiti dan tidak berkualiti.
b)    Timbul perlbagai masalah diwaktu pembikinan dan menjejaskan modal perniagaan.
c)    Penurunan peratus sumbangan ekonomi kepada negara daripada indistri kreatif dan IKS terlibat.
d)    Tiada generasi baru sebagai pelapis bagi mendukung perjuangan budayawan negara hingga ke peringkat antarabangsa.


KESIMPULANNYA :

Paparan bahan kreatif yang lemah pembangunannya ini akan merosakkan minda, pemikiran serta akhlak rakyat Malaysia seterusnya menjejaskan keamanan Negara.



Melalui Industri Kreatif yang diremehkan ini akan menimbulkan kemarahan dan perpecahan di kalangan rakyat lantas semangat cintakan para pemimpin dan 1Malaysia ini akan terhapus dan menjadi sia-sia.

Kami golongan penerbit TV yang juga merupakan usahawan negara menuntut hak kami sebagai rakyat Malaysia, menuntut keberkesanan slogan `1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ dan menuntut untuk diselamatkan agar segala permasalahan yang dihuraikan di atas dapat dibendung bersama.  



Tuesday, May 10, 2011

Al-Fatihah....Kepada penggiat industri filem tanahair, Saudara Aimi Jarr

Al-Fatihah....Kepada penggiat industri filem tanahair, Saudara Aimi Jarr telah pulang kerahmatullah. Marilah kita bersama-sama berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang beriman dan para amilin. Kepada kaum keluarga dan kerabat almarhum, PTVM mengucapkan takziah. Amin ya rabbalalamin. Untuk penghormatan terakhir sila ke alamat No.307 Jln E3 Tmn Melawati. hrp maklum.

Thursday, May 5, 2011


 Apabila Rozita Che Wan jadi pengemis

SEORANG wanita yang pakaiannya compang-camping dengan rambut kusut masai kelihatan mundar-mandir di bawah sebuah jambatan berhampiran Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Dia kelihatan menjinjing beg plastik dan kemudian melaungkan nama anaknya, Sofia.

“Kau nampak anak aku tak? Sofia! Sofia! Ini mama!” Itu antara kata-kata Halimah sambil terus menerpa ke arah Sahara, pemberita yang pergi membuat liputan di kawasan itu. Sahara juga cuba menenangkan keadaan Halimah yang mula meracau, tidak tentu arah.

Keadaan Halimah memang tidak terurus dan resah gelisah. Dia berlari-lari di situ semata-mata untuk mencari anaknya, Sofia yang muncul dalam ilusinya. Sikap Halimah turut menarik perhatian orang ramai yang lalu-lalang pada petang itu. Masing-masing ingin tahu apa yang berlaku di bawah jambatan yang biasanya dihuni golongan pengemis itu.

Rupa-rupanya itu adalah sebahagian babak sedih telefilem Dosa Siapa arahan Murali Abdullah terbitan Enuja Production Sdn Bhd untuk TV3.

Ketika penulis sampai ke lokasi itu pada jam 3 petang, Murali kelihatan begitu tekun menyiapkan babak Halimah yang mengalami tekanan jiwa dan hidup merempat yakni bergelandangan di situ.

Selain itu, Murali menyiapkan babak kemunculan pemberita yang berjumpa dengan orang yang membuang bayi di kawasan berkenaan.

Kata Murali, pada hari pertama penggambaran, dia dapat menyiapkan empat babak dan ada lapan babak lagi yang perlu disiapkan. Penggambaran telefilem syahdu itu membabitkan lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Produser telefilem ini, Zainuddin Ismail, berkata cerita Dosa Siapa berdasarkan kisah benar dan ada kelainan dari drama lain. 


“Saya dapat tahu cerita ini daripada kawan yang juga wartawan dan pernah buat liputan kes buang bayi sebelum ini. Saya juga terus dapat idea untuk buat cerita ini selepas berbincang dengan kawan saya dan penulis skrip, Farhana Fauri.

“Apa yang penting, cerita ini memberi pengajaran kepada masyarakat sekali gus membanteras gejala sosial di luar sana. Kali ini, kami tampilkan Rozita sebagai watak utama sebagai kelainan. Selama ini orang tengok Rozita cantik dan anggun tapi kali ini dia jadi pengemis.

“Ini juga kali pertama Rozita melakonkan watak sedemikian rupa dan peminat perlu melihat lakonannya yang hebat itu. Rozita memang pelakon yang paling tepat untuk membawa watak sedih itu,” katanya.

Zainudin yang sudah terbabit lebih 15 tahun dalam bidang penerbitan berkata, lokasi di bawah jambatan itu dipilih Murali sendiri bagi menggambarkan kehidupan pengemis itu dengan lebih dekat lagi.

“Saya memang seorang yang cerewet dan memang sudah menjadi cara saya untuk turun padang di setiap lokasi drama bagi memastikan kerja penggambaran berjalan lancar termasuk suntingan, sejak dulu. Saya juga turun padang untuk menjaga kualiti setiap drama dihasilkan,” jelasnya.
 Dosa Siapa menceritakan kisah adik-beradik Halimah dan Faridah yang akrab sejak kecil hingga dewasa. Namun, semua berubah apabila mereka ditahan dua lelaki pada suatu malam. Halimah berjaya melepaskan diri dan hanya melihat Faridah dirogol depan matanya.

Selepas kejadian itu, Faridah disahkan mengandung dan dia nekad membuang bayinya yang cacat di tepi surau dan bayi itu dijumpai Pak Adzim yang juga imam di surau berkenaan lalu membelanya hingga dewasa.

Telefilem ini adalah bagi slot Cerekarama dan disiarkan Sabtu ini, jam 10 malam di TV3. Selain Rozita ia turut dibintangi Sabrina Ali (Faridah), Zamarul Hisyam (Azmi), Rabiatul Balqis (Sahara), Bell Ngasri (Shahrul) dan Ustaz Dinie (Pak Adzim). 
 

JUDUL : Telefilem Dosa Siapa
TERBITAN: Enuja Production Sdn Bhd
PENERBIT: Zainuddin Ismail
PENERBIT EKSEKUTIF: Mohd Ismail/ Rahmathunisa
PENULIS SKRIP : Farhana Fauri
PENGARAH: Murali Abdullah
PENOLONG PENGARAH: Azizon Abd Razak
JURUKAMERA (DOP): Mohd Said (Zuki)
PENOLONG JURUKAMERA: Dzulkefli Abdullah
PENGURUS PRODUKSI: Arie Zaharie
PENOLONG PENGURUS PRODUKSI: Nadzrien Nadzri/Along Sofea
JURUAUDIO: Mohd Azwan Abd Halim (Wan Selama)
PENATA CAHAYA: Asri Kamarudin
PENOLONG PENATA CAHAYA: Roslan Razali
KONTI: Azizon Abd Razak
SOLEKAN: Azlina Dollah
PENOLONG JURUSOLEK: Dayang
PROPMASTER : Dzulhady Ruslan
PROPS MAN: Mohd Nasriq Ariffin
RUNNER: Mohd Aizol
HANDY MAN : Ahmad Shafiq Johari
PEMBANTU AM: Mohd Ishak Mohd Ismail
AKAUN: Shahira Nashriq
PELAKON: Rozita Che Wan (Halimah), Sabrina Ali (Faridah), Zamarul Hisyam (Azmi), Rabiatul Balqis (Sahara), Bell Ngasri (Shahrul) dan Ustaz Dinie (Pak Adzim).
WAKTU SIARAN: Slot Cerekarama, jam 10 malam, TV3, Sabtu, 7 Mei 2011