Thursday, May 5, 2011


 Apabila Rozita Che Wan jadi pengemis

SEORANG wanita yang pakaiannya compang-camping dengan rambut kusut masai kelihatan mundar-mandir di bawah sebuah jambatan berhampiran Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Dia kelihatan menjinjing beg plastik dan kemudian melaungkan nama anaknya, Sofia.

“Kau nampak anak aku tak? Sofia! Sofia! Ini mama!” Itu antara kata-kata Halimah sambil terus menerpa ke arah Sahara, pemberita yang pergi membuat liputan di kawasan itu. Sahara juga cuba menenangkan keadaan Halimah yang mula meracau, tidak tentu arah.

Keadaan Halimah memang tidak terurus dan resah gelisah. Dia berlari-lari di situ semata-mata untuk mencari anaknya, Sofia yang muncul dalam ilusinya. Sikap Halimah turut menarik perhatian orang ramai yang lalu-lalang pada petang itu. Masing-masing ingin tahu apa yang berlaku di bawah jambatan yang biasanya dihuni golongan pengemis itu.

Rupa-rupanya itu adalah sebahagian babak sedih telefilem Dosa Siapa arahan Murali Abdullah terbitan Enuja Production Sdn Bhd untuk TV3.

Ketika penulis sampai ke lokasi itu pada jam 3 petang, Murali kelihatan begitu tekun menyiapkan babak Halimah yang mengalami tekanan jiwa dan hidup merempat yakni bergelandangan di situ.

Selain itu, Murali menyiapkan babak kemunculan pemberita yang berjumpa dengan orang yang membuang bayi di kawasan berkenaan.

Kata Murali, pada hari pertama penggambaran, dia dapat menyiapkan empat babak dan ada lapan babak lagi yang perlu disiapkan. Penggambaran telefilem syahdu itu membabitkan lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Produser telefilem ini, Zainuddin Ismail, berkata cerita Dosa Siapa berdasarkan kisah benar dan ada kelainan dari drama lain. 


“Saya dapat tahu cerita ini daripada kawan yang juga wartawan dan pernah buat liputan kes buang bayi sebelum ini. Saya juga terus dapat idea untuk buat cerita ini selepas berbincang dengan kawan saya dan penulis skrip, Farhana Fauri.

“Apa yang penting, cerita ini memberi pengajaran kepada masyarakat sekali gus membanteras gejala sosial di luar sana. Kali ini, kami tampilkan Rozita sebagai watak utama sebagai kelainan. Selama ini orang tengok Rozita cantik dan anggun tapi kali ini dia jadi pengemis.

“Ini juga kali pertama Rozita melakonkan watak sedemikian rupa dan peminat perlu melihat lakonannya yang hebat itu. Rozita memang pelakon yang paling tepat untuk membawa watak sedih itu,” katanya.

Zainudin yang sudah terbabit lebih 15 tahun dalam bidang penerbitan berkata, lokasi di bawah jambatan itu dipilih Murali sendiri bagi menggambarkan kehidupan pengemis itu dengan lebih dekat lagi.

“Saya memang seorang yang cerewet dan memang sudah menjadi cara saya untuk turun padang di setiap lokasi drama bagi memastikan kerja penggambaran berjalan lancar termasuk suntingan, sejak dulu. Saya juga turun padang untuk menjaga kualiti setiap drama dihasilkan,” jelasnya.
 Dosa Siapa menceritakan kisah adik-beradik Halimah dan Faridah yang akrab sejak kecil hingga dewasa. Namun, semua berubah apabila mereka ditahan dua lelaki pada suatu malam. Halimah berjaya melepaskan diri dan hanya melihat Faridah dirogol depan matanya.

Selepas kejadian itu, Faridah disahkan mengandung dan dia nekad membuang bayinya yang cacat di tepi surau dan bayi itu dijumpai Pak Adzim yang juga imam di surau berkenaan lalu membelanya hingga dewasa.

Telefilem ini adalah bagi slot Cerekarama dan disiarkan Sabtu ini, jam 10 malam di TV3. Selain Rozita ia turut dibintangi Sabrina Ali (Faridah), Zamarul Hisyam (Azmi), Rabiatul Balqis (Sahara), Bell Ngasri (Shahrul) dan Ustaz Dinie (Pak Adzim). 
 

JUDUL : Telefilem Dosa Siapa
TERBITAN: Enuja Production Sdn Bhd
PENERBIT: Zainuddin Ismail
PENERBIT EKSEKUTIF: Mohd Ismail/ Rahmathunisa
PENULIS SKRIP : Farhana Fauri
PENGARAH: Murali Abdullah
PENOLONG PENGARAH: Azizon Abd Razak
JURUKAMERA (DOP): Mohd Said (Zuki)
PENOLONG JURUKAMERA: Dzulkefli Abdullah
PENGURUS PRODUKSI: Arie Zaharie
PENOLONG PENGURUS PRODUKSI: Nadzrien Nadzri/Along Sofea
JURUAUDIO: Mohd Azwan Abd Halim (Wan Selama)
PENATA CAHAYA: Asri Kamarudin
PENOLONG PENATA CAHAYA: Roslan Razali
KONTI: Azizon Abd Razak
SOLEKAN: Azlina Dollah
PENOLONG JURUSOLEK: Dayang
PROPMASTER : Dzulhady Ruslan
PROPS MAN: Mohd Nasriq Ariffin
RUNNER: Mohd Aizol
HANDY MAN : Ahmad Shafiq Johari
PEMBANTU AM: Mohd Ishak Mohd Ismail
AKAUN: Shahira Nashriq
PELAKON: Rozita Che Wan (Halimah), Sabrina Ali (Faridah), Zamarul Hisyam (Azmi), Rabiatul Balqis (Sahara), Bell Ngasri (Shahrul) dan Ustaz Dinie (Pak Adzim).
WAKTU SIARAN: Slot Cerekarama, jam 10 malam, TV3, Sabtu, 7 Mei 2011


No comments:

Post a Comment