Thursday, February 24, 2011

PTVM mula mencipta rentak



RTM akan mengkaji harga pembelian program tempatan. Berita terkini untuk pengetahuan semua penggiat seni tanah air khususnya ahli PTVM.
Antara perjuangan PTVM ialah membela nasib penerbit televisyen sebagai usaha untuk memperjuangkan masa depan penerbit drama dan program televisyen tempatan supaya terbela, khususnya berkaitan masalah bekalan program dan hak cipta.
Sebagaimana  sedia maklum perjuangan PTVM telah mula memuncak pada pertengahan dekad ini. Mula membentuk idealisme perjuangan yang lebih jelas dan matang. Tanggungjawab dalam memperjuangkan tuntutan bagi memenuhi aspirasi semua penggiat seni. Pelbagai cara dan tindakan yang dilakukan dan kebanyakannya akan membuahkan hasil  dan menjadikan  mereka yakin bahawa mereka mampu menjadi tenaga pendesak dan suara penggiat seni terhadap sesuatu isu. 
Perjuangan PTVM mula menampakkan perubahan ke arah kejayaan gemilang dan akan terus cuba sebaik mungkin bagi memastikan industri kreatif tanahair berkembang dengan telus serta mantap dijulang. Memartabatkan industri dan memanfaatkan ahli menjadi agenda utama Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia.

Monday, February 21, 2011

SATU PENGAJARAN

TINDAKAN A Aida menyaman Sheera Iskandar yang juga teraju utama drama Halimah Jongang kerana didakwa melanggar kontrak dengan memotong rambut hingga menyebabkan pelbagai masalah lain timbul mengundang pelbagai persepsi. Ada yang berbisik mengandaikan pemilik syarikat produksi A Aida Productions Sdn Bhd itu sengaja membesarkan perkara remeh bagi memancing publisiti murahan dan ada juga yang bersetuju.
Walau apa juga persepsi, tindakannya bukan mengikut kehendak hati marah semata-mata mencerminkan tidak profesional seorang penerbit sebaliknya ia dianggap sebagai satu pengajaran buat pelakon lain agar tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan jika masih terikat dengan lampiran kontrak.
Hujahan A Aida sudah bersepah di dada akhbar hingga penjelasannya di sebuah program televisyen berhubung perkara yang sama dianggap melampau kerana mengeluarkan kata kasar.
Sheera juga tidak berpeluk tubuh. Dakwaan dirinya melanggar kontrak siri popular itu disifatkan tidak berasas. Siapa pula yang ingin mengaku salah atau berundur dengan jawapan berlembut?

Justeru, pihak Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) yang bertanggungjawab dalam soal kebajikan penerbit televisyen tempatan melalui presidennya, Jurey Latiff Rosli terpaksa tampil melihat kemelut yang kian menghimpit agar tidak kekal berterusan.
Melihat punca permasalahan ini sebagai sesuatu yang cukup remeh pada awal dan seharusnya lekas dicari penyelesaian, namun kerana tindakan enggan berkomunikasi serta tidak peka terhadap kontrak yang ditandatangani, ia menjadi lebih kronik hingga akhirnya membabitkan banyak pihak yang terpaksa campur tangan.
“Saya tidak mahu bersikap berat sebelah. Justeru saya memantau situasi ini secara menyeluruh. Apa yang jelas, masalah ini berpunca daripada tindakan Sheera yang melanggar kontrak perjanjian Halimah Jongang. Tindakannya bukan setakat menyusahkan pihak produksi untuk membetulkan semula watak dan menyesuaikan keseluruhan plot cerita dengan imej barunya yang tersasar daripada karakter, malah ia bagai mencabar pihak penerbit kerana ingkar mengikut sesuatu yang sudah dipersetujui di peringkat awal.
“Saya punya pengalaman yang sama sebagai seorang penerbit dan perkara ini memang menyusahkan banyak pihak. Paling memalukan apabila pihak stesen televisyen mula mempersoalkan keadaan itu kerana watak Halimah Jongang sudah sinonim dengan pembangunan karakter tertentu. Namun apabila Sheera memotong rambut dan dikatakan pernah beberapa kali ‘hilang’ daripada lokasi penggambaran, ia memang menyusahkan.
“Penerbit juga menanggung kos kerugian untuk mencari pula alternatif lain bagi menyesuaikan semula watak dan imej itu selain terpaksa berdepan dengan pihak stesen televisyen bagi menjelaskannya. Imej dan reputasi penerbit juga boleh tercalar dengan perkara yang mungkin remeh pada sesetengah pihak seperti ini.

“Justeru ia satu masalah yang serius dan tidak sepatutnya berlaku terutamanya kepada mereka yang sudah lama berkecimpung,” katanya. Mendengar rungutan dan keputusan muktamad A Aida ingin menyaman Sheera dianggap serius. Namun adakah tindakan itu satu langkah terbaik atau relevan dilakukan dalam gelanggang seni penerbitan tempatan yang kecil seperti Malaysia? Jurey bagaimanapun enggan mengulas mengenai tindakan saman-menyaman itu sebaliknya hanya memberikan beberapa alasan kukuh mengapa ada kalanya tindakan berani seperti ini perlu ada.
“Soal saman-menyaman atau memberi amaran melalui prosedur peguam memang kita lihat sesuatu yang berat dan hanya memberikan kesan lain kepada masalah ini. Namun ada kalanya ia perlu walaupun skala industri kita tidak besar bagi menjaga kepentingan sesetengah pihak terutamanya penerbit. Objektifnya bukan untuk meraih publisiti atau melihat jumlah wang itu sebagai ukuran sebaliknya tindakan ini sekurang-kurangnya dapat menyedarkan sesetengah pihak agar tidak sewenang-wenangnya melanggar kontrak.

“Ini adalah satu pengajaran yang mungkin dapat membuka mata pihak lain untuk lebih berhati-hati dan tidak mengambil mudah sesetengah perkara. Jika dilihat pada kesannya kepada penerbit sendiri, baik daripada aspek reputasi dan imej serta kredibilitinya, impak itu jauh lebih menyakitkan. Mungkin selepas ini pelakon dan golongan penggiat seni khususnya lebih sedar akan kepentingan sesebuah projek pihak produksi,” katanya.

(oleh MURSHID EUNOS, nurshid@hmetro.com.my. Keratan Akhbar Harian Metro 20 Februari 2011, Ahad)

Saturday, February 19, 2011

TELEMOVIE SONGKOK MEMENANGI ANUGERAH SRI ANGKASA 2010

Malam Anugerah Seri Angkasa 2010 (ASA2010) membuka tirai dengan menyaksikan sebanyak 31 anugerah dipertandingkan. Bertemakan Dunia Penyiaran: Citra Budaya Malaysia, ASA2010 telah berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur malam tadi.
Telemovie SONGKOK telah berjaya memenangi dua anugerah di malam pertama Anugerah Sri Angkasa :

1)   Anugerah Audio Rancangan TV Terbaik: Songkok (RTM-TV1)
2)   Anugerah Suntingan Rancangan TV Terbaik: Anuar Ahmad - Songkok (RTM-TV1)

Tahniah kepada pemenang.... kepada semua crew dan cast dan terutama kepada producer En Jurey Latiff Rosli, World Evolution Sdn Bhd.




 

Friday, February 18, 2011

'SAHAM SINGA' BUNUH INDUSTRI KREATIF

DEMI memenuhi kehendak selera penonton, mana-mana stesen televisyen pasti mengerah idea mereka dalam menyajikan program-program terbaik untuk dipertontonkan.

Atas tuntutan sedemikian, pelbagai rancangan direncanakan dalam direktori mereka termasuklah memberi peluang kepada syarikat produksi tempatan untuk menghasilkan program-program berkualiti untuk tatapan penonton.

Namun, timbul pula cerita yang kurang enak terhadap stesen milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) apabila dikatakan membuka ruang kepada segelintir penerbit tempatan untuk mendominasi jumlah jam untuk slot yang disediakan RTM.

Ada syarikat penerbitan dikatakan mendapat sehingga 500 jam untuk menerbitkan rancangan-rancangan RTM sehingga penerbit lain terpaksa berputih mata.

Keluhan dan rintihan para penerbit sehingga ada yang gulung tikar dan menjual studio mendapat reaksi positif daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim ketika ditemui di majlis pelancaran Anugerah Seri Angkasa 2010 (ASA 2010) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rais menegaskan tidak akan membenarkan mana-mana syarikat penerbitan menggunakan RTM sebagai batu loncatan untuk mendapatkan sesuatu projek mengikut saluran yang tidak sepatutnya. 

Beliau yang menyifatkan golongan itu sebagai mendapat 'saham singa', meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai hal berkenaan supaya melaporkan kepadanya untuk siasatan lanjut.

Janji Rais itu mendapat reaksi positif daripada beberapa penerbit yang menyifatkan itu adalah satu tindakan berani yang akan membela nasib para penerbitan tempatan yang teraniaya sekian lama.

Bukan itu sahaja, tindakan Rais turun padang untuk menyelesaikan masalah berkenaan membolehkan mereka menarik nafas lega di samping mengelak kejatuhan industri kreatif di Malaysia.

Jurey Latiff Rosli
Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli ketika dihubungi berharap agar isu itu tidak dipandang enteng oleh pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dan dapat diselesaikan segera demi kepentingan para penerbit.

"Terdapat 752 buah produksi di negara ini yang bersaing untuk mendapatkan slot siaran di stesen-stesen televisyen tempatan.

"Jika peluang sama rata tidak diberikan, bagaimana syarikat-syarikat produksi ini mahu terus hidup kalau slot tersebut asyik diberikan kepada syarikat yang sama?

"Industri di negara ini bukanlah sebesar. Kalau kerajaan tidak tampil membantu, pihak mana lagi yang boleh menghulurkan bantuan," soal Jurey yang juga Penerbit Eksekutif World Evolution Brain (M) Sdn. Bhd.

Tambah Jurey, RTM mempunyai kira-kira 4,000 jam dalam slot siarannya setahun untuk diagihkan kepada syarikat penerbitan.

Setiap satu syarikat produksi tempatan katanya, hanya memerlukan sekurang-kurangnya 20 ke 30 jam setahun untuk mengisi slot siaran demi meneruskan kelangsungan hidup.

Ruhani Ab. Rahman
Sementara itu, Penerbit Nizarman (M) Sdn. Bhd., Ruhani Ab. Rahman ketika ditanya pendapatnya mengenai janji Rais itu, dengan nada ceria berkata: "Hanya kuasa politik sahaja yang boleh merubah senario yang dilihat semakin serius ini. 

"Jika masalah ini tidak diatasi dengan segera, saya percaya, satu demi satu syarikat produksi akan gulung tikar kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang konsisten.

"Produser juga akan pening kepala kerana memikirkan alternatif lain untuk mengembangkan perniagaan mereka.

"Dalam negara ini, terdapat banyak lagi syarikat yang berpotensi untuk menghasilkan program-program bermutu untuk paparan di kaca televisyen.

"Jadi, kredibiliti tersebut sudah cukup membuktikan kami juga berhak untuk mendapat jumlah jam yang sama." 

Penerbit Eksekutif BKB Production Sdn. Bhd., Saodah Majid pula tidak pasti sejauh mana kesahihan kemelut itu.

Bagaimana pun katanya, ia sudah lama menjadi topik perbualan di kalangan teman-temannya.

"Jika benarlah situasi ini berlaku, saya harap RTM cepat memperbetulkan keadaan dan memberi peluang sama rata kepada produser lain.

"Bagaimana produser lain nak cari makan sekiranya peluang tidak diberikan? Kami pun ingin kaya juga dengan bayaran lumayan yang diberikan RTM," kata Saodah berseloroh.


Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

Thursday, February 17, 2011

‘SAHAM SINGA’ DI RTM AKAN DISIASAT


DR. RAIS Yatim bersama wakil-wakil stesen televisyen RTM, Media Prima dan Astro sewaktu pelancaran Anugerah Seri Angkasa 2010 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
 
SAMA seperti stesen-stesen televisyen (TV) lain, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memerlukan banyak rancangan seperti drama, dokumentari dan bual bicara bagi mengisi slot siaran stesen penyiaran itu pada setiap hari.

Justeru, RTM bukan setakat menerbitkan sendiri rancangan-rancangan siarannya tetapi turut menerima bekalan itu daripada syarikat-syarikat produksi swasta pada sepanjang tahun bagi memenuhi permintaan tersebut.

Bagaimanapun, dalam menerima bahan-bahan rancangan untuk siaran RTM di saluran TV1 dan TV2 terdengar banyak keluhan di kalangan penerbit swasta yang dikatakan menerima agihan pembekalan slot yang tidak sama rata.

Berhubung perkara itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pihaknya akan meneliti agihan slot pembekalan rancangan di dua saluran TV itu agar ia dibekalkan mengikut saluran yang betul.

"Dalam hal ini, saya tidak benarkan mana-mana pihak menggunakan RTM sebagai batu loncatan bagi mendapatkan sesuatu projek mengikut saluran yang tidak sepatutnya. Mereka itu adalah golongan yang mendapat 'saham singa'.

"Kalau wujud 'saham singa' atau laluan mudah untuk mendapatkan sesuatu projek dan kekayaan di RTM dengan mengetepikan pihak-pihak lain yang lebih layak, sila beritahu saya. Saya akan siasat sendiri perkara itu," komennya.
Dr. Rais mengulas isu itu pada majlis pelancaran Anugerah Seri Angkasa 2010 (ASA 2010) yang akan diadakan pada 18 dan 19 Februari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Isu itu timbul apabila ada yang mendakwa terdapat segelintir penerbit mendapat sehingga 500 jam setahun bagi membekalkan slot rancangan di RTM sehingga mengetepikan penerbit-penerbit lain yang mempunyai kelayakan sama.
"Dalam hal ini, saya akan pastikan supaya RTM bersikap adil dalam memberikan slot pembekalan rancangan di TV1 dan TV2. Kalau betul ia berlaku sila tampil ke depan dengan bukti dan kami akan siasatnya dengan segera," janjinya.

Pada majlis itu, Dr. Rais menjelaskan ASA 2010 mencatat sokongan yang positif bukan sahaja daripada kalangan tiga stesen penyiaran tersebut tetapi juga jumlah pencalonan yang diterima pada kali ini.

Jelasnya, anugerah itu kali ini meningkat 20 peratus berbanding penganjuran tahun 2006 di mana tahun ini kita menerima 521 pencalonan. Ini suatu angka yang besar dan amat membanggakan semua pihak yang terbabit.

"Tahun ini secara keseluruhannya 198 pencalonan kategori radio dan 323 pencalonan kategori TV telah diterima untuk bertanding pada ASA 2010. Turut diselitkan ialah kategori Tokoh Seri Angkasa.

"Bagaimanapun daripada lebih 600 pencalonan yang kami terima daripada semua stesen TV ada di antaranya yang ditolak penyertaannya kerana ia diluar jangka masa siaran yang telah ditetapkan iaitu dari 1 Jun hingga 31 Julai 2010," ujarnya.

AS A 2010 menyaksikan RTM mendominasi kebanyakan kategori pada kali ini, apabila menerima 111 kategori radio dan 133 kategori TV, Astro (25 kategori radio, 76 kategori TV) dan Media Prima Berhad (17 kategori radio, 100 kategori TV).

Selain tiga penyiar gergasi tanah air itu, ASA 2010 turut disertai oleh organisasi dan syarikat seperti Bernama, Filem Negara, THR, 988 FM, Cats FM dan Suria FM yang turut menghantar pencalonan masing-masing.

Anugerah yang diiktiraf oleh kementerian terbabit menyaksikan pertembungan drama-drama yang disiarkan Astro Prima apabila RTM mempertaruhkan dua drama berjudul Perempuan dan Sekudus Doa Arisya serta Astro Prima (Denai Berbisik dan Anak-Anak Lorong).

Dengan tema yang kebanyakannya bertemakan kemanusiaan yang sarat dengan mesej dan telah meruntun hati para penonton seperti Anak-Anak Lorong dan Perempuan mampu mengangkat salah satu daripadanya sebagai pemenang kategori Drama TV Terbaik.

Bagi kategori Pengarah Drama TV Terbaik ia memperlihatkan pertembungan antara pengarah lama dan baru seperti Erma Fatima dan Mohd Fahmi Sarindi yang mempertaruhkan drama arahan masing-masing yang mempunyai garapan tersendiri.

Dalam hal ini, selain gaya arahan termasuklah pergerakan kamera dan latar lokasi penggambaran dijalankan, jalan cerita sesebuah drama dan keberkesanan lakonan para pelakonnya juga menyumbang ke arah itu.

Saham Neraka arahan Erma Fatima dan Sebelum Akhirat arahan Murali Abdullah tentunya paling mencuri tumpuan para juri di mana ia tidak menghairankan jika salah salah satu daripadanya muncul sebagai pemenang kategori ini.

Selain kategori drama, rancangan berbentuk hiburan atau konsert juga mendapat perhatian ramai, contohnya kategori anugerah Pengacara TV Terbaik yang membariskan lima finalisnya iaitu Ally Iskandar, Sarimah Ibrahim, Cheryl Samad, Wan Kamarudin Wan Ibrahim dan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Calon paling sengit bagi mengungguli anugerah itu ialah Sarimah Ibrahim dan Ally Iskandar di mana kalau salah seorang daripadanya memenangi anugerah itu ia mungkin sukar untuk mendapat bantahan ramai.




Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar HAFIZ JOHARI


Monday, February 14, 2011

Selamat menyambut Maulidur Rasul 1432H

En. Jurey Latiff Rosli
Presiden PTVM, En. Jurey Latiff Rosli mengucapkan Selamat menyambut Maulidur Rasul 1432H masihi 2011 kepada seluruh rakyat Malaysia. Sambutan yang akan diadakan pada hari esok 15 Februari 2011, selasa bersamaan 12 R.Awal 1432H. Dengan TEMA KEBANGSAAN 2011 “1 MALAYSIA 1 UMMAH” yang bertujuan umat Islam diseru untuk bersatu dengan menyayangi agama, bangsa dan negara di samping menanam azam bagi melahirkan satu ummah yang mampu membawa kedamaian dan keadilan berpaksikan kepada al-Quran dan sunah.