Thursday, December 8, 2016



FORUM ‘DRAMA DAN LAGU BERPISAH TIADA’
DAN
MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PERSEFAHAMAN (MOU)
DI ANTARA
PENERBIT MUZIK WILAYAH PERSEKUTUAN DAN SELANGOR (MPA)
PERSATUAN PENERBIT TV MALAYSIA (PTVM)
ONE STOP MUSIC (M) BERHAD (OSM)


Tarikh              :  7 December 2016 (Rabu)
Masa               :  2.00 – 5.00 PTG
Lokasi             :  PAWAGAM MINI FINAS



 ‘DRAMA DAN LAGU BERPISAH TIADA’
“Andai dipisah lagu dan irama, lemah tiada berjiwa... hampa”!  Dialog “hikmat” yang dituturkan oleh Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam sebuah filem arahannya.. Benar sekali kata-kata ini. Dua unsur yang saling berkait dan memerlukan antara satu sama lain dalam konteks lagu/nyanyian.
Begitu juga tema forum kita hari ini, DRAMA DAN LAGU BERPISAH TIADA….

Kehadiran muzik atau lagu dalam sesebuah drama memang tak dapat dipisahkan. Penggunaannya bukan sekadar tempelan. Seperti visual yang memperlihatkan aliran cerita, lagu/muzik pula mendodoi emosi visual tersebut ke halwa telinga. Penulis skrip, pengarah serta pelakon bersatu membawakan setiap adegan itu dengan daya kreativititerbaik mereka, muzik pula menjadi ‘mood pelengkap’ adegan tersebut.  Ibarat nasi lemak tanpa sambal, sedap kah ia?
Hari ini kita menyaksikan tandatangannya  satu initiatif yang julung kali dibuat , satu perjanjian persefahaman antara 3 pihak, iaitu Persatuan Penerbit Muzik Wilayah Persekutuan dan Selangor (Music Publishers Association, MPA), Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM) dan One Stop Music (M) Berhad (OSM), yang diharapkan dapat mempereratkan lagi hubungan antara mereka.

MPA, (berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan) mewakili penerbit-penerbit muzik tempatan yang mentadbir hakcipta karya-karya muzik bagi pihak komposer dan penulis lirik;

PTVM, mewakili penerbit-penerbit TV, Malaysia, ditubuhkan untuk memastikan industri penyiaran tempatan yang dibangunkan sejajar dengan globalisasi mengikut piawaian antarabangsa dan mengamalkan konsep perbincangan dalam memperjuangkan isu-isu serius penerbitan bagi industri penyiaran tempatan berkembang.

OSM, sebuah syarikat yang ditubuhkan dengan sokongan Recording Industri Malaysia (RIM), mewakili syarikat-syarikat rakaman dan penerbit muzik tempatan, untuk mempermudahkan urusan perlesenan digital bagi ahli-ahlinya, aggregator kandungan dan para pengguna.
Objektif MOU ini adalah untuk menjalin satu kerjasama antara semua pihak mengenai penggunaan karya muzik dan rakaman asal dalam penerbitan TV dan filem.

Setiap penerbit TV dan filem ingin menghasilkan produk mereka paling terbaik. Ingin menggunakan lagu/ muzik yang terbaik juga. Apatah lagi lagu-lagu yang mereka tahu telah ada nilai pasarannya. Di sinilah kerjasama yang ingin kami harapkan.

Ketika ini, penggunaan lagu dan rakaman asal dalam penerbitan TV dan filembanyak yang tidak melalui permohonan perlesenan yang betul, dalam erti kata, ianya digunakan tanpa kelulusan. Adakah ini kerana penerbit TV tidak tahu akan prosedurnya mahupun ‘rasa leceh kerana keremehan urusannya? Ada juga kekeliruan di mana penerbit TV berkata, stesen TV telahpun membayar kepada MACP, jadi tak perlu bayar lagi. Itu semua adalah salah faham yang hendak dijelaskan di dalam forum ini.

Hak ‘synchronization’ adalah antara hak-hakyang ditadbir oleh MPA dan OSM untuk karya-karya muzik dan rakaman asal. Penerbit muzik mahupun syarikat rakaman bertanggungjawab kepada komposer dan penulis lirik dan artis untuk meniagakan hak ini dengan nilai yang sewajarnya. Oleh itu Penerbit TV harus peka bahawa muzik bukan percuma, dan harus ada peruntukan untuknya.

Dalam MOU ini di mana MPA dan OSM akan membantu untuk menyediakan satu garis panduan kadar harga yang bakal saling membantu semua pihak.
PTVM juga akan membantu memastikan ahli-ahlinya memohon untuk mengguna karya-karya muzik dengan cara perlesenan yang betul dan menjelaskan pembayaran sekiranya ada.

MPA dan OSM tahu penerbitan tv adalah satu platform juga yang boleh mempromosikan karya-karya muzik dan artis. Karya lagu-lagu yang sedap dengan pembikinan produksi yang baik bakal memikat penonton…yang boleh memberi impak kepada popularnya sesebuah lagu. Justeru PTVM diharapkan dapat memainkan peranan untuk menggalakkan ahli-ahlinya agar banyak menggunakan lagu-lagu tempatan dalam penerbitan TV.

Segala usaha dan kerjasama kesemua pihak diharap untuk terus berpanjangan dengan perancangan  program-program yang akan datang.

Kami yakin andainya semua pihak-pihak memainkan peranan mereka secara sihat dan kompetitif, pasti dapat menyemarakkan lagi dua industri yang saling melengkapi ini.

Apa itu lagu? Apa itu lirik? Apa pula rakaman bunyi?
Bait-bait irama/lagu atau juga dipanggil melodi dan untaian kata-kata/ayat yang disusun lengkap menjadi sebuah lirik lagu merupakan dua bentuk karya berbeza namun saling melengkapi. Susunan muzik yang indah mengiringi melodi dan lirik serta dibawakan oleh penyanyi dan dirakamkan di dalam studio akan membentuk satu ‘form’ yang mana istilahnya dipanggil rakaman bunyi (sound recording)!
Kedua-dua bentuk karya (lagu & lirik) beserta rakaman bunyi  ini adalah harta intelek kepada pengkarya-pengkarya seni dan pemilik hakcipta rakaman tersebut dan ianya turut dilindungi di dalam Akta Hakcipta demi menjaga kepentingan pengkarya/ pemilik. Kesan daripada perlindungan karya-karya ini sangat besar impaknya kepada pengkarya/ pemilik rakaman khasnya. Ianya adalah satu pengiktirafan hak pemilikan kepada pengkarya/pemilik hakcipta rakaman tersebut selain mampu memberikan pulangan material dan moral yang tinggi kepada pengkarya/pemilik rakaman melalui perniagaan seni yang sehat.

Kita berkumpul dan berbicara tentang peranan lagu/ muzik dalam sesebuah penerbitan TV. Dalam proses negara kita menuju ke arah negara maju, kami percaya semua penerbit TV turut memahami Akta Hakcipta Malaysia yang telah memperakui setiap karya seni... baik lagu, lirik, muzik dan sebagainya ada pemiliknya dan sebarang penggunaan karya-karya ini dalam apa juga bentuknya pasti tertakluk kepada keizinan bertulis dari pemiliknya.

Semoga forum ini dapat memberi menafaat kepada semua pihak yang terlibat.
Kami akhiri forum dan majlis tandatangan persefahaman ini dengan satu harapan :
Agar PPTV serta ahli-ahlinya melihat kami di MPA dan OSM ini sebagai satu rakan sepasukan dan bukannya pihak yang perlu dijauhi. Matlamat kita sama... memberikan perkhidmatan dan karya terbaik kepada penonton/ pendengar!
Sekian, terimakasih.







Thursday, January 21, 2016

WAJIB DAFTAR PTVM-SYARAT BARU PADU CITRA BAGI PERMOHONAN LESEN DAN SPP FINAS

Melalui syarat baru 'Padu Citra' yang dikuatkuasakan oleh FINAS baru-baru ini mensyaratkan supaya Syarikat Produksi yang ingin memohon serta memperbaharui Lesen Pengeluaran(PF) dan Lesen Pengedaran(DF) dan permohonan Sijil Perakuan Pengambaran(SPP) perlu mendaftar sebagai ahli Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia.

Berikut merupakan kenyataan daripada Pihak FINAS

KENYATAAN AKHBAR

SURAT PERAKUAN PENGGAMBARAN (SPP) DAN PADU CITRA

Mulai 1 Februari 2016 Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan memperkemaskan pelaksanaan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) dan perubahan dasar Padu Citra. Syarat SPP ini termaktub di dalam Syarat Tambahan Lesen, Syarat 1 iaitu:

“ Pemegang lesen, jika membuat penggambaran filem hendaklah memaklumkan kepada Perbadanan tidak lewat dari tujuh (7) hari sebelum penggambaran sesuatu filem dimulakan melalui borang tertentu yang dikeluarkan oleh Perbadanan. Dengan penghantaran borang tersebut, Surat Perakuan Penggambaran (SPP) akan dikeluarkan oleh Perbadanan”.

Dalam memperkemaskan pelaksanaan permohonan SPP mulai tarikh tersebut, semua pemegang lesen Pengeluaran Filem yang memohon SPP hendaklah menjadi ahli kepada persatuan-persatuan yang berkaitan. Contoh keahlian bagi permohonan SPP adalah berikut:

a) Bagi permohonan SPP bagi penerbitan filem cereka pawagam hendaklah menjadi ahli PFM;

b) Bagi permohonan SPP bagi penerbitan untuk siaran TV hendaklah menjadi ahli PTVM; dan

c) Bagi permohonan SPP bagi penerbitan dokumentari hendaklah menjadi ahli MyDocs.

Semua filem termasuk filem cereka pawagam atau program TV atau dokumentari dikehendaki memasukkan nombor SPP diakhir filem berkenaan atau “ending credits”. Kegagalan memasukkan nombor SPP diakhir sesebuah filem boleh menyebabkan tidak dapat ditayang di bawah Skim Wajib Tayang (bagi filem cereka pawagam) atau tidak dapat disiarkan di stesyen TV dan tidak dapat menyertai mana-mana festival filem.

Mana-mana pemegang lesen yang tidak memohon SPP sebelum sesuatu penggambaran flem adalah melanggar Syarat 1, Syarat Tambahan Lesen dan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pelesenan) 1983. Mereka boleh dikenakan kompaun atau jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional 1981 (Pindaan 1984).

Bagi perubahan dasar pelaksanaan Program Padu Citra, mulai 1 Februari 2016 juga, keahlian persatuan di kalangan penglibat/penggiat dalam sesuatu produksi adalah menjadi tanggungjawab penerbit dalam menentukan mereka menjadi ahli kepada persatuan-persatuan berkaitan mengikut persetujuan diantara persatuan-persatuan penerbit (PFM,PTVM,MYDocs) dan persatuan-persatuan professional atau krew produksi (FDAM,SENIMAN,KARYAWAN,PROFIMA,MySC dan sebagainya).