Monday, March 14, 2011

SYOR WUJUD GERAN DRAMA KENEGARAAN


 PERSATUAN Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM)  mahukan kerajaan menerusi kementerian berkaitan supaya meningkatkan mutu kandungan televisyen tempatan dengan mewujudkan banyak drama dan program berkaitan kenegaraan supaya dapat membantu pembinaan bangsa dan negara.

Presiden PTVM, Jurey Latiff Rosli, berkata perhatian serius untuk memfokus kepada penerbitan isi kandungan televisyen tempatan dengan produk bersifat kenegaraan, patriotik dan mempunyai elemen perpaduan bangsa harus dibantu menerusi dana khas yang boleh disebut Geran Penerbitan Televisyen khususnya merangsang lebih banyak produk seperti drama sejarah, dokumentari dan program bersifat kenegaraan dapat dihasilkan secara konsisten.

“Sehingga kini kita masih dengar rata-rata mengatakan bahawa kredibiliti penerbit TV di negara ini tidak sampai ke tahap kelayakan sepatutnya. Penerbit program TV dikatakan lemah dalam mengatur struktur perkembangan bahan kreatif  seolah-olah sudah kehabisan idea serta mengambil jalan mudah bagi mengembangkan perniagaan. Ia berbeza dengan industri perfileman dianggap telah semakin mara dengan bilangan penerbitan yang meningkat setiap tahun dan berjaya menampilkan  pelbagai kelainan dari struktur pembikinannya mengikut perkembangan teknologi global disebabkan ada banyak insentif diberikan kepada produser filem.

“PTVM tidak jemu-jemu menyuarakan kepada pihak kerajaan akan permasalahan dalaman yang dihadapi industri penyiaran hingga menjadi penyebab tanggapan negatif daripada maysarakat. Akhirnya, atas keprihatinan pihak kerajaan satu dasar diluluskan iaitu Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) dengan peruntukan RM130 juta bagi mempergiatkan lagi industri kreatif. Kelulusan DIKN pasti menjadi titik mula pencetus semarak seni lebih positif bertepatan pula gagasan 1Malaysia.

“Namun, sejauh mana dasar ini digarap dan dilaksana secara berkesan untuk membantu industri penyiaran? Ternyata ia masih lagi belum menemui jalan penyelesaiannya. Pelbagai skim, dana, geran dan dasar diperkenalkan kerajaan bagi meningkatkan industri perfileman tanah air dengan pelbagai agensi tetapi untuk penerbitan  drama dan program TV seolah-olah tidak diberi perhatian,” katanya dalam satu kenyataan B*POP.

Jurey mendedahkan, tiada satu pun geran atau skim khusus disediakan kerajaan bagi penerbitan rancangan televisyen yang mampu melahirkan produk kenegaraan untuk kelihatan sama baik pengisiannya sedangkan jumlah RM10 juta boleh menerbitkan sebanyak 33 telefilem untuk TV sedangkan jumlah itu cuma dapat hasilkan dua atau tiga filem cereka.

“Jadi, PTVM amat berharap kerajaan wujudkan geran khas untuk penerbit TV kerana geran seumpama ini diperlukan bagi menerbitkan telefilem berteknologi canggih sehebat keluaran Hong Kong, Jepun, Korea dan sebagainya di kaca TV yang membabitkan kos lebih tinggi berbanding telefilem masa kini yang dibeli stesen TV bagitu rendah. Ia mustahil untuk penerbit drama hasilkan produk bermutu dengan teknologi tinggi jika bayaran diterima daripada stesen TV begitu rendah.

“Anehnya, tiada mana-mana badan atau agensi diwujudkan bagi membantu dan memantau perkembangan industri penyiaran sedangkan bilangan rakyat Malaysia yang menonton rancangan TV mencapai lima juta setiap hari,” katanya.

Jurey turut menjelaskan, melalui sebuah filem cereka yang mendapat kutipan box-office RM8.4 juta contohnya ia cuma mampu mengajak 800,000 penonton dalam tempoh satu bulan berbanding lima juta penonton yang menghadap kaca TV setiap hari.

“Lagipun jelas memperlihatkan pengaruh TV memberi impak sangat besar dan efektif terhadap pembangunan kerajaan dan Negara.

Namun, penerbit TV tempatan tetap juga melahirkan produk tuntutan orang ramai dan pihak stesen TV ini demi mengaktifkan perniagaan syarikat walaupun ada antaranya hanya meraih ratusan ringgit saja daripada keuntungan bersih. Ini juga adalah punca mengapa banyak syarikat produksi tempatan menamatkan perniagaannya.

“Rentetan tekanan ini, penerbit TV terpaksa akur dan memilih bahan kreatif yang mampu diterbitkan. Siapa yang perlu disalahkan jika hasil produk kurang bermutu? Adakah menunding jari kepada penggiat seni itu adil di mata orang ramai? Sebab itu PTVM mengharapkan usaha kami dilihat penting dan serius terhadap perkembangan industri kreatif di mana Malaysia ketinggalan dari segi penggunaan teknologi terkini dalam pembikinan produknya untuk TV,” katanya.


No comments:

Post a Comment