Thursday, March 3, 2011

KENAPA TIADA SKIM KHAS TINGKAT KUANTITI, KUALITI DRAMA TV?



TIDAK dinafikan kerajaan melalui kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) merupakan kementerian yang paling banyak membantu perkembangan bidang seni termasuklah filem dan muzik.

Keprihatinan pihak kerajaan itu menyebabkan wujudnya Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang telah memperuntukkan RM130 juta bagi mempergiatkan lagi industri kreatif.

Pelbagai skim, dana, geran dan dasar telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi menigkatkan lagi industri perfileman tanah air misalnya yang mana, ia turut melibatkan bidang penerbitan drama televisyen.

Begitu juga dengan agensi-agensi lain seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang di bawah pengawasan KPKK, bertindak sebagai pelaksana dasar selain daripada membantu ke arah itu.

Terkini, kerajaan melalui KPKK telah menyediakan geran kepada Finas iaitu Geran Filem Kenegaraan sebanyak RM 10 juta bagi membuka peluang kepada pengusaha-pengusaha menghasilkan filem yang lebih berkualiti tinggi.

Namun apa yang menyedihkan, tiada satu pun geran atau skim khusus diperuntukkan bagi penerbitan rancangan televisyen agar mereka ini juga mampu melahirkan produk-produk kenegaraan yang sama baik pengisiannya dengan filem.

Sedangkan dengan jumlah RM 10 juta itu, ia boleh digunakan untuk menerbitkan lebih 100 buah telefilem yang bajetnya mencecah hampir RM80,000 sebuah berbanding dengan penerbitan hanya sekitar lapan buah filem sahaja di layar perak.

Anehnya, tiada pun mana-mana agensi di bawah KPKK diwujudkan bagi membantu perkembangan industri penyiaran sedangkan bilangan rakyat Malaysia yang menonton rancangan TV mencapai lima juta orang setiap hari!

Hakikatnya, melalui sebuah filem yang mempunyai kutipan tiket tertinggi iaitu sebanyak RM 8.4 juta sekalipun cuma menarik lebih kurang 800,000 bilangan penonton dalam tempoh satu bulan tayangannya.

Ini jelas memperlihatkan pengaruh televisyen memberi kesan yang sangat besar dan efektif terhadap usaha kerajaan yang ingin melihat penerapan nilai-nilai murni menerusi medium tersebut.

Bajet pembikinan sebuah filem biasanya mencapai lebih RM 1 juta berbanding bajet penerbitan sebuah telemovie yang mana ia tidak boleh disamakan dari sudut keperluan dan kepuasan pengisiannya.

Bagaimanakah bajet sebanyak itu boleh melahirkan produk-produk yang berkualiti tinggi jika ia melibatkan kos-kos yang tinggi seperti penggunaan premis-premis yang berbayar?

Contohnya, penggunaan props dan latar semasa di lokasi penggambaran seperti kapalterbang, keretapi, kapal layar dan rumah mewah yang mengkehendaki bayaran bagi perlindungan insurans deposit serta nilai sewaan tertentu yang tinggi?

Tuntutan penggunaan imej janaan computer (CGI), grafik 3D dan efek bunyi turut diaplikasikan kerana keuntungan yang diperolehi tidakpun mencapai 10 peratus daripada harga belian produk oleh stesen-stesen televisyen.

Dalam hal ini, pelbagai usaha boleh dilakukan bagi membantu mempertingkatkan kuantiti dan kualiti rancangan-rancangan televisyen dengan mengurangkan beban para penerbitnya.

Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM) misalnya, patut dibabitkan sama agar dana daripada DIKN itu dapat diagih-agihkan kepada ahli-ahli persatuan itu yang dikekang dengan masalah kos penerbitan yang tinggi.

Kelonggaran yang lebih banyak sepatutnya diberikan kepada para penerbit termasuklah dari segi pengecualian cukai atau kemudahan lokasi penggambaran bagi memudahkan penerbitan rancangan-rancangan terbitan mereka.

Seolah-olah berlaku layanan tidak sama rata apabila beberapa syarikat produksi dari luar Negara mendapat lebih kemudahan pengganbaran di sesuatu lokasi berbanding produksi-produksi tempatan.

Selain memberi dana untuk penerbitan filem-filem bertemakan kenegaraan atau bersifat patriotik, Dana Industri Kreatif juga wajar diagih-agihkan bagi penerbitan drama-drama dalam genre tersebut.

Ini kerana, tidak banyak rancangan dalam genre kenegaraan yang diterbitkan terutamanya di kalangan stesen-stesen swasta yang lebih mengutamakan rancangan berbentuk hiburan serta komersial.

Dengan adanya pembabitan lebih ramai penerbit daripada kalangan ahli PTVM, galakan seperti itu mampu untuk membantu mempertingkatkan lagi kuantiti dan kualiti produk-produk tersebut.

Ia penting bagi mengawal pengaruh dan aspirasi sesuatu bahan dalam rancangan-rancangan tempatan selain mengurangkan kebergantungan kepada rancangan-rancangan yang diimport.

No comments:

Post a Comment