Thursday, December 2, 2010

Harap Isu Royalti Selesai. Oleh Rozdan Mazalan (rozdan@bharian.com.my. 2010/06/23)


ISMAIL SABRI (lima dari kiri) dan Jurey (tiga dari kanan) bersama ahli jawatan kuasa PTVM pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-3 Persatuan PVTM di PWTC, baru-baru ini.
Menteri berjanji tangani masalah itu sebaik mungkin.

JUMLAH syarikat penerbitan program dan kandungan televisyen semakin banyak. Memang ia boleh dilihat sebagai satu perkembangan yang sihat bagi memenuhi keperluan industri hiburan, terutama kepada stesen TV.

Persoalannya mampukah ratusan syarikat penerbitan di negara ini bernafas dengan pelbagai isu dan konflik yang tidak pernah selesai? Antaranya ialah isu seperti hak cipta karya yang masih tidak dapat diselesaikan hingga hari ini dan ia menjadi topik penting dalam mesyuarat agung Persatuan Penerbitan Televisyen Malaysia (PTVM) ke-3, baru-baru ini.

Presidennya, Jurey Latiff Rosli berkata, beberapa perjumpaan dan mesyuarat dalaman selain pertemuan bersama kementerian sudah diadakan bagi membincangkan mengenai masalah ini, namun hingga kini masih belum ada maklum balas yang positif.

“Isu hak cipta ini antara perkara yang boleh memberi galakan kepada penerbit untuk terus giat berkarya. Sehingga kini pihak penerbit seperti terpaksa untuk menerbitkan produk bagi meneruskan kehidupan.

“Hak cipta yang diberikan kepada stesen televisyen tidak memberi keistimewaan kepada penerbit, lebih-lebih lagi kalau pihak televisyen mengulang siar drama atau sesuatu program.

“Aduan yang diterima daripada banyak syarikat agar kerajaan dapat membantu menyelesaikan masalah ini. Sebelum ini pun kita melihat, syarikat penerbit terpaksa menandatangani kontrak sesuatu program yang akan disiarkan di televisyen.
“Selepas menandatangani, hak cipta akan jatuh di tangan stesen televisyen. Mereka (stesen TV) juga berhak untuk menyiarkan seberapa kerap tanpa membayar royalti kepada penerbit. Ia satu perjanjian yang tidak adil dan berat sebelah,” katanya yang ditemui selepas mesyuarat agung PTVM ke-3 itu diadakan.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Jurey berkata, walaupun mengetahui kandungan kontrak itu tidak adil, syarikat penerbitan drama atau program TV tidak ada pilihan terpaksa bersetuju juga kerana untuk ‘terus hidup’.

“Kalau tak menandatangani kontrak itu, di mana lagi syarikat penerbit ini mahu mencari makan? Sebab itulah, kami menyeru dan mengharap sangat kepada kerajaan supaya dapat membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Tambah Jurey lagi, bagi merancakkan industri penerbitan drama dan filem tanah air, PTVM berharap kesempurnaan perjalanan industri dapat diperhatikan oleh kerajaan dan stesen televisyen agar generasi baru mempunyai hala tuju dalam kerjaya mereka.

“Hari ini juga kita melihat beribu graduan yang menceburi bidang produksi, keluar dari universiti tidak memperoleh pekerjaan dan beralih kepada bidang lain. Ini menjadi satu kerugian besar kepada industri seni kerana kemahiran generasi muda ini adalah pelapis kepada menjana industri kreatif negara kita,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, hak cipta sesebuah karya adalah sepatutnya menjadi hak mutlak pencipta dan sebarang eksploitasi ke atas sesuatu karya itu adalah tertakluk kepada budi bicara pemegang hak.

“Baru-baru ini KPDNKK sudah mengadakan beberapa sesi dialog bersama karyawan seni bagi membincangkan mengenai industri kreatif dan termasuk juga berkaitan hak cipta 1987 yang di peringkat penggubalan.

“Ini menunjukkan kerajaan sentiasa peka dan memainkan peranannya dalam mendengar keluhan orang di dalam industri. Antaranya adalah bagi memberi keistimewaan kepada semua pihak.

“Berkaitan hak cipta penerbitan TV sememangnya sudah menjadi perhatian kerajaan untuk memikirkan kembali jalan penyelesaian terhadap masalah yang disuarakan oleh persatuan ini.

“Kami juga memikirkan bahawa sekiranya stesen tv menerima cadangan untuk memberikan hak cipta kepada pemiliknya tetapi mereka tidak memainkan selepas itu, bererti tiada guna juga buat pengkarya,” katanya yang berjanji akan menyelesaikan isu hak cipta dalam masa terdekat ini.

No comments:

Post a Comment