KUALA LUMPUR – Kerajaan semalam memberi isyarat bahawa ia akan memperjuangkan dan membela nasib serta hak golongan artis di negara ini tanpa bertolak ansur terhadap pelanggaran hak-hak harta intelek. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan meminda Akta Hak Cipta 1987 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan, undang-undang untuk melindungi hak-hak golongan artis akan lebih ketat.
Antara tumpuan yang bakal diberikan melalui pindaan akta itu meliputi aspek kutipan royalti yang lebih telus, penguatkuasaan Tribunal Hak Cipta, larangan muat turun bahan seni secara tidak sah dan jumlah bayaran minimum kepada karyawan seni. “Isu paling penting adalah mengenai royalti karyawan kerana ketika ini tiada satu sistem kutipan yang memuaskan manakala badan kutipan yang sedia ada tidak berdaftar dengan kerajaan.
“Selepas akta ini dipinda, mereka perlu berdaftar dan beroperasi secara lebih telus,” katanya ketika merasmikan Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO 2011 di DoubleTree by Hilton, The Intermark, Jalan Tun Razak di sini semalam. Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe dan Datuk Rohani Abdul Karim; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom; Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Abdul Manan Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah MyIPO, Mohd. Shahar Osman.
Turut menyerikan majlis ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak serta Pengarang Kosmo, Baharom Mahusin.
Lebih 500 tetamu termasuk 300 artis hadir pada majlis tersebut termasuk Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Harun Salim Bachik dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandes. Antara bintang-bintang yang hadir ialah Datuk Sarimah Ahmad, Jamal Abdillah, Amy Search, Ziana Zain, Farah Asyikin, Ifa Raziah dan Norman KRU.
Ismail Sabri memberitahu, apabila akta itu dilaksanakan kelak, setiap badan pengutip royalti artis yang berdaftar perlu membuat perjanjian bertulis untuk melaksanakan urusan tersebut. “Jika ada pelanggaran dalam syarat yang ditetapkan, badan itu boleh dikenakan penalti sehingga RM500,000 dan mereka perlu ada butir lengkap dalam sebarang urusan kutipan royalti berkenaan,” tegasnya. Selain itu, beliau berkata, akta baru itu juga akan menetapkan kadar minimum peratusan kutipan setiap hasil yang sepatutnya diperoleh oleh artis seperti penyanyi, komposer, penulis lirik atau pelakon. Ujarnya, kerajaan akan menetapkan jumlah itu dan apabila ia dilaksanakan tidak akan berlaku lagi bayaran rendah diperoleh oleh artis.
Ismail Sabri menambah, Tribunal Hak Cipta juga akan dikuatkuasakan dan diberi lebih kuasa dalam pindaan akta berkenaan. “Jika ada artis yang tidak puas hati, mereka boleh kemukakan aduan ke tribunal yang tidak akan mengambil masa yang lama dan mereka tidak perlu bayar caj peguam yang mahal,” ujarnya. Sementara itu, Amy Search mendedahkan dalam forum mengenai harta intelek yang diadakan pada himpunan semalam bahawa jika lagu-lagu nyanyiannya tidak dicetak rompak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, dia mungkin mampu meraih royalti sehingga RM15 juta.
No comments:
Post a Comment