Monday, January 31, 2011

Selamat Hari Wilayah Dan Selamat Tahun Baru Cina





Presiden PTVM, Encik Jurey Latiff Rosli mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Hari Wilayah yg ke 36 & Selamat Tahun Baru Cina (Gong Xi Fa Cai) kepada seluruh masyarakat kaum Cina di negara ini. Semoga kita semua dapat terus hidup dalam suasana harmoni, bertolak ansur dan saling memahami antara satu sama lain. Dan selamat bercuti kepada seluruh rakyat Malaysia. Musim hujan ini kena berhati-hati semasa memandu.

Saturday, January 29, 2011

BSN MULA AGIH PINJAMAN

Dana Industri Kreatif RM200 juta
Oleh Rudy Imran Shamsudin


KUALA LUMPUR: Peruntukkan Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lalu, bagi membiayai aktiviti seni seperti pengeluaran filem dan drama, muzik, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan tempatan sudah mula diagihkan dalam bentuk pinjaman menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN).
Menurut Timbalan Presiden Industri Kreatif BSN, Mohd Som Abu, Kementerian Kewangan mempertanggungjawabkan BSN untuk menguruskan dana yang diberikan. Beliau berkata, proses pembayaran balik tidak membebankan karyawan, tetapi akan dinilai terlebih dulu oleh badan penilai yang diketuai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan terutama membabitkan hal teknikal.

“Begitupun saya yakin ia lebih mudah untuk diperoleh berbanding pinjaman biasa memandangkan dana sudah ada. Mereka yang layak memohon adalah karyawan terbabit dalam bidang audio visual atau media baru, rekaan, seni dan arca dan media cetak. “Audio visual pula termasuklah animasi, interaktif, perisian Internet kreatif, filem, produksi televisyen, produksi muzikal, penerbitan laman sesawang dan industri muzik itu sendiri,” katanya.
Menurutnya, mereka berminat boleh membuat pinjaman dari jumlah minimum RM50,000 sehinggalah RM5 juta dan kadar dikenakan pula serendah dua peratus sepanjang proses karya dihasilkan sehinggalah dipasarkan. “Pembayaran tidak perlu dilakukan selama setahun sehinggalah karyawan memperoleh keuntungan dan faedah yang dikenakan pada tahun berikutnya ialah empat peratus. “Tempoh pembayaran pula dari satu hingga lima tahun. Bagaimanapun, sekiranya bayaran tidak dapat dilakukan selepas itu, peminjam boleh datang dan berbincang dengan pihak bank bagi meminta lanjutan tempoh pembayaran semula,” katanya.

Sementara itu selaku Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim menyambut baik usaha dilakukan pihak kerajaan dan BSN sendiri dalam membantu karyawan yang mahu menghasilkan produk sendiri.

“Dulu kebanyakan penyanyi dan pemuzik bernaung di bawah syarikat rakaman, tetapi kebanyakan daripada mereka bergerak sendiri. RIM kini mempunyai 190 ahli dan saya percaya, dana dalam bentuk pinjaman yang diberikan ini mampu menjana industri seni yang semakin berkembang dengan adanya teknologi baru,” katanya.


(keratan akhbar Harian Metro 28 Januari 2011, Jumaat)

Friday, January 28, 2011

Majlis Anugerah Profima 2010

Majlis Anugerah Profima 2010. Di Palace Of The Golden Horses Sri Kembangan. 25 Januari 2010. 8.30 mlm. Dimeriahkan lagi dengan kehadiran Presiden & Ahli J/kuasa PTVM.








Mesyuarat Bulanan AJK PTVM Ke 21




 Mesyuarat telah diadakan di pejabat PTVM, Sri Rampai. Pada 25 Januari 2011. Jam 2.00 ptg. Telah dihadiri oleh :
  1. Presiden, En. Jurey Latiff Rosli
  2. Naib Presiden, Datuk Hj. Noor Effendy
  3. Timbalan Presiden, En. Richard Ung
  4. Setiausaha, En. Mohd Taha Wahid
  5. Bendahari, En. Zaharuddin Miji
  6. Penolong Setiausaha, Cik Ritadewi
  7. Penasihat, En. Yusof Kelana
  8. Ahli J/Kuasa, En. TS Jeffry
  9. Ahli J/Kuasa, En. Shaharudin Thamby
  10. Ahli J/Kuasa, En. Baharuddin Ishak
  11. Ahli J/Kuasa, Tn. Hj. Wan Ibrahim Wan Omar
  12. Ahli J/Kuasa, Puan Wani Wendy Wong
  13. Ahli J/Kuasa, En. Zaharudin Hj. Mohd Ismail
  14. Pemeriksa Kira-kira, En. Azrul Hasani Baharom
  15. Pemeriksa Kira-kira, En. Martias Mohd Ali
 
 

Tuesday, January 18, 2011

Campur dongeng, Islam

"LPF tiada masalah jika cerita dongeng 100 peratus seperti filem klasik Pancha Delima"

 ISU drama bersiri Sakti Delima ditarik balik penyiarannya buat sementara waktu di stesen TV3 semakin panas apabila ia turut mendapat perhatian Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan beberapa wakil industri tempatan termasuk Persatuan Penulis Skrip dan Persatuan Pekerja Profesional Malaysia (Profima).
Presiden PTVM, Jurey Latiff Rosli berkata, pihaknya terpanggil untuk tampil ke depan kerana isu itu bukan hanya membabitkan JS Pictures Sdn Bhd saja sebaliknya semua penerbit drama tanah air. Justeru, persatuan dan beberapa wakil industri memutuskan mengadakan mesyuarat dengan Lembaga Penapis Filem (LPF) pada Khamis lalu.
“Pihak LPF mengetahui isu ini menerusi kenyataan penerbit JS Pictures, Sheila Rusly, pandangan saya dan pengarah Erma Fatima mengenai persoalan ini seperti dilaporkan di akhbar ini, baru-baru ini.

“Justeru, pihak LPF bersetuju mengadakan mesyuarat dengan persatuan dan wakil industri tempatan bagi menyelesaikan isu ini. Persatuan juga ingin mendengar penjelasan kedua-dua pihak iaitu JS Pictures, TV3 dan LPF sendiri dalam mesyuarat itu,” katanya.
                                             
Jika nak diikutkan, kata Jurey, JS Pictures bukannya ahli persatuan PTVM untuk diperjuangkan nasib produksi itu tetapi pihaknya bimbang jika isu ini tidak diselesaikan dengan segera, penerbit TV lain pula akan berdepan dengan isu sama selepas ini terutama ahli persatuan sendiri. “Pihak kami mengadakan mesyuarat dengan LPF juga bukan untuk mengeruhkan keadaan sebaliknya menyelesaikan isu itu dengan baik sekali gus menjaga kepentingan dan masa depan penerbit di negara ini.

“Sayangnya, kami dimaklumkan LPF, wakil TV3 dan JS Pictures tidak dapat hadir pada mesyuarat semalam (Khamis lalu) pada saat akhir,” katanya.

Turut sama dalam pertemuan itu ialah Presiden Persatuan Penulis Skrip, Ismail Ahmad; Presiden Profima, Khir Mohd Noor manakala LPF diwakili Pengerusinya, Datuk Mohd Hussain Shafie. Mereka juga berpeluang menonton drama Sakti Delima serta dimaklumkan garis panduan LPF mengenai tapisan sesuatu drama itu.

“Saya dimaklumkan LPF Sakti Delima diberhentikan sementara waktu siarannya kerana mereka ingin menilai dan menonton semula drama itu. Ada perkara yang tidak kena berkaitan isu agama dan cerita dongeng.

“LPF tiada masalah jika Sakti Delima adalah cerita dongeng 100 peratus seperti filem klasik Pancha Delima karya Tan Sri P Ramlee kerana ia dibenarkan jika tiada unsur agama Islam dibawa dalam cerita itu.

“Pada pemerhatian LPF, cerita dongeng dan agama Islam dimasukkan dalam Sakti Delima di mana orang bunian kahwin dengan manusia dan mendapat anak,” katanya.

Bagi menyelesaikan kemelut itu, kata Jurey, pihaknya mencadangkan kepada LPF untuk melaksanakan ‘Standard Operating Procedure’ membabitkan semua drama ditayangkan stesen TV di negara ini seperti dibuat stesen RTM.

“Pada dasarnya, pihak LPF menyambut baik cadangan kami ini. Dengan adanya penyelarasan ini, drama yang sudah ditayangkan di kaca TV tidak boleh ditarik balik siarannya atau digantung pihak LPF seperti yang berlaku kepada Sakti Delima itu,” katanya.

Sementara itu, Sheila pula berkata, dia bukan sengaja tidak hadir ke mesyuarat persatuan dan pihak LPF itu, sebaliknya akur selepas mendapat arahan TV3. Malah dia dan suami, Jinggo sudah bersedia untuk ke Wisma Putra tapi dimaklumkan tidak perlu hadir kerana TV3 yang akan mengendalikan isu itu.

“Saya difahamkan, selepas LPF menonton semua 20 episod drama Sakti Delima, insya-Allah ia akan kembali bersiaran pada Mac nanti. Saya juga menganggap isu ini sudah selesai dan berharap ia tidak akan ditimbulkan pihak lain lagi selepas ini,” katanya.

Apapun, Sheila menyokong usaha murni dilakukan persatuan untuk menyelesaikan isu membabitkan LPF. Sebelum ini, LPF menarik balik siaran Sakti Delima selepas empat episod bersiaran kerana dikatakan mempunyai unsur syirik dan tahyul serta boleh memesongkan akidah orang Islam.

(keratan akhbar Harian Metro 18 Januari 2011, Selasa. Oleh Ramlah Zainal)



Friday, January 14, 2011

KESINAMBUNGAN DARIPADA PERBINCANGAN MENGENAI DRAMA BERTAJUK "SAKTU DELIMA"

En. Jurey Latiff Rosli, Presiden PTVM, menjelaskan Lembaga Penapisan Filem Malaysia telah menjemput beliau bagi mengadakan perbincangan berkenaan isu penarikan balik tayangan drama Sakti Delima di TV3. Bertempat di Block D2 Tkt 2 pejabat LPF Putrajaya pukul 9.00 pagi 13 Jan 2011. Perbincangan berlangsung dengan dihadiri oleh beliau sendiri, En. Ismail Ahmad, En. Ahmad Ibrahim, En. Khir Mat Noor dan En. Mokhtar Abu Bakar mewakili industri bersama SUB LPF, Pengerusi LPF dan pegawai-pegawai tertinggi LPF. Tambah beliau lagi, "Kami menghormati dan menerima penjelasan LPF yang drama ini BUKAN DI HARAM tetapi melalui proses penilaian semula mengikut Garis Panduan LPF berdasarkan ada unsur-unsur Tahyul dan Kurafat. Isu ini telah memberi kesempatan kepada PTVM mencadangkan satu Standard Operating Procedure digunapakai semua stesen TV bersangkutan pengisian program untuk siaran TV di Malaysia. SOP ini akan memastikan sebarang program TV lulus untuk siaran dan penerbit tidak menanggung risiko sekiranya program dibekal tidak dapat ditayang. SOP yang sama diguna oleh RTM."

PERBINCANGAN MENGENAI DRAMA BERTAJUK "SAKTI DELIMA"

 En. Jurey Latiff Rosli, Presiden PTVM dijemput utk perbincangan mengenai drama bertajuk "Sakti Delima" oleh pihak LPF dgn mereka2 yg terlibat bersama. Perbincangan tersebut diadakan di Putrajaya pada 13 Januari 2011, Khamis. Industri kreatif Malaysia memerlukan lonjakan dan perjuangan yg baru berikutan potensinya utk m...enjana ekonomi berpendapatan tinggi serta memartabatkan budaya bangsa. Bersama-sama bergabung tenaga bersatu suara dan betapa pentingnya peranan Persatuan.

Wednesday, January 12, 2011



 TINDAKAN Lembaga Penapisan Filem (LPF) menghentikan siaran drama Sakti Delima dengan serta merta selepas disiarkan empat episod, mendapat maklum balas dari penggiat seni tanah air.
Alasan LPF, drama 20 episod terbitan JS Pictures Sdn Bhd dan diarahkan Azman Yahya atau Jinggo kerana ia mengandungi unsur syirik dan tahyul ketara yang boleh memesongkan akidah Islam. Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latif Rosli berkata, dia sangat terkejut apabila membaca berita itu dalam akhbar ini, semalam.

"Kenapa selepas empat episod Sakti Delima disiarkan, baru sekarang LPF hendak mengharamkan penyiarannya. Ia satu kerugian besar kepada produser itu. Kalau LPF tidak benarkan drama itu disiarkan, kenapa mereka tidak bertindak sejak awal lagi. "Saya simpati dengan nasib Sheila dan suaminya, Jinggo. Mereka tentu rasa teraniaya dan kecewa. Ini bukan kali pertama Sheila menerbitkan genre drama seperti ini di mana seingat saya dia pernah terbitkan drama Anak Betong yang pernah mengisi slot sama di TV3. "Kalau drama ini diharamkan tetapi kenapa saya tengok drama Bawang Putih Bawang Merah dari Indonesia disiarkan berulang kali. "Apa bezanya drama itu dengan drama tempatan kerana Bawang Putih Bawang Merah juga adalah kisah rakyat. "Saya berasa musykil dengan tindakan LPF. Barangkali tindakan itu dibuat kerana mereka mendapat komplen dari orang ramai dan menjadi ancaman besar kepada masyarakat serta merosakkan akidah umat Islam. "Bagi mengelakkan masalah ini terus berlaku pada masa depan, stesen TV sepatutnya duduk bersama LPF dan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam) untuk mencari jalan penyelesaian.
"Pastinya sebelum Sheila menerbitkan drama ini dia sudah berbincang dengan stesen TV mengenai jalan cerita dan pelakonnya. Yang saya kurang faham, adakah stesen TV itu sudah merujuk kepada LPF atau mereka mempunyai badan penapisan sendiri," katanya.

Tambah Jurey, dalam konteks ini mungkin Sheila fikir yang pihak stesen TV sudah merujukkan skripnya kepada Jakim dan sebab itu Sakti Delima diluluskan. "Dengan apa yang terjadi, saya tidak mahu Sheila lemah dan patah semangat. Justeru, LPF jangan bertindak melulu sebaliknya letakkan peratusan yang jelas mengenai pembikinan drama dan filem di negara ini supaya tidak merugikan produser. LPF juga perlu memberi layanan sama drama lagenda dari Indonesia yang banyak ditayangkan di kebanyakan stesen TV negara ini," katanya.

Pengarah dan juga penerbit popular, Erma Fatima pula berkata, perkara ini berlaku terlalu mendadak sedang produser sudah keluarkan duit. "Sebelum menerbitkan drama ini, mungkin penerbit sudah merujuk kepada program lain yang tidak menjadi isu. Sebelum Sakti Delima diharamkan, banyak lambakan drama khurafat dari buatan tempatan dan luar negara disiarkan di stesen TV. Tiada masalah pun.
"Sepatutnya LPF mengadakan garis panduan yang tetap dan tidak diubah sesuka hati kerana ia hanya menyusahkan banyak pihak. Saya yakin semua produser akan mematuhi syarat itu kerana mereka juga tidak mahu menanggung kerugian apabila tiba-tiba drama terbitan mereka dihentikan siarannya. "Garis panduan itu pula perlu diaplikasikan kepada drama tahyul yang dibeli dari negara luar. "Bagaimanapun, orang Malaysia terlalu baik dan dengan rela hati menerima apa jenis genre drama dari orang luar. Jadi LPF perlu berlaku adil kepada semua pihak," katanya. Dalam laporan Harian Metro semalam, produser drama itu, Sheila Rusly meluahkan rasa kesalnya dengan arahan mengejut daripada LPF itu.

Katanya, drama itu adalah adaptasi 30 peratus dari filem klasik Seniman Agung Tan Sri P Ramlee, Pancha Delima lakonan Tan Sri JIns Shamsuddin.
"Saya tertanya-tanya juga apa bezanya cerita Sakti Delima dengan Pancha Delima yang banyak kali diulang siar di televisyen. Bezanya, Sakti Delima berlatarkan zaman kini tetapi kita sendiri tidak tahu zaman berlakunya kisah fantasi itu," katanya.

Kata Sheila, pihaknya tetap menyelitkan nilai-nilai keislaman dan keindahan bahasa Melayu klasik dalam siri itu. "Kalau orang kata cerita ini tahyul, banyak lagi cerita lagenda lain yang buat cerita sama dan lulus tapisan," katanya.

Sakti Delima disiarkan dalam slot Legenda di TV3, setiap Isnin hingga Khamis mulai 3 Januari lalu menggantikan Putera Katak. Banyak lagi drama lain yang pernah mengisi slot ini seperti Mayang Mengurai, Puteri Salju, Ulik Mayang, Sumpah Bunian, Duyung Aridinata, Akukah Tanggang, Cucu Betong, Ular Emas dan Nenek Kebaya tetapi tidak berhadapan sebarang masalah dan mendapat kelulusan sepenuhnya dari LPF.

Bagi menggantikan kekosongan Sakti Delima, TV3 menyiarkan semula Akukah Tanggang lakonan Ady Putra dan Fasha Sandha yang pernah disiarkan pada 2009, mulai kelmarin (Isnin). Difahamkan, TV3 akan menyiarkan Sakti Delima jika mendapat kelulusan LPF sebaik saja tamat Akukah Tanggang.

(keratan akhbar Harian Metro 12 Jan 2011, Rabu. Oleh Nor Akmar Samudin)


Tuesday, January 11, 2011

SHEILA MENANGIS

KECEWA...Sheila terkejut dengan arahan LPF.
KUALA LUMPUR: Baru empat episod ke udara di TV3, drama bersiri 20 episod, Sakti Delima terbitan JS Pictures Sdn Bhd terpaksa dihentikan siarannya, berkuat kuasa serta-merta, semalam.
Produser drama itu, Sheila Rusly mengesahkan, perkara ini atas arahan Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang mendakwa drama arahan Azman Yahya atau Jinggo itu mengandungi unsur syirik dan tahyul ketara yang boleh memesongkan akidah Islam.
Sambil menangis, Sheila ketika menghubungi Harian Metro, petang semalam sangat kecewa dan kesal dengan arahan mengejut daripada LPF itu.

“Saya baru dapat tahu arahan ini dari TV3 yang memaklumkan perkara ini semalam. Saya difahamkan, LPF berkata, Sakti Delima boleh mengelirukan penonton kerana kalung Sakti Delima yang ditonjolkan berbaur syirik. Saya juga diberitahu, wakil LPF bertanya kepada pihak TV3, adakah orang bunian dalam cerita ini Islam ke tidak?” katanya.

Sheila berkata kisah Sakti Delima sebenarnya adalah adaptasi kira-kira 30 peratus dari filem klasik, Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Pancha Delima lakonan Tan Sri Jins Shamsuddin.

“Ia menceritakan mengenai kesaktian seutas kalung yang jadi rebutan ramai. Ia cerita epik berdasarkan fantasi dan khayalan penulis Sofia J Rhyland dan 'team' produksi kami.

“Saya tertanya-tanya juga, apa bezanya cerita Sakti Delima dengan filem Pancha Delima yang banyak kali diulang tayang siarannya di TV? Bezanya, cerita Sakti Delima dihasilkan pada zaman ini tapi kita sendiri tidak tahu zaman berlakunya kisah fantasi itu,” katanya.

Dengan apa yang berlaku, Sheila melihat pihak LPF seolah-olah bersikap 'double standard' terhadap syarikatnya.

“Bagaimana LPF menilai Sakti Delima cerita syirik sedangkan ia baru disiarkan empat episod? Mereka belum tahu bagaimana penghujung cerita ini yang terselit pengajaran. Justeru, saya merayu kepada pihak LPF agar mempertimbang semula arahan menghentikan siaran Sakti Delima,” kata Shiela.

Dia berkata, pihaknya menghasilkan cerita Sakti Delima kerana ingin beri peluang kepada pelakon wanita bertudung di luar sana.

“Kalau LPF menghentikan siaran Sakti Delima, hasrat kami ingin membantu pelakon bertudung yang kurang tawaran berlakon, tidak kesampaian.

“Sebenarnya, ramai pelakon bertudung mengeluh kerana susah mendapat tawaran berlakon dan watak mencabar kredibiliti mereka. Peluang yang saya buka kepada pelakon bertudung untuk beraksi dalam produksi saya itu atas rasa tanggungjawab sebagai produser, sekali gus menyemarakkan bidang seni tanah air,” katanya.

Sheila berkata, pihaknya tetap menyelitkan nilai-nilai keislaman dan keindahan bahasa Melayu klasik dalam siri itu

“Kalau orang kata cerita ini tahyul banyak lagi cerita legenda yang lain yang buat cerita yang sama dan lulus tapisan LPF,” katanya.

Ditanya kemungkinan ada pihak yang mahu sabotaj Sakti Delima, Sheila tidak ada jawapan untuk soalan itu.

“Entahlah, itu saya tak pasti,” katanya.

Drama bersiri Sakti Delima menceritakan mengenai pengusaha chalet, Talib di pusat peranginan di tanah tinggi yang juga ayah tunggal kepada tiga anak perempuan iaitu Siti Anggerik, Siti Tanjung dan Siti Melur.

Siti Melur adalah anak bongsu yang kerap dibuli dua kakaknya (hasil perkahwinan pertama ayahnya). Taib juga sedih melihat sikap Siti Anggerik dan Siti Tanjung yang bukan saja asyik bertelagah sesama sendiri tapi sering membuli adik mereka, Siti Melur.

Satu malam, Siti Melur bermimpi berjumpa arwah ibunya yang memberitahu mengenai kehebatan kalung di lehernya yang digelar Sakti Delima yang mampu membawa tuah.

Barisan pelakon yang menjayakan Sakti Delima adalah Bienda, Safura, Aida Khalida, Catriona Ross, Ungku Ismail, Iqram Dinzly, Yalal Murai dan Sheila sendiri.

Ia menelan kos kira-kira RM500,000 dan sepatutnya ke udara di slot Lagenda TV3, jam 4.30 petang, mulai 3 Januari lalu

(keratan akhbar harian metro 11 Jan 2011, Selasa. Oleh Ramlah Zainal)
.

Monday, January 3, 2011

BELUM SELESAI



SEPANJANG 2010, drama bergenre seram tempatan dilihat banyak menghiasai kaca televisyen. Penerbit meletakkan genre ini sebagai pilihan utama seolah-olah ia memberi lebih kepuasan kepada mereka, malah ada yang tidak menyedari keburukannya dan hanya memikirkan keuntungan semata-mata.
Penonton juga dilihat seperti dapat menerima kemunculan drama seram berbanding sebelum ini yang sering mendapat kritikan, masyarakat kini lebih terbuka. Tidak  ketinggalan filem seram di pawagam yang rata-rata menuai untung pecah panggung.
Kemunculan pengarah dan penerbit yang cuba member kelainan dalam usaha menepati cita rasa penonton juga perkembangan bagus.
Bagaimanapun, sejauh manakah dapat mereka bertahan apabila ramai penerbit cuba mendapatkan slot drama di televisyen berdepan masalah?
Menyedari hakikat ini, penerbit harus bijak dalam penghasilan drama seram lebih baik supaya tidak dikatakan stereotaip sehingga membosankan penonton.
Dengan cara ini sekurang-kurangnya mereka akan terus diberi peluang menyiarkan drama yang dihasilkan dan terus bertahan dalam menghasilkan karya bermutu.
Kehadiran pengarah muda juga adalah cabaran untuk melihat sejauh mana Malaysia mampu menghasilkan drama dan filem seram yang lebih berkualiti berbanding produk asing.
Namun, Itu semua tidak menjadi masalah kerana apa yang berlaku kini, persatuan penerbit tempatan juga bertungkus-lumus menghasilkan drama mengikut peredaran dan permintaan stesen televisyen, sekali gus mencari keserasian dalam selera penonton.
Bagi menyelami persoalan ini, SELEBRITI mendekati Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) serta pengarah dan penerbit World Evolution Brain (M) Sdn Bhd, Jurey Latiff Rosli yang berpengalaman lebih 20 tahun.
Menurut Jurey, apa yang berlaku bukan sekadar senario permintaan penonton, malah ia dilihat daripada sudut perniagaan drama seram kini menjadi pilihan.
Pemilihan pelakon juga memainkan peranan. Walaupun sesetengah drama itu kurang menarik, aura seseorang pelakon mampu membuat penonton terus bertahan di depan kaca televisyen untuk mengikuti kesudahan sesebuah drama.
Rungutan penerbit yang kadangkala terpaksa akur dengan permintaan stesen televisyen dalam menetapkan pemilihan pelakon mengikut selera mereka juga ada kala memberi masalah kepada penerbit. Setiap penerbit melakukan penilian terhadap bakat seseorang pelakon dan kesesuaian watak.
“Tidak dinafikan drama tempatan kini lebih disajikan dengan kisah seram yang mula menjadi pilihan penonton, malah stesen televisyen juga meminta penerbit menerbitkan drama seram demi menaikkan rating penonton saluran masing-masing.
“Bermula dengan kemunculan filem seram Jangan Pandang Belakang, ia seperti menjadi ikutan apabila ramai penerbit terus-terusan menerbitkan genre ini hingga ia dibawa kepada drama dan dijadikan drama bersiri berikutan permintaan penonton dan juga stesen televisyen.
“Soal kualiti drama seram lebih bagus daripada filem, banyak faktor mempengaruhi perkara ini. Walaupun penggambaran drama bersiri mengambil masa panjang, hasilnya tampak mudah kerana jalan ceritanya ringkas serta kos tidak mahal.
“Untungnya Malaysia dihuni oleh penduduk Melayu yang mempunyai kisah seram lebih menarik yang boleh diketengahkan dalam pelbagai bentuk, rupa dan keadaan. Untung filem, kos tinggi menyebabakan penerbit harus berhati-hati, bimbang filem mereka kurang sambutan.
“Pun begitu, masalah seperti ini sukar dijangka apabila seseorang penerbit itu menghasilkan filem seram, mungkin mereka sangkakan filem mereka cukup bagus untuk ditonton tetapi pada pandangan orang lain, ia hanya biasa dan situasi ini sering berlaku.” Katanya.
Beliau melihat masalah ini daripada pelbagai sudut., menghasilkan drama seram ada kalanya menyebabkan penerbit harus akur dengan permintaan stesen televisyen yang mahukan pelakon dipilih oleh mereka sendiri, sedangkan segala bayaran di bawah tanggungjawab syarikat berkenaan.
Pelakon pula ada yang suka bersikap ‘demand’ inginkan bayaran lebih, sedangkan peruntukan yang ada hanya cukup makan. Jesteru, tidak hairan ada penerbit terpaksa gulung tikar apabila peruntukan diberi tidak mampu menanggung kos syarikat dan keseluruhan.
“Masalah stesen televisyen memilih pelakon menyebabkan penerbit menemui jalan buntu, biarpun banyak kali perbincangan dilakukan bersama. Malah kami menghantar surat rayuan kepada menteri bagi menyelesaikan segera perkara ini supaya tidak ada penerbit melalui situasi sama.
“Saya sedar apa yang mereka lakukan adalah keuntungan dalam perniagaan tetapi jika tiada jalan penyelesaian, mungkin memberi kesan buruk kepada penerbit drama kerana setiap drama yang disiarkan pastinya selepas itu akan diulang tayang dan masalah itu yang menyebabkan penerbit kerugian. Jesteru, perkara ini dibentangkan dan  saya harap akan segera menemui penyelesaian.
“Tidak dinafikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim pernah berjanji akan segera menyelesaikan masalah ini dengan mengkaji semula perkara berbangkit ketika perbincangan bersama pada Jun 2009, saya harapkan tahun 2011 perkara ini akan selesai,” katanya.
Menyokong tindakan kerajaan Korea yang sentiasa prihatin terhadap kru penerbitan mereka, Jurey berharap perkara ini segera dikaji kerana sesuatu pembuatan drama turut meliputi kebajikan semua, termasuk daripada bawahan sehingga yang berpangkat.
“Malaysia adalah Negara yang mudah dibentuk, dengan purata kecil penggiat seni saya yakin dengan penyusunan semua, tidak mustahil perfileman di sini akan setanding dengan filem dan drama luar Negara.
DURJA NINGSUN.......... drama seram bersiri TV3 yang mendapat sambutan ramai.


“Dengan campur tangan kerajaan, masalah ini dapat diatasi kerana peredaran masa memerlukan penggiat seni yang berbakat untuk menghasilkan karya bermutu.
“Jika peluang tidak diberi kepada mereka, tidak mustahil satu hari nanti industri lakonan Malaysia terus berada di takuk lama,” katanya.

(keratan akhbar Metro Ahad bertarikh 02 Januari 2011-oleh Syanty Octavia Amry)