Saturday, January 29, 2011

BSN MULA AGIH PINJAMAN

Dana Industri Kreatif RM200 juta
Oleh Rudy Imran Shamsudin


KUALA LUMPUR: Peruntukkan Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lalu, bagi membiayai aktiviti seni seperti pengeluaran filem dan drama, muzik, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan tempatan sudah mula diagihkan dalam bentuk pinjaman menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN).
Menurut Timbalan Presiden Industri Kreatif BSN, Mohd Som Abu, Kementerian Kewangan mempertanggungjawabkan BSN untuk menguruskan dana yang diberikan. Beliau berkata, proses pembayaran balik tidak membebankan karyawan, tetapi akan dinilai terlebih dulu oleh badan penilai yang diketuai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan terutama membabitkan hal teknikal.

“Begitupun saya yakin ia lebih mudah untuk diperoleh berbanding pinjaman biasa memandangkan dana sudah ada. Mereka yang layak memohon adalah karyawan terbabit dalam bidang audio visual atau media baru, rekaan, seni dan arca dan media cetak. “Audio visual pula termasuklah animasi, interaktif, perisian Internet kreatif, filem, produksi televisyen, produksi muzikal, penerbitan laman sesawang dan industri muzik itu sendiri,” katanya.
Menurutnya, mereka berminat boleh membuat pinjaman dari jumlah minimum RM50,000 sehinggalah RM5 juta dan kadar dikenakan pula serendah dua peratus sepanjang proses karya dihasilkan sehinggalah dipasarkan. “Pembayaran tidak perlu dilakukan selama setahun sehinggalah karyawan memperoleh keuntungan dan faedah yang dikenakan pada tahun berikutnya ialah empat peratus. “Tempoh pembayaran pula dari satu hingga lima tahun. Bagaimanapun, sekiranya bayaran tidak dapat dilakukan selepas itu, peminjam boleh datang dan berbincang dengan pihak bank bagi meminta lanjutan tempoh pembayaran semula,” katanya.

Sementara itu selaku Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim menyambut baik usaha dilakukan pihak kerajaan dan BSN sendiri dalam membantu karyawan yang mahu menghasilkan produk sendiri.

“Dulu kebanyakan penyanyi dan pemuzik bernaung di bawah syarikat rakaman, tetapi kebanyakan daripada mereka bergerak sendiri. RIM kini mempunyai 190 ahli dan saya percaya, dana dalam bentuk pinjaman yang diberikan ini mampu menjana industri seni yang semakin berkembang dengan adanya teknologi baru,” katanya.


(keratan akhbar Harian Metro 28 Januari 2011, Jumaat)

No comments:

Post a Comment