Alasan LPF, drama 20 episod terbitan JS Pictures Sdn Bhd dan diarahkan Azman Yahya atau Jinggo kerana ia mengandungi unsur syirik dan tahyul ketara yang boleh memesongkan akidah Islam. Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latif Rosli berkata, dia sangat terkejut apabila membaca berita itu dalam akhbar ini, semalam.
"Kenapa selepas empat episod Sakti Delima disiarkan, baru sekarang LPF hendak mengharamkan penyiarannya. Ia satu kerugian besar kepada produser itu. Kalau LPF tidak benarkan drama itu disiarkan, kenapa mereka tidak bertindak sejak awal lagi. "Saya simpati dengan nasib Sheila dan suaminya, Jinggo. Mereka tentu rasa teraniaya dan kecewa. Ini bukan kali pertama Sheila menerbitkan genre drama seperti ini di mana seingat saya dia pernah terbitkan drama Anak Betong yang pernah mengisi slot sama di TV3. "Kalau drama ini diharamkan tetapi kenapa saya tengok drama Bawang Putih Bawang Merah dari Indonesia disiarkan berulang kali. "Apa bezanya drama itu dengan drama tempatan kerana Bawang Putih Bawang Merah juga adalah kisah rakyat. "Saya berasa musykil dengan tindakan LPF. Barangkali tindakan itu dibuat kerana mereka mendapat komplen dari orang ramai dan menjadi ancaman besar kepada masyarakat serta merosakkan akidah umat Islam. "Bagi mengelakkan masalah ini terus berlaku pada masa depan, stesen TV sepatutnya duduk bersama LPF dan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam) untuk mencari jalan penyelesaian.
"Pastinya sebelum Sheila menerbitkan drama ini dia sudah berbincang dengan stesen TV mengenai jalan cerita dan pelakonnya. Yang saya kurang faham, adakah stesen TV itu sudah merujuk kepada LPF atau mereka mempunyai badan penapisan sendiri," katanya.
Tambah Jurey, dalam konteks ini mungkin Sheila fikir yang pihak stesen TV sudah merujukkan skripnya kepada Jakim dan sebab itu Sakti Delima diluluskan. "Dengan apa yang terjadi, saya tidak mahu Sheila lemah dan patah semangat. Justeru, LPF jangan bertindak melulu sebaliknya letakkan peratusan yang jelas mengenai pembikinan drama dan filem di negara ini supaya tidak merugikan produser. LPF juga perlu memberi layanan sama drama lagenda dari Indonesia yang banyak ditayangkan di kebanyakan stesen TV negara ini," katanya.
Pengarah dan juga penerbit popular, Erma Fatima pula berkata, perkara ini berlaku terlalu mendadak sedang produser sudah keluarkan duit. "Sebelum menerbitkan drama ini, mungkin penerbit sudah merujuk kepada program lain yang tidak menjadi isu. Sebelum Sakti Delima diharamkan, banyak lambakan drama khurafat dari buatan tempatan dan luar negara disiarkan di stesen TV. Tiada masalah pun.
"Sepatutnya LPF mengadakan garis panduan yang tetap dan tidak diubah sesuka hati kerana ia hanya menyusahkan banyak pihak. Saya yakin semua produser akan mematuhi syarat itu kerana mereka juga tidak mahu menanggung kerugian apabila tiba-tiba drama terbitan mereka dihentikan siarannya. "Garis panduan itu pula perlu diaplikasikan kepada drama tahyul yang dibeli dari negara luar. "Bagaimanapun, orang Malaysia terlalu baik dan dengan rela hati menerima apa jenis genre drama dari orang luar. Jadi LPF perlu berlaku adil kepada semua pihak," katanya. Dalam laporan Harian Metro semalam, produser drama itu, Sheila Rusly meluahkan rasa kesalnya dengan arahan mengejut daripada LPF itu.
Katanya, drama itu adalah adaptasi 30 peratus dari filem klasik Seniman Agung Tan Sri P Ramlee, Pancha Delima lakonan Tan Sri JIns Shamsuddin.
"Saya tertanya-tanya juga apa bezanya cerita Sakti Delima dengan Pancha Delima yang banyak kali diulang siar di televisyen. Bezanya, Sakti Delima berlatarkan zaman kini tetapi kita sendiri tidak tahu zaman berlakunya kisah fantasi itu," katanya.
Kata Sheila, pihaknya tetap menyelitkan nilai-nilai keislaman dan keindahan bahasa Melayu klasik dalam siri itu. "Kalau orang kata cerita ini tahyul, banyak lagi cerita lagenda lain yang buat cerita sama dan lulus tapisan," katanya.
Sakti Delima disiarkan dalam slot Legenda di TV3, setiap Isnin hingga Khamis mulai 3 Januari lalu menggantikan Putera Katak. Banyak lagi drama lain yang pernah mengisi slot ini seperti Mayang Mengurai, Puteri Salju, Ulik Mayang, Sumpah Bunian, Duyung Aridinata, Akukah Tanggang, Cucu Betong, Ular Emas dan Nenek Kebaya tetapi tidak berhadapan sebarang masalah dan mendapat kelulusan sepenuhnya dari LPF.
Bagi menggantikan kekosongan Sakti Delima, TV3 menyiarkan semula Akukah Tanggang lakonan Ady Putra dan Fasha Sandha yang pernah disiarkan pada 2009, mulai kelmarin (Isnin). Difahamkan, TV3 akan menyiarkan Sakti Delima jika mendapat kelulusan LPF sebaik saja tamat Akukah Tanggang.
(keratan akhbar Harian Metro 12 Jan 2011, Rabu. Oleh Nor Akmar Samudin)
No comments:
Post a Comment