"LPF tiada masalah jika cerita dongeng 100 peratus seperti filem klasik Pancha Delima"
ISU drama bersiri Sakti Delima ditarik balik penyiarannya buat sementara waktu di stesen TV3 semakin panas apabila ia turut mendapat perhatian Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan beberapa wakil industri tempatan termasuk Persatuan Penulis Skrip dan Persatuan Pekerja Profesional Malaysia (Profima).
Presiden PTVM, Jurey Latiff Rosli berkata, pihaknya terpanggil untuk tampil ke depan kerana isu itu bukan hanya membabitkan JS Pictures Sdn Bhd saja sebaliknya semua penerbit drama tanah air. Justeru, persatuan dan beberapa wakil industri memutuskan mengadakan mesyuarat dengan Lembaga Penapis Filem (LPF) pada Khamis lalu.
“Pihak LPF mengetahui isu ini menerusi kenyataan penerbit JS Pictures, Sheila Rusly, pandangan saya dan pengarah Erma Fatima mengenai persoalan ini seperti dilaporkan di akhbar ini, baru-baru ini.
“Justeru, pihak LPF bersetuju mengadakan mesyuarat dengan persatuan dan wakil industri tempatan bagi menyelesaikan isu ini. Persatuan juga ingin mendengar penjelasan kedua-dua pihak iaitu JS Pictures, TV3 dan LPF sendiri dalam mesyuarat itu,” katanya.
Jika nak diikutkan, kata Jurey, JS Pictures bukannya ahli persatuan PTVM untuk diperjuangkan nasib produksi itu tetapi pihaknya bimbang jika isu ini tidak diselesaikan dengan segera, penerbit TV lain pula akan berdepan dengan isu sama selepas ini terutama ahli persatuan sendiri. “Pihak kami mengadakan mesyuarat dengan LPF juga bukan untuk mengeruhkan keadaan sebaliknya menyelesaikan isu itu dengan baik sekali gus menjaga kepentingan dan masa depan penerbit di negara ini.
“Sayangnya, kami dimaklumkan LPF, wakil TV3 dan JS Pictures tidak dapat hadir pada mesyuarat semalam (Khamis lalu) pada saat akhir,” katanya. Turut sama dalam pertemuan itu ialah Presiden Persatuan Penulis Skrip, Ismail Ahmad; Presiden Profima, Khir Mohd Noor manakala LPF diwakili Pengerusinya, Datuk Mohd Hussain Shafie. Mereka juga berpeluang menonton drama Sakti Delima serta dimaklumkan garis panduan LPF mengenai tapisan sesuatu drama itu.
“Saya dimaklumkan LPF Sakti Delima diberhentikan sementara waktu siarannya kerana mereka ingin menilai dan menonton semula drama itu. Ada perkara yang tidak kena berkaitan isu agama dan cerita dongeng.
“LPF tiada masalah jika Sakti Delima adalah cerita dongeng 100 peratus seperti filem klasik Pancha Delima karya Tan Sri P Ramlee kerana ia dibenarkan jika tiada unsur agama Islam dibawa dalam cerita itu.
“Pada pemerhatian LPF, cerita dongeng dan agama Islam dimasukkan dalam Sakti Delima di mana orang bunian kahwin dengan manusia dan mendapat anak,” katanya.
Bagi menyelesaikan kemelut itu, kata Jurey, pihaknya mencadangkan kepada LPF untuk melaksanakan ‘Standard Operating Procedure’ membabitkan semua drama ditayangkan stesen TV di negara ini seperti dibuat stesen RTM.
“Pada dasarnya, pihak LPF menyambut baik cadangan kami ini. Dengan adanya penyelarasan ini, drama yang sudah ditayangkan di kaca TV tidak boleh ditarik balik siarannya atau digantung pihak LPF seperti yang berlaku kepada Sakti Delima itu,” katanya.
Sementara itu, Sheila pula berkata, dia bukan sengaja tidak hadir ke mesyuarat persatuan dan pihak LPF itu, sebaliknya akur selepas mendapat arahan TV3. Malah dia dan suami, Jinggo sudah bersedia untuk ke Wisma Putra tapi dimaklumkan tidak perlu hadir kerana TV3 yang akan mengendalikan isu itu.
“Saya difahamkan, selepas LPF menonton semua 20 episod drama Sakti Delima, insya-Allah ia akan kembali bersiaran pada Mac nanti. Saya juga menganggap isu ini sudah selesai dan berharap ia tidak akan ditimbulkan pihak lain lagi selepas ini,” katanya.
Apapun, Sheila menyokong usaha murni dilakukan persatuan untuk menyelesaikan isu membabitkan LPF. Sebelum ini, LPF menarik balik siaran Sakti Delima selepas empat episod bersiaran kerana dikatakan mempunyai unsur syirik dan tahyul serta boleh memesongkan akidah orang Islam.
(keratan akhbar Harian Metro 18 Januari 2011, Selasa. Oleh Ramlah Zainal)
No comments:
Post a Comment