Tuesday, August 23, 2011

Ucapan Selamat Hari Raya - Presiden PTVM

En. Jurey Latiff Rosli, Presiden
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, 

Sempena 1 Syawal 1432H yang menjelang tiba, saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin kepada semua ahli-ahli PTVM dan kepada umat Islam di Malaysia di mana juga mereka berada.

Aidilfitri memberi kesempatan kepada kita untuk saling bermaaf-maafan dan mengukuhkan lagi ikatan silaturahim yang sedia terjalin selama ini. Kita perlu terus kekalkan semangat muhibah dan permuafakatan seperti yang diterapkan di dalam konsep 1Malaysia, kerana inilah yang menjadi tunjang kekuatan kita untuk terus kekal hidup aman dan makmur.

Kepada yang akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya berhati-hatilah di jalan raya. Saya doakan agar perjalanan anda semua selamat sampai ke destinasi. Di samping itu, saya juga ingin menasihatkan agar anda semua menjaga kesihatan diri, kerana kesihatan merupakan anugerah Allah SWT yang amat berharga.

Sekali lagi bagi diri saya, ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Saturday, August 13, 2011

PTVM NGO pertama, ahli Gabungan BN.





Keratan Akbhar
Berita Harian
Sabtu, 13 Ogos 2011

PTVM NGO pertama, ahli Gabungan BN


BN akan bertemu SPR

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan kaedah terbaik untuk memastikan proses pilihan raya di negara ini berjalan dengan bersih dan adil.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, isu pilihan raya bersih dan adil juga menjadi perhatian, komitmen parti dan bukan dimonopoli pihak lain semata-mata.

“Kita akan berunding dengan SPR dan pihak lain juga boleh berunding supaya SPR boleh merumuskan sesuatu kaedah yang boleh menjamin pilihan raya ini tidak boleh dipertikaikan.

“Kita (BN) bersikap terbuka dalam hal ini dan apa-apa formula yang baik kita akan bincang dengan SPR. Semoga salah anggapan ini seolah-olah BN tidak memperjuangkan prinsip ini (bersih dan adil) untuk mengadakan pilihan raya yang bersih dan bebas, BN dapat sangkal sama sekali,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini, semalam.

Mengenai sidang khas Parlimen yang dituntut pihak pembangkang, Najib berkata: “Sampai pada masanya kita akan buat satu kenyataan nanti.” Sementara itu, beliau berkata Dewan Tertinggi BN menerima empat pertubuhan sebagai anggota bergabung BN iaitu Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Pertubuhan Seni Silat Gayung Malaysia dan Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah.

Katanya, BN masih membuka permohonan mana-mana pertubuhan ingin bergabung dengan parti itu. - Bernama

Harian Metro, Sabtu 13 Ogos 2011

Wednesday, August 10, 2011

PERMASALAHAN KEAHLIAN KEUTAMAAN PERSATUAN


KEPADA AHLI-AHLI PTVM,

 Tan Sri/Puan Sri/Dato’/Datin/Tuan/Puan,

 PERMASALAHAN KEAHLIAN KEUTAMAAN PERSATUAN
Dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara di atas.

2.         Sukacita dimaklumkan, usaha Presiden PTVM bersama barisan AJKnya telah akhirnya dilihat penting di mana keahlian PTVM telah diberi keutamaan oleh KPKK-RTM bagi meraih projek untuk siaran RTM.  Ini terbukti di mana sebilangan besar daripada syarikat yang telah berjaya di dalam pitching Disember 2010 adalah terdiri daripada ahli PTVM dan telah disahkan oleh Ketua Pengarah RTM, Ybhg Dato’ Norhyati Ismail di satu penemuan bertarikh 28 Jun 2011 yang lalu.

3.         Sehubungan dengan itu, mana-mana ahli yang ada permasalahan dengan pihak RTM dari segi penghantaran produk ataupun permasalahan yang berkaitan dengan industri penyiaran tanahair, sila maklumkan akan perkara tersebut ke pihak kami, supaya dapat  pihak kami mengambil tindakan segera terhadap permasalah tersebut.

4.         PTVM sentiasa terbuka dan mengalu-alukan untuk menerima pandangan, cadangan atau pun idea yang bernas silalah tulis di facebook PTVM. Sesungguhnya segala pandangan dan sumbangan idea yang bernas adalah bagi meningkatkan dan memantapkan lagi kualiti dan menaikkan imej persatuan dari semasa ke semasa.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia,  di talian 03  4149 9466 atau email di ptvm08@gmail.com.

Keprihatinan dan kerjasama Tan Sri / Puan Sri / Dato’ / Datin / Tuan / Puan amat dihargai.

Sekian terima kasih.


Yang benar,
PERSATUAN PENERBIT TELEVISYEN MALAYSIA (PTVM)
MOHD TAHA AB WAHID
SETIAUSAHA KEHORMAT