Thursday, July 28, 2011

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak




Presiden PTVM, Encik Jurey Latiff Rosli mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak diucapkan kepada semua umat Islam di seluruh Malaysia. Semoga ramadhan pada tahun ini memberi seribu makna dan menjadi bulan yang penuh dengan kemulian. Selamat berpuasa diucapkan.

Sunday, July 24, 2011

Jurey azam memajukan GAFIM



Jurey Latiff
DESAS-DESUS sebelum ini beliau bakal diberikan kepercayaan untuk dipilih menerajui Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) nyata menepati ramalan. Barangkali kerana ketokohan dan karisma yang dimiliki Jurey Latiff Rosli, beliau dipilih majoriti ahli dalam badan gabungan itu untuk menduduki jawatan Presiden GAFIM bagi penggal 2011/2014.

Atas tiket Presiden Persatuan Penebit Televisyen Malaysia (PTVM) yang ditubuhkan kira-kira lebih tiga tahun lalu, Jurey dipilih majoriti ahli badan gabungan itu untuk membawa GAFIM ke fasa baru lebih relevan, berani dan menyatupadukan pihak dalam industri perfileman.

“Berilah saya peluang untuk menerajui GAFIM dengan lancar dan bantulah saya kerana industri filem adalah hak kita semua. Kita ada satu  tujuan saja untuk memantapkan industri perfileman negara dan kebajikan orang filem kerana masih banyak isu dalam industri ini yang masih belum selesai,” kata Jurey yang mengalahkan seorang calon lain yang mewakili Persatuan Penyanyi Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) dalam pertandingan dua penjuru pada mesyuarat agung GAFIM, ahad lalu.

Jurey mengalahkan Malek Redzuan dari PAPITA menerusi undian majoriti daripada ahli yang mewakili gabungan 12 persatuan hiburan tanah air. Sebelum ini, Presiden GAFIM disandang Ahmad Puad Onah dari Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

Dua hari sebelum mesyuarat agung GAFIM diadakan, PFM membuat keputusan menarik diri daripada menyertai GAFIM dengan alasan yang tidak diketahui, namun difahamkan ia berkaitan dengan rasa tidak puas hati Presiden PFM, Datin Paduka Shuhaimi Baba yang sebelumnya bercadang bertanding jawatan Presiden GAFIM kerana peluang untuknya menang kelihatan tipis.

“Mesyuarat agung akan dijalankan setiap tiga tahun untuk memilih pucuk pimpinan baru. Pemilihan jawatan presiden yang baru saya pegang ini dipilih secara demokrasi berdasarkan perlembagaan persatuan. Bagaimanapun amanah penggiat seni kepada saya sebagai Presiden GAFIM penggal baru perlu dipikul sebaiknya.

“Perancangan mula dilakukan untuk penjenamaan semula GAFIM kerana kami dalam barisan baru ahli jawatankuasa mahu mewujudkan transformasi supaya GAFIM dilihat sentiasa relevan dan berani mempertahankan hak serta perjuangan insan filem di negara ini, Kami mahu supaya matlamat dan hala tuju lebih jelas. Dengan itu beberapa anjakan dan perubahan akan dilakukan.

“GAFIM juga akan memastikan dana yang diperuntukan kerajaan kepada penggiat seni di bawah Dana Industri Kreatif dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Kita akan berbincang dengan FINAS supaya dana itu dapat diagihkan untuk memajukan industri kreatif negara.

GAFIM juga akan duduk bersama dengan semuak ahli gabungan untuk membincangkan isu berbangkit kerana dalam mesyuarat itu, semua pihak dapat meluahkan masalah dan pandangan mereka untuk kepentingan semua pihak dalam industri ini.

“Banyak isu yang kami mahu utarakan termasuklah berkaitan isu pawagam yang tidak cukup, keperluan kepentingan filem tempatan di negara sendiri, saingan filem import, pengurusan dalam FINAS dan Filem Negara Malaysia serta peruntukan jam siaran stesen TV dan banyak lagi berkaitan kepentingan warga filem,” katanya.

Jurey menjelaskan, biarpun GAFIM kini berdepan isu penarikan diri PFM daripada badan gabungan itu, pihaknya akan cuba mencari penyelesaian dan diplomasi supaya ada perpaduan kukuh membabitkan semua penggiat filem termasuklah produser.

“GAFIM juga akan menganjurkan Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM24) pada November ini, seterusnya kami cuba membawa wajah baru kepada festival ini yang menghimpunkan semua penggiat filem  tanah air. Setakat ini, semuanya berjalan lancar dengan beberapa program diaturkan untuk memasyarakatkan festival filem ini supaya semua rakyat Malaysia sama meraikan FFM24.

“Pada 25 Julai, majlis prapelancaran FFM24 akan diadakan di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur dan program siri jelajah promosi akan diadakan di Perak, Pulau Pinang, Johor dan Sabah selain majlis berbuka puasa serta pertandingan golf amal,” katanya.

Kata Jurey, saranan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya semua persatuan hiburan bergabung dalam satu badan turut disambut baik pihaknya supaya suara penggiat seni dibawa ke peringkat tertinggi kerajaan.

“Sekiranya semua persatuan ini bersatu, suara kita akan menjadi lebih besar dan lantang membawa isu dalam industri. Pihak kerajaan juga akan nampak penyatuan ini kerana kita mempunyai satu arah tuju dan pemikiran khusus. Namun, semua ini memerlukan pengorbanan kerana setiap persatuan mempunyai perjuangan berbeza dan ia pastinya mengambil masa. Semua persatuan perlu duduk bersama dan mencari arah tuju dan tidak hanya berpolitik dengan membawa agenda masing-masing.” Katanya kepada B*POP.

GAFIM juga akan menyokong penuh perlantikan Ketua Pengarah Finas baru bagi menggantikan  Mohd Mahyidin Mustakim yang tamat tempoh perkhidmatannya sejak 30 Jun lalu dan kini dipangku Fatimah Ahmad.



Barisan AJK baru GAFIM yang dipilih pada Ahad lalu.

 AJL GAFIM Sesi 2011/2014 :

Presiden : JUREY LATIFF ROSLI
Timbalan Presiden : YOKI CHIN
Naib Presiden : KHIR MOHD NOOR
Setiausaha Agung : YUSOF KELANA
Penolong Setiausaha : JAMIL MUTALIB
Bendahari : PANSHA
Penolong Bendahari : KHAMIL KHAN


24 Julai 2011, Ahad
Berita Minggu
Oleh : Mohd Aizat Shamsuddin
bhnews@bharian.com.my

Kenapa PFM emosi sangat?


Kak Pora ucapkan tahniah kepada mereka yang dipilih dalam pemilihan ahli jawatankuasa baru Gabungan Persatuan Karyawan  Filem Malaysia (GAFIM) dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) yang diadakan Ahad lalu. Tak sangka juga Kak Pora, Jurey Latiff Rosli dipilih menjadi Presiden GAFIM yang baru.

Tapi, itu kepercayaan ahli GAFIM, biar sajalah walaupun ada yang berbisik  pada Kak Pora, Jurey bukannya layak sebab dia lebih banyak dikenali sebagai pengarah drama, sepatutnya Presiden GAFIM ialah produser filem. Dalam hal ini, bagi Kak Pora, ia bukan soal jadi produser atau jadi pengarah, yang penting kena ada karisma dan berani berjuang.

Malek Redzuan
Jurey pun ada pengaruhnya dan bijak, apa salahnya beri peluang kepadanya untuk membuktikan pemilihannya itu tepat. Khabarnya, Jurey mengalahkan pesaingnya Malek Redzuan dengan jumlah undian besar. Kak Pora juga hairan, macam mana Malek boleh dicalonkan untuk bertanding jawatan Presiden GAFIM sedangkan dari segi pengalaman, latarbelakang dan ketokohan dalam industri filem, Malek tidak mempunyai ciri sesuai untuk jawatan berkenaan.

Bukan Kak Pora nak kata dia tak bagus tetapi biarlah calon lain yang memang  fokus berkaitan industri filem seperti Datuk Yusof Haslam yang kini menjadi Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), ataupun Norman KRU, Ruhani Rahman, Mohd Noor Kadir, atau pun Ahmad Ibrahim pun lebih layak dicalonkan untuk bertanding.

Kak Pora berharap muka baru yang dipilih dalam AJK GAFIM biarlah bersemangat dan mempunyai misi baik untuk bersama Jurey membawa GAFIM ke  arah masa depan  lebih baik. Banyak benda lagi dalam industri filem harus diperjuangkan. Kita tengok sajalah nanti sejauh mana GAFIM menjadi penganjur Festival Filem Malaysia Ke-24, mampu atau tidak untuk menjadikan acara itu hebat dan berjaya.

Dalam AGM itu, rupa-rupanya Kak Pora dapat tahu PFM sudah tidak menghantar wakilnya untuk bertanding. Kak Pora diberitahu, PFM sudah menarik diri dua hari sebelum AGM diadakan sedangkan sebelumnya beriya-iya Presiden PFM, Datin Paduka Shuhaimi Baba mahu bertanding untuk jawatan presiden GAFIM.


Shuhaimi
Hairan juga Kak Pora sebab hari itu sebelum diadakan AGM, Shuhaimi dikatakan sudah mula berkempen untuk mendapatkan sokongan daripada ahli GAFIM tetapi apabila makin dekat dengan hari pemilihan, dia pula menarik diri bahkan membawa sekali PFM untuk keluar dari GAFIM. Nampak sangat tak professional langsung!

Sebabnya, Kak Pora dapat tahu Shuhaimi kecewa dan sedar dia akan kalah bertanding dan mendakwa kononnya ada calon lain sudah membeli undi. Ramai pihak dalam industri filem sebenarnya hairan kenapa PFM tiba-tiba saja keluar daripada GAFIM sedangkan merekalah juga antara yang sibuk uruskan mesyuarat agung GAFIM.

Kenapa secara tiba-tiba nak keluar dan merajuk tak tentu pasal? Sebab Jurey akan dipilih untuk menang? Kalau betul pun Jurey  sudah dilihat bakal menang, kena hormatilah hak ahli lain yang memberi kepercayaan pada Jurey? Kenapa PFM berasa mereka besar sangat seolah-olah macam orang lain dari persatuan yang bukan  PFM tidak layak untuk jadi Presiden GAFIM?

Kalau betul Shuhaimi buat perangai merajuk macam itu nampak seperti kebudak-budakan.  Cubalah bawa berbincang . Ini tidak, tak puas hati saja nak keluar daripada GAFIM. Hal macam itu pernah  terjadi dulu  apabila ada orang dalam AJK PFM tak puas hati sebab tak dipilih dalam GAFIM, terus menarik diri keluar dari badan gabungan itu, kemudian apabila pemimpin PFM bertukar, tahu pula nak masuk semula dalam GAFIM. Kak Pora dah tahu sangat perangai orang filem kita, emosi tak bertempat. Semuanya nak ikut kepada mereka saja, tak mahu bersatu hati. Kak Pora harap PFM dapat memberi alasan konkrit kenapa mereka tiba-tiba keluar daripada GAFIM. Biarlah AJK PFM beri alasan yang logik sikit kalau adakan sidang media nak umumkan hal ini nanti.

24 Julai 2011
Berita Minggu, Jeling Kak Pora

Monday, July 18, 2011

Dituduh Beli Undi, Jurey Kesal Tuduhan Shuhaimi Baba

Presiden baru Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli

KUALA LUMPUR: Presiden, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) yang baru, Jurey Latiff Rosli kesal dengan tuduhan Datuk Paduka Shuhaimi Baba yang menuduhnya membeli undi untuk memenangi jawatan tertinggi dalam Mesyuarat Agung Tahunan Gafim yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini, Ahad.

Jurey berkata, tuduhan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) itu sebagai tindakan yang tidak berasas kerana mempunyai niat yang tidak baik terhadapnya.

"Saya kesal apabila ada pihak mendakwa saya tidak telus dan membeli undi termasuklah membayar RM300 kepada perwakilan tertentu bagi memenangi jawatan itu. Ia satu tuduhan yang tidak benar sama sekali," kata Jurey kepada mStar Online yang ditemui sejurus majlis berkenaan tamat di sini, Ahad.

Jurey diminta mengulas surat bantahan yang dihantar oleh Shuhaimi kepada beberapa pihak dalam persatuan yang mengatakan Jurey telah membeli undi untuk memenangi jawatan berkenaan.

Selain surat tersebut Shuhaimi turut menghantar surat bagi memaklumkan PFM menarik diri untuk bergabung dalam Gafim yang dilihat ada kaitan dengan pemilihan jawatankuasa baru pada kali ini.

Jurey berkata, pemilihannya sebagai Presiden Gafim yang baru adalah berdasarkan kepada keputusan pengundian yang dilakukan oleh kira-kira 50 perwakilan selain atas kapasitinya sebagai presiden dua persatuan lain iaitu Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Majlis Tindakan Industri Kreatif dan Multimedia (Majika).

Kata Jurey, dia yakin kemenangannya adalah kerana keyakinan ahli-ahli dalam 11 persatuan yang bergabung dalam Gafim untuk melihatnya menerajui persatuan tersebut selepas penyandangya Ahmad Puad Onah mengumumkan bagi melepaskan jawatan berkenaan.

"Ahli-ahli semua yakin dengan kepimpinan saya termasuklah melihat bagaimana kemenangan saya dalam Majika sebelum ini. Atas dasar itulah saya percaya mampu untuk menerajui Gafim sekali gus memenangi pemilihan kali ini," katanya.

Datuk Paduka Shuhaimi Baba


Ditanya apakah punca tuduhan itu dikeluarkan oleh Shuhaimi, jelas Jurey ia mungkin disebabkan pengarah filem tersebut mahu melihat "orang-orangnya" memegang tampuk tertinggi persatuan itu.

Katanya, jika hal itu berlaku, ia satu tindakan yang dianggap tidak adil kerana soal pemilihan terletak kepada tangan perwakilan untuk membuat keputusan.

"Ini bukan kali pertama PFM menarik diri dari Gafim. Sebelum ini pun dah pernah tetapi selepas dipijuk mereka masuk balik. Dan kali ini mereka buat perkara yang sama semula," katanya.
Sehubungan itu, jelas Jurey dia akan berbincang dengan pihak PFM agar menarik semula keputusan tersebut bagi memastikan hasrat melihat gabungan persatuan seni menjadi kuat akan tercapai.

Mengulas mengenai kemenangannya dalam pemilihan kali ini Jurey berkata, dia berhasrat untuk membuat penjenamaan semula Gafim agar imej persatuan yang suram seperti sebelum ini dapat diubah selain ia dapat berfungsi sebagai persatuan yang gah dalam membela masalah-masalah ahli kepada pihak atasan.

Langkah pertama katanya adalah menukar logo baru selain meluluskan usul hanya presiden-presiden yang bergabung dalam persatuan itu sahaja layak bertanding jawatan Presiden Gafim pada masa akan datang.

Selain PFM yang sudah menarik diri, Gafim dianggotai oleh Persatuan Pekerja Professional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (Fdam), Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam) dan Persatuan Penyiar Kebangsaan Malaysia (Penyiar).

Turut serta ialah Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanahair (Papita), Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Persatuan Kebajikan Penghibur-Penghibur India Malaysia (Miewa), Persatuan Artis Cina Malaysia (AMCA) dan Persatuan Industri Rakaman India Malaysia (Irim).

Berikut ini senarai jawatankuasa baru Gafim bagi tempoh 2011 sehingga 2013:

Presiden: Jurey Latiff Rosli

Timbalan Presiden: Yoki Chin

Naib Presiden: Khir Md. Noor

Setiausaha Agung: Yusof Kelana

Penolong Setiausaha Agung: Jamil Mutalib

Bendahari: Pansha

Penolong Bendahari: Kamil Ariffin

Pemeriksa Kira-Kira: Abdul Rahim Awang dan Ali Hussin

Wednesday, July 13, 2011



ISU royalti dan cetak rompak terus menjadi masalah kepada bidang muzik tempatan. Penyelesaian terhadap isu ini tetap menjadi keutamaan penggiat seni tidak kira komposer, penyanyi dan pemuzik.

Masalah sama pernah diperjuangkan persatuan hiburan seperti Persatuan Karyawan Malaysia yang cuba membawa isu ini ke peringkat kementerian. Namun hingga kini ia masih belum dapat diselesaikan. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, artis tidak seharusnya meletakkan masalah ini ke bahu kerajaan semata-mata dalam mencari jalan penyelesaian.


Katanya, kerajaan memandang serius dua masalah besar ini sehingga meneliti semula Akta Hakcipta 1987 yang kini dalam proses pindaan. Akta ini akan dibentangkan di Parlimen Oktober akan datang sebelum ia dibawa ke Dewan Negara dan seterusnya diwartakan.

“Dalam akta yang ada sekarang, masih ada banyak lompang yakni tidak begitu menjaga kepentingan penggiat seni. Sebagai kerajaan, kita mahu menjaga kepentingan semua yang terbabit.

“Tidak dinafikan, artis memberi banyak sumbangan dan memainkan peranan besar dalam masyarakat. Kutipan royalti menjadi isu paling berat kerana kita tidak mempunyai sistem yang khusus.

“Apa yang berlaku, artis dan penggiat seni sendiri tidak tahu apa yang terjadi selepas kutipan royalti mereka dibuat. Begitu juga, tiada perjanjian yang jelas antara badan pemungut royalti dengan penggiat seni itu sendiri,” katanya pada majlis Hari Himpunan Bintang di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ismail berkata, kerajaan tidak dapat mengambil tindakan lanjut terhadap badan berkenaan kerana mereka tidak berdaftar dengan kementerian. Malah, ketika ini kementeriannya juga tidak mempunyai kuasa untuk menyekat sesiapa yang mahu memungut royalti.

Menerusi pindaan yang dibuat, setiap badan yang mahu menjalankan kerja memungut royalti wajib berdaftar dulu dengan kementerian. Badan yang ingkar mematuhi peraturan ini boleh dibatalkan lesennya.

“Badan ini juga perlu menghantar laporan kepada kementerian mengenai kutipan royalti yang jelas. Dalam pada itu, maklumat ini harus disampaikan dengan jelas kepada semua artis yang terbabit. 

 “Denda sebanyak RM500,000 boleh dikenakan kepada badan yang melakukan kutipan royalti secara haram. Dalam pindaan ini, kementerian berbincang menetapkan kadar tertentu untuk artis agar mereka tahu lebih awal jumlah royalti yang bakal mereka peroleh.

“Pelaksanaan Tribunal Hak Cipta akan diperkenalkan semula. Jika ada artis tidak berpuas hati, mereka boleh membawa kes mereka ke tribunal ini tanpa melalui mahkamah sivil.

“Pindaan terhadap aktiviti muat turun karya muzik secara haram juga akan dilaksanakan. Pelaksanaan pindaan akta selewat-lewatnya pada Jun tahun depan,” katanya.

Pada forum yang diadakan pada majlis itu, penyanyi Amy Search, Ziana Zain, Aizat dan pelakon Diana Danielle tampil sebagai ahli panel membincangkan masalah royalti dan cetak rompak.

Perbincangan selama dua jam dipengerusikan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), Dr Abu Hassan Hasbullah turut disertai Timbalan Ketua Pengarah (Korporat), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Mohd Shahar Osman bersama Timbalan Peguam Pendakwaraya KPDNKK, Hidayatul Marikha.

Amy berkata, maklumat mengenai hak artis dan Akta Hak Cipta sepatutnya diketahui semua pihak dan dipandang serius dalam menyelesaikan masalah royalti dan cetak rompak.

“Di luar negara, mereka mempunyai sistem kutipan royalti yang cekap tetapi kita melakukannya secara suka hati. Tidak perlu bertanya siapa harus dipersalahkan. Menyalahkan persatuan juga tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya.

Ziana meluahkan rasa kecewa mengenai pengagihan royalti yang diterimanya masih sedikit walaupun dia sendiri aktif menyanyi sejak lebih dua dekad.

“Tidak perlu banyak persatuan dalam memperjuangkan perkara ini. Cukup satu badan yang mewakili semua artis dan artis juga perlu bersatu hati,” katanya.

Diana pula berpanda
ngan artis tidak seharusnya menyalahkan persatuan ketika dihimpit masalah. Apa yang perlu diperbetulkan ialah sikap diri sendiri untuk memahami hak mereka sebagai artis.

Bagi Aizat, kesedaran artis terhadap proses kutipan royalti perlu dipertingkatkan. Dia menggesa setiap artis mengambil sikap mengambil tahu hak mereka dan jangan membiarkan orang tengah mengendalikan segala-galanya.


Keratan akhbar Harian Metro
13 Julai 2011, Rabu