Sunday, July 24, 2011

Kenapa PFM emosi sangat?


Kak Pora ucapkan tahniah kepada mereka yang dipilih dalam pemilihan ahli jawatankuasa baru Gabungan Persatuan Karyawan  Filem Malaysia (GAFIM) dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) yang diadakan Ahad lalu. Tak sangka juga Kak Pora, Jurey Latiff Rosli dipilih menjadi Presiden GAFIM yang baru.

Tapi, itu kepercayaan ahli GAFIM, biar sajalah walaupun ada yang berbisik  pada Kak Pora, Jurey bukannya layak sebab dia lebih banyak dikenali sebagai pengarah drama, sepatutnya Presiden GAFIM ialah produser filem. Dalam hal ini, bagi Kak Pora, ia bukan soal jadi produser atau jadi pengarah, yang penting kena ada karisma dan berani berjuang.

Malek Redzuan
Jurey pun ada pengaruhnya dan bijak, apa salahnya beri peluang kepadanya untuk membuktikan pemilihannya itu tepat. Khabarnya, Jurey mengalahkan pesaingnya Malek Redzuan dengan jumlah undian besar. Kak Pora juga hairan, macam mana Malek boleh dicalonkan untuk bertanding jawatan Presiden GAFIM sedangkan dari segi pengalaman, latarbelakang dan ketokohan dalam industri filem, Malek tidak mempunyai ciri sesuai untuk jawatan berkenaan.

Bukan Kak Pora nak kata dia tak bagus tetapi biarlah calon lain yang memang  fokus berkaitan industri filem seperti Datuk Yusof Haslam yang kini menjadi Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), ataupun Norman KRU, Ruhani Rahman, Mohd Noor Kadir, atau pun Ahmad Ibrahim pun lebih layak dicalonkan untuk bertanding.

Kak Pora berharap muka baru yang dipilih dalam AJK GAFIM biarlah bersemangat dan mempunyai misi baik untuk bersama Jurey membawa GAFIM ke  arah masa depan  lebih baik. Banyak benda lagi dalam industri filem harus diperjuangkan. Kita tengok sajalah nanti sejauh mana GAFIM menjadi penganjur Festival Filem Malaysia Ke-24, mampu atau tidak untuk menjadikan acara itu hebat dan berjaya.

Dalam AGM itu, rupa-rupanya Kak Pora dapat tahu PFM sudah tidak menghantar wakilnya untuk bertanding. Kak Pora diberitahu, PFM sudah menarik diri dua hari sebelum AGM diadakan sedangkan sebelumnya beriya-iya Presiden PFM, Datin Paduka Shuhaimi Baba mahu bertanding untuk jawatan presiden GAFIM.


Shuhaimi
Hairan juga Kak Pora sebab hari itu sebelum diadakan AGM, Shuhaimi dikatakan sudah mula berkempen untuk mendapatkan sokongan daripada ahli GAFIM tetapi apabila makin dekat dengan hari pemilihan, dia pula menarik diri bahkan membawa sekali PFM untuk keluar dari GAFIM. Nampak sangat tak professional langsung!

Sebabnya, Kak Pora dapat tahu Shuhaimi kecewa dan sedar dia akan kalah bertanding dan mendakwa kononnya ada calon lain sudah membeli undi. Ramai pihak dalam industri filem sebenarnya hairan kenapa PFM tiba-tiba saja keluar daripada GAFIM sedangkan merekalah juga antara yang sibuk uruskan mesyuarat agung GAFIM.

Kenapa secara tiba-tiba nak keluar dan merajuk tak tentu pasal? Sebab Jurey akan dipilih untuk menang? Kalau betul pun Jurey  sudah dilihat bakal menang, kena hormatilah hak ahli lain yang memberi kepercayaan pada Jurey? Kenapa PFM berasa mereka besar sangat seolah-olah macam orang lain dari persatuan yang bukan  PFM tidak layak untuk jadi Presiden GAFIM?

Kalau betul Shuhaimi buat perangai merajuk macam itu nampak seperti kebudak-budakan.  Cubalah bawa berbincang . Ini tidak, tak puas hati saja nak keluar daripada GAFIM. Hal macam itu pernah  terjadi dulu  apabila ada orang dalam AJK PFM tak puas hati sebab tak dipilih dalam GAFIM, terus menarik diri keluar dari badan gabungan itu, kemudian apabila pemimpin PFM bertukar, tahu pula nak masuk semula dalam GAFIM. Kak Pora dah tahu sangat perangai orang filem kita, emosi tak bertempat. Semuanya nak ikut kepada mereka saja, tak mahu bersatu hati. Kak Pora harap PFM dapat memberi alasan konkrit kenapa mereka tiba-tiba keluar daripada GAFIM. Biarlah AJK PFM beri alasan yang logik sikit kalau adakan sidang media nak umumkan hal ini nanti.

24 Julai 2011
Berita Minggu, Jeling Kak Pora

No comments:

Post a Comment