Sunday, July 3, 2011

Mantapkan prosedur tapisan LPF


Jurey Latiff Rosli, Presiden PTVM
PERSATUAN Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mahu prosedur tapisan dan garis panduan penerbitan semua program televisyen di Negara ini termasuk drama dan dokumentari dimantapkan supaya tidak timbul lagi isu berkaitan sensitiviti terutama perihal agama Islam.

Ini penting supaya keadaan keruh tidak lagi berlaku dalam hubungan penerbit drama dan stesen TV dengan pihak Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) seperti berlaku terhadap isu drama bersiri Sakti Delima di TV3 baru-baru ini, selain memelihara keharmonian masyarakat, kesejahteraan dan keselamatan Negara.

Tegas PTVM, dalam era masa kini semua orang mahu bersuara dan bercakap atas hak kebebasan bersuara , industri penyiaran masih tetap mempunyai tanggungjawabnya sendiri untuk terus memelihara keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

Presiden PTVM, Jurey Latiff Rosli, berkata pihaknya sudah memberikan pandangan dan cadangan kepada LPF supaya satu perbincangan diadakan di antara stesen kerajaan dan swasta bagi menyelaraskan fasa prosedur tapisan menerusi Standard Operating Procedure (SOP) dipraktikan supaya penerbit TV tidak dipersalahkan pada masa depan.

“Ini juga wajar bagi memudahkan tugasan pegawai LPF yang terpaksa menapis lambakan bahan siap untuk siaran. Kami di PTVM juga mencadangkan LPF bekerjasama dengan JAKIM bagi memantapkan lagi garis panduan dan prosedur penerbitan bahan siaran yang membabitkan kepentingan Islam. Produser boleh muflis apabila drama terbitannya tidak dibayar kerana tidak dapat disiarkan.

“Sebagai ahli bersekutu LPF, saya juga terpanggil untuk membetulkan satu kenyataan kurang tepat oleh seorang penulis dalam akhbar minggu lalu berkenaan budaya kerja yang tidak profesional penerbit drama tempatan dalam soal berurusan dengan LPF. Tulisan penulis itu yang menempelak LPF suatu ketika dulu tanpa mendapat maklumat sebenar isu Sakti Delima kini diulangi sekali lagi dalam membuat tuduhan melulu kepada penerbit dikatakan sangat manja hingga menyusahkan stesen TV dan LPF.

“Sesetengah penerbit mendapat slot di stesen TV menurut sumber LPF macam orang bagi susu mereka balas tuba.” Adakah kenyataan penulis yang seperti tidak membuat kajian ini datang dari LPF atau andaian penulis itu sendiri yang sememangnya tidak menyukai produser drama tertentu?

“Saya sendiri sebagai Ahli Bersekutu LPF dilantik bagi membantu LPF dalam menjalankan tugas mereka dengan mengambil kira pandangan industri sudah memberikan penjelasan kepada Pengerusi LPF dan Setiausaha Bahagian Penapisan Filem Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan SOP penghasilan drama dan penghantaran bahan siap untuk siaran RTM.

“Ia amat berkesan dalam memastikan bahan siaran terbabit mengikut garis panduan LPF. Persoalannya ialah SOP ini tidak sama antara stesen kerajaan dan swasta. Maka sebab itu saya mencadangkan KDN menetapkan SOP sama standard seperti diguna pakai untuk semua stesen.

“Ingin saya jelaskan, produser faham proses dan prosedur membabitkan penerbit TV, stesen TV dan LPF. Isu Sakti Delima adalah contoh kes yang dibangkitkan PTVM bagi member penjelasan kepada LPF mengenai proses penerbitan sesuatu drama dan proses siaran drama.
“Setiap cadangan dipilih akan disenarai pendek untuk melalui proses pembentangan cadangan dengan jelas cerita penuh di depan panel penilai. Selepas mendapat persetujuan dan kelulusan panel penilai stesen, maka kebenaran secara bertulis diberikan kepada penerbit TV bagi menyediakan skrip penuh sebelum menerbitkan rancangan. Kontrak perjanjian ditandatangani di mana satu pengisian kontrak menjelaskan penerbit perlu menghantar bahan siap kepada stesen pada tarikh ditetapkan.

“Apabila bahan siap dalam bentuk DVD dihantar kepada stesen maka tanggungjawab stesen memastikan bahan siap itu dihantar kepada LPF bagi memastikan isi kandungan siaran tidak bercanggah garis panduan LPF. Jika bahan siap DVD itu lulus penilaian stesen dan LPF maka penerbit diarahkan menyiapkan pita induk bahan siap untuk siaran.

“Begitu juga jika ada masalah berbangkit dalam pengisian program yang perlu dibaiki atau disunting, penerbit akur untuk memastikan ia diterima LPF. Proses dan prosedur ini adalah SOP yang diamalkan RTM tetapi tidak di Media Prima manakala ASTRO menggunapakai “in-house censors”. Kata Jurey yang juga Ahli Jawatankuasa Penasihat FINAS.


Berita Minggu, 3 Julai 2011 (Ahad)

No comments:

Post a Comment