Man Pos Masuk Kampung adalah drama pertama menampilkan Man Raja Lawak sebagai watak utama. |
SESUAI dengan sisi peribadi juara Raja Lawak musim kelima, Man yang bertugas sebagai kakitangan Pos Malaysia maka telefilem Man Pos Masuk Kampung arahan Yusof Kelana mengimbau perjalanan hidup seorang posmen dan bakal disiarkan pada Selasa, 16 Ogos ini menerusi Astro Warna.
Man Pos Masuk Kampung terbitan YKS Film Maker Sdn Bhd, syarikat produksi milik bersama Yusof Kelana dan Serina Redzuawan. Drama bergenre komedi itu buat kali pertamanya menampilkan Man Raja Lawak sebagai watak utama. Selain Man, kisah komedi selama 90 minit itu turut dibintangi Yaat Hamzah (jJamilah), Serina Redzuawan (Wawa), Harun Salim Bachik (Pak Husin) dan Zulkifli Ismail (Roslan). Ia turut dibantu Z Zambree dan Kay Maria.
Man Raja Lawak punyai bakat lakonan yang masih boleh digilap. |
“Zaman sudah berubah, kebanyakannya menganggap tugasan posmen hanya menghantar bil atau surat saman. Bagaimanapun, kisah Man Pos Masuk Kampung mempunyai maksud tersirat. Saya terfikir mahu mengkisahkan perjalanan hidup dan kerjaya seorang posmen apabila melihat Man dalam program Raja Lawak 5. Saya bergabung idea dengan penulis skrip, Martias Ali untuk hasilkan Man Pos Masuk Kampung.
“Tidak dinafikan, Man sudah berusia dan berumahtangga, tetapi dia ada bakat semula jadi sebagai pelakon. Saya melihat Man ada tarikan tersendiri, Cuma bakatnya perlu digilap. Selepas habis penggambaran Man Pos Masuk Kampung, Man yang cuti tanpa gaji selama setahun terbabit dalam beberapa drama lain.
“Man juga komited ketika berada di set penggambaran. Walaupun ada kala terpaksa melakukannya berulang kali, Man Nampak bersunggu-sunggu melakukannya. Man Pos Masuk Kampung adalah kisah hidup Man. Dia terbabit dalam 55 babak. Mungkin babak komedi semakin sinonim dengan Man, tetapi dia mampu berlakon serius dalam drama ini. Katanya yang sebelum ini pernah mengarahkan dua filem komedi, MX3 dan Pontianak Menjerit.
Man Pos Masuk Kampung mengisahkan Man yang mengambil keputusan menghantar surat cinta lamanya kepada seorang gadis selepas mengetahui gadis itu juga menyimpan perasaan terhadapnya. Namun, pencarian rumah Jamilah terbantut apabila alamat rumah itu hilang ketika dia menyelesaikan masalah orang lain. Dari kecil lagi, Man sering menjadi penghantar surat bagi abangnya, Ijoi yang mencintai Wawa.
Man ke rumah Haji Ramli untuk bertemu Jamilah, adik kepada Wawa. Man, meminati Jamilah namun tidak pernah meluahkan perasaannya. Sepuluh tahun berlalu, Man bekerja sebagai posmen dan bertugas di beberapa negeri termasuk di Terengganu.
Antara babak seram dalam telefilem Man Pos Masuk Kampung. |
Hari pertama bekerja di negeri itu, Man terpaksa menyesuaikan dengan persekitarannya. Ketika agak keliru dengan jalan di sebuah kampong, Man bertanya seorang suri rumah yang menjemur kain . Alangkah terkejutnya Man apabila mendapati suri rumah itu ialah Wawa, bekas kekasih abangnya yang sudah berkahwin dengan lelaki lain.
Selepas sekian lama tidak berjumpa, Man bertanyakan Wawa mengenai khabar Jamilah. Jamilah tinggal di daerah lain bersama keluarga dan bakal dipinang keesokan harinya. Jamilah kecewa Man tidak membalas cintanya. Man tergamam kerana tidak menyangka dia tidak bertepuk sebelah tangan selama ini. Man menceritakan hatinya sudah lama terpaut pada Jamilah, tetapi malu menghantar surat cinta yang sekian lama ditulis kepadanya. Wawa menceritakan segala-galanya pada Jamilah, tetapi dia tidak mempercayainya. Jamilah mahu bukti surat cinta dulu jika Man mencintainya.
Antara babak percintaan dalam telefilem Man Pos Masuk Kampung. |
Berita Minggu, 03 Julai 2011 (Ahad)
No comments:
Post a Comment