Sunday, July 24, 2011

Jurey azam memajukan GAFIM



Jurey Latiff
DESAS-DESUS sebelum ini beliau bakal diberikan kepercayaan untuk dipilih menerajui Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) nyata menepati ramalan. Barangkali kerana ketokohan dan karisma yang dimiliki Jurey Latiff Rosli, beliau dipilih majoriti ahli dalam badan gabungan itu untuk menduduki jawatan Presiden GAFIM bagi penggal 2011/2014.

Atas tiket Presiden Persatuan Penebit Televisyen Malaysia (PTVM) yang ditubuhkan kira-kira lebih tiga tahun lalu, Jurey dipilih majoriti ahli badan gabungan itu untuk membawa GAFIM ke fasa baru lebih relevan, berani dan menyatupadukan pihak dalam industri perfileman.

“Berilah saya peluang untuk menerajui GAFIM dengan lancar dan bantulah saya kerana industri filem adalah hak kita semua. Kita ada satu  tujuan saja untuk memantapkan industri perfileman negara dan kebajikan orang filem kerana masih banyak isu dalam industri ini yang masih belum selesai,” kata Jurey yang mengalahkan seorang calon lain yang mewakili Persatuan Penyanyi Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) dalam pertandingan dua penjuru pada mesyuarat agung GAFIM, ahad lalu.

Jurey mengalahkan Malek Redzuan dari PAPITA menerusi undian majoriti daripada ahli yang mewakili gabungan 12 persatuan hiburan tanah air. Sebelum ini, Presiden GAFIM disandang Ahmad Puad Onah dari Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

Dua hari sebelum mesyuarat agung GAFIM diadakan, PFM membuat keputusan menarik diri daripada menyertai GAFIM dengan alasan yang tidak diketahui, namun difahamkan ia berkaitan dengan rasa tidak puas hati Presiden PFM, Datin Paduka Shuhaimi Baba yang sebelumnya bercadang bertanding jawatan Presiden GAFIM kerana peluang untuknya menang kelihatan tipis.

“Mesyuarat agung akan dijalankan setiap tiga tahun untuk memilih pucuk pimpinan baru. Pemilihan jawatan presiden yang baru saya pegang ini dipilih secara demokrasi berdasarkan perlembagaan persatuan. Bagaimanapun amanah penggiat seni kepada saya sebagai Presiden GAFIM penggal baru perlu dipikul sebaiknya.

“Perancangan mula dilakukan untuk penjenamaan semula GAFIM kerana kami dalam barisan baru ahli jawatankuasa mahu mewujudkan transformasi supaya GAFIM dilihat sentiasa relevan dan berani mempertahankan hak serta perjuangan insan filem di negara ini, Kami mahu supaya matlamat dan hala tuju lebih jelas. Dengan itu beberapa anjakan dan perubahan akan dilakukan.

“GAFIM juga akan memastikan dana yang diperuntukan kerajaan kepada penggiat seni di bawah Dana Industri Kreatif dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Kita akan berbincang dengan FINAS supaya dana itu dapat diagihkan untuk memajukan industri kreatif negara.

GAFIM juga akan duduk bersama dengan semuak ahli gabungan untuk membincangkan isu berbangkit kerana dalam mesyuarat itu, semua pihak dapat meluahkan masalah dan pandangan mereka untuk kepentingan semua pihak dalam industri ini.

“Banyak isu yang kami mahu utarakan termasuklah berkaitan isu pawagam yang tidak cukup, keperluan kepentingan filem tempatan di negara sendiri, saingan filem import, pengurusan dalam FINAS dan Filem Negara Malaysia serta peruntukan jam siaran stesen TV dan banyak lagi berkaitan kepentingan warga filem,” katanya.

Jurey menjelaskan, biarpun GAFIM kini berdepan isu penarikan diri PFM daripada badan gabungan itu, pihaknya akan cuba mencari penyelesaian dan diplomasi supaya ada perpaduan kukuh membabitkan semua penggiat filem termasuklah produser.

“GAFIM juga akan menganjurkan Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM24) pada November ini, seterusnya kami cuba membawa wajah baru kepada festival ini yang menghimpunkan semua penggiat filem  tanah air. Setakat ini, semuanya berjalan lancar dengan beberapa program diaturkan untuk memasyarakatkan festival filem ini supaya semua rakyat Malaysia sama meraikan FFM24.

“Pada 25 Julai, majlis prapelancaran FFM24 akan diadakan di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur dan program siri jelajah promosi akan diadakan di Perak, Pulau Pinang, Johor dan Sabah selain majlis berbuka puasa serta pertandingan golf amal,” katanya.

Kata Jurey, saranan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya semua persatuan hiburan bergabung dalam satu badan turut disambut baik pihaknya supaya suara penggiat seni dibawa ke peringkat tertinggi kerajaan.

“Sekiranya semua persatuan ini bersatu, suara kita akan menjadi lebih besar dan lantang membawa isu dalam industri. Pihak kerajaan juga akan nampak penyatuan ini kerana kita mempunyai satu arah tuju dan pemikiran khusus. Namun, semua ini memerlukan pengorbanan kerana setiap persatuan mempunyai perjuangan berbeza dan ia pastinya mengambil masa. Semua persatuan perlu duduk bersama dan mencari arah tuju dan tidak hanya berpolitik dengan membawa agenda masing-masing.” Katanya kepada B*POP.

GAFIM juga akan menyokong penuh perlantikan Ketua Pengarah Finas baru bagi menggantikan  Mohd Mahyidin Mustakim yang tamat tempoh perkhidmatannya sejak 30 Jun lalu dan kini dipangku Fatimah Ahmad.



Barisan AJK baru GAFIM yang dipilih pada Ahad lalu.

 AJL GAFIM Sesi 2011/2014 :

Presiden : JUREY LATIFF ROSLI
Timbalan Presiden : YOKI CHIN
Naib Presiden : KHIR MOHD NOOR
Setiausaha Agung : YUSOF KELANA
Penolong Setiausaha : JAMIL MUTALIB
Bendahari : PANSHA
Penolong Bendahari : KHAMIL KHAN


24 Julai 2011, Ahad
Berita Minggu
Oleh : Mohd Aizat Shamsuddin
bhnews@bharian.com.my

No comments:

Post a Comment