Monday, January 3, 2011

BELUM SELESAI



SEPANJANG 2010, drama bergenre seram tempatan dilihat banyak menghiasai kaca televisyen. Penerbit meletakkan genre ini sebagai pilihan utama seolah-olah ia memberi lebih kepuasan kepada mereka, malah ada yang tidak menyedari keburukannya dan hanya memikirkan keuntungan semata-mata.
Penonton juga dilihat seperti dapat menerima kemunculan drama seram berbanding sebelum ini yang sering mendapat kritikan, masyarakat kini lebih terbuka. Tidak  ketinggalan filem seram di pawagam yang rata-rata menuai untung pecah panggung.
Kemunculan pengarah dan penerbit yang cuba member kelainan dalam usaha menepati cita rasa penonton juga perkembangan bagus.
Bagaimanapun, sejauh manakah dapat mereka bertahan apabila ramai penerbit cuba mendapatkan slot drama di televisyen berdepan masalah?
Menyedari hakikat ini, penerbit harus bijak dalam penghasilan drama seram lebih baik supaya tidak dikatakan stereotaip sehingga membosankan penonton.
Dengan cara ini sekurang-kurangnya mereka akan terus diberi peluang menyiarkan drama yang dihasilkan dan terus bertahan dalam menghasilkan karya bermutu.
Kehadiran pengarah muda juga adalah cabaran untuk melihat sejauh mana Malaysia mampu menghasilkan drama dan filem seram yang lebih berkualiti berbanding produk asing.
Namun, Itu semua tidak menjadi masalah kerana apa yang berlaku kini, persatuan penerbit tempatan juga bertungkus-lumus menghasilkan drama mengikut peredaran dan permintaan stesen televisyen, sekali gus mencari keserasian dalam selera penonton.
Bagi menyelami persoalan ini, SELEBRITI mendekati Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) serta pengarah dan penerbit World Evolution Brain (M) Sdn Bhd, Jurey Latiff Rosli yang berpengalaman lebih 20 tahun.
Menurut Jurey, apa yang berlaku bukan sekadar senario permintaan penonton, malah ia dilihat daripada sudut perniagaan drama seram kini menjadi pilihan.
Pemilihan pelakon juga memainkan peranan. Walaupun sesetengah drama itu kurang menarik, aura seseorang pelakon mampu membuat penonton terus bertahan di depan kaca televisyen untuk mengikuti kesudahan sesebuah drama.
Rungutan penerbit yang kadangkala terpaksa akur dengan permintaan stesen televisyen dalam menetapkan pemilihan pelakon mengikut selera mereka juga ada kala memberi masalah kepada penerbit. Setiap penerbit melakukan penilian terhadap bakat seseorang pelakon dan kesesuaian watak.
“Tidak dinafikan drama tempatan kini lebih disajikan dengan kisah seram yang mula menjadi pilihan penonton, malah stesen televisyen juga meminta penerbit menerbitkan drama seram demi menaikkan rating penonton saluran masing-masing.
“Bermula dengan kemunculan filem seram Jangan Pandang Belakang, ia seperti menjadi ikutan apabila ramai penerbit terus-terusan menerbitkan genre ini hingga ia dibawa kepada drama dan dijadikan drama bersiri berikutan permintaan penonton dan juga stesen televisyen.
“Soal kualiti drama seram lebih bagus daripada filem, banyak faktor mempengaruhi perkara ini. Walaupun penggambaran drama bersiri mengambil masa panjang, hasilnya tampak mudah kerana jalan ceritanya ringkas serta kos tidak mahal.
“Untungnya Malaysia dihuni oleh penduduk Melayu yang mempunyai kisah seram lebih menarik yang boleh diketengahkan dalam pelbagai bentuk, rupa dan keadaan. Untung filem, kos tinggi menyebabakan penerbit harus berhati-hati, bimbang filem mereka kurang sambutan.
“Pun begitu, masalah seperti ini sukar dijangka apabila seseorang penerbit itu menghasilkan filem seram, mungkin mereka sangkakan filem mereka cukup bagus untuk ditonton tetapi pada pandangan orang lain, ia hanya biasa dan situasi ini sering berlaku.” Katanya.
Beliau melihat masalah ini daripada pelbagai sudut., menghasilkan drama seram ada kalanya menyebabkan penerbit harus akur dengan permintaan stesen televisyen yang mahukan pelakon dipilih oleh mereka sendiri, sedangkan segala bayaran di bawah tanggungjawab syarikat berkenaan.
Pelakon pula ada yang suka bersikap ‘demand’ inginkan bayaran lebih, sedangkan peruntukan yang ada hanya cukup makan. Jesteru, tidak hairan ada penerbit terpaksa gulung tikar apabila peruntukan diberi tidak mampu menanggung kos syarikat dan keseluruhan.
“Masalah stesen televisyen memilih pelakon menyebabkan penerbit menemui jalan buntu, biarpun banyak kali perbincangan dilakukan bersama. Malah kami menghantar surat rayuan kepada menteri bagi menyelesaikan segera perkara ini supaya tidak ada penerbit melalui situasi sama.
“Saya sedar apa yang mereka lakukan adalah keuntungan dalam perniagaan tetapi jika tiada jalan penyelesaian, mungkin memberi kesan buruk kepada penerbit drama kerana setiap drama yang disiarkan pastinya selepas itu akan diulang tayang dan masalah itu yang menyebabkan penerbit kerugian. Jesteru, perkara ini dibentangkan dan  saya harap akan segera menemui penyelesaian.
“Tidak dinafikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim pernah berjanji akan segera menyelesaikan masalah ini dengan mengkaji semula perkara berbangkit ketika perbincangan bersama pada Jun 2009, saya harapkan tahun 2011 perkara ini akan selesai,” katanya.
Menyokong tindakan kerajaan Korea yang sentiasa prihatin terhadap kru penerbitan mereka, Jurey berharap perkara ini segera dikaji kerana sesuatu pembuatan drama turut meliputi kebajikan semua, termasuk daripada bawahan sehingga yang berpangkat.
“Malaysia adalah Negara yang mudah dibentuk, dengan purata kecil penggiat seni saya yakin dengan penyusunan semua, tidak mustahil perfileman di sini akan setanding dengan filem dan drama luar Negara.
DURJA NINGSUN.......... drama seram bersiri TV3 yang mendapat sambutan ramai.


“Dengan campur tangan kerajaan, masalah ini dapat diatasi kerana peredaran masa memerlukan penggiat seni yang berbakat untuk menghasilkan karya bermutu.
“Jika peluang tidak diberi kepada mereka, tidak mustahil satu hari nanti industri lakonan Malaysia terus berada di takuk lama,” katanya.

(keratan akhbar Metro Ahad bertarikh 02 Januari 2011-oleh Syanty Octavia Amry)

No comments:

Post a Comment