Monday, December 20, 2010

Artis Kanak-Kanak Perlu Dapat Kebenaran Dibantah

                                                                                       ERYNNE ERYNNA
DUNIA hiburan dikejutkan apabila Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, mencadangkan supaya kanak-kanak yang menceburkan diri dalam industri seni perlu mendapat kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja terlebih dahulu kerana dikhuatiri mereka akan dieksploitasi sehingga mencabuli hak mereka terutama dalam soal pelajaran.
Perkara itu akan dilaksanakan apabila Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 mula dikuatkuasakan kelak.
Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan banyak pihak sehinggalah ada yang berpendapat arahan berkenaan tidak masuk akal.
Pengarah filem Ahmad Idham dalam mStar Online 16 Disember lalu turut berkata idea berkenaan seolah-olah memberi gambaran bahawa ibu bapa kanak-kanak selama ini tidak pandai menjaga anak mereka sehingga perlu mendapatkan keizinan daripada pihak lain pula.
Idham turut menganggap idea tersebut merupakan satu penghinaan kepada ibu bapa kanak-kanak yang terlibat dalam bidang seni.Mingguan mStar mendapatkan pendangan ibu-bapa dua pelakon kanak-kanak terkenal Mia Sara Nasuha, 5, dan Erynne Erynna Abdullah, 13, mengenai cadangan tersebut.
Mereka berkata cadangan itu tidak wajar dilaksanakan kerana ia seolah-olah mempertikaikan kewibawaan mereka sebagai ibu bapa yang tidak tahu menjaga kebajikan anak masing-masing.
Bagi bapa kepada Mia Sara Nasuha iaitu Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh, 35, peraturan yang dinyatakan itu benar-benar mengecewakannya kerana ia seperti mempersoalkan dirinya sebagai seorang bapa.
Kata Muhammad Ridhuan, sebelum membenarkan anaknya terlibat dengan mana-mana produksi, dia telah pun memberi beberapa syarat kepada krew terlibat supaya menjaga kebajikan anaknya itu.
Malah kata Ridhuan, dia akan memastikan anaknya itu tidak mengabaikan pelajaran selain mempunyai cara tersendiri supaya anaknya dapat membahagikan masa di antara berlakon dan juga belajar.
“Saya tak rasa undang-undang ini perlu dinyatakan dengan jelas. Lagipun, tak mungkin saya mahu mengeksploitasikan anak saya sendiri. Anak saya adalah hak saya dan sebagai seorang bapa saya mahu yang terbaik dan tidak melupakan pelajarannya,” katanya.

                                                        MIA SARA NASUHA
Tambah Ridhuan, demi Mia, dia sanggup berhenti kerja untuk menguruskan anaknya itu selain membayar pembantu peribadi yang berpendidikan tinggi bagi memastikan anaknya benar-benar terjaga.
“Alhamdulillah, Mia seorang yang bijak dan setiap kali saya berbincang dengannya, pemikiran dia macam orang dewasa. Pada masa sama, kita tahu di set penggambaran, bahasa yang digunakan oleh krew agak kasar dan saya terangkan kenapa bahasa yang disebut itu tidak patut dibualkan,” katanya.
Beritahu Ridhuan, dia telah meletakkan penanda aras buat anaknya iaitu sekiranya dalam tempoh tiga tahun dia masih tidak mendapat apa-apa pengiktirafan dalam industri lakonan mungkin dia akan meminta Mia memberi tumpuan sepenuhnya kepada akademik seratus peratus pula.
Mia banyak berlakon drama antaranya Adam Maya, Epilog Syurga Cinta dan sebuah filem yang bakal di tayangkan pada tahun hadapan iaitu Sekali Lagi.
Sementara itu Kelly Tahir, 36, ibu kepada Erynne Erynna, peraturan yang dibuat itu agak keterlaluan dan ia tidak diperlukan kerana setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri untuk membentuk anak-anak.
“Peraturan ini adalah satu pemikiran yang sangat skeptikal. Memandangkan anak saya masih di bawah umur, saya berhak menentukan apa yang terbaik untuknya.
“Jika pihak-pihak tertentu mendakwa ada ibu bapa mengerah anak-anak supaya bekerja, sukar untuk saya komen. Bagi saya jika dari awal lagi anak-anak diberi pendedahan untuk berdikari, anak-anak itu mampu hidup dengan sendiri apabila mereka besar nanti.
“Lagi pun kerjaya kreatif seperti bidang seni tidak sama dengan kerja-kerja lain seperti buruh dan sebagainya.
“Kebetulan pula Erynne suka dengan lakonan dan ingin menjadi seorang pengarah filem satu hari nanti, saya memberi peluang kepadanya untuk menyertai dunia lakonan.
“Apa yang saya tahu setakat ini tidak ada ibu bapa yang meninggalkan anak di lokasi bersendirian jika anak mereka melakukan penggambaran,” katanya.
Dalam pada itu, tambah Kelly, dia percaya, pelakon kanak-kanak memiliki kecerdasan otak (IQ) yang tinggi dan sekali gus mereka mudah menangkap apa yang dipelajari di sekolah.
“Saya tak rasa kanak-kanak yang berlakon mempunyai masalah dalam pelajaran. Cuba anda fikirkan, sebagai seorang pelakon mereka perlu menghafal skrip dan hanya kanak-kanak yang bijak boleh menghafal skrip dengan baik.
“Jadi bila di sekolah, mereka mudah faham dengan apa yang dipelajari. Malah, guru sekolah Erynne sendiri berkata, Erynne adalah salah seorang pelajar yang bijak di sekolahnya,” katanya sambil memberitahu anaknya itu sudah berlakon tiga buah filem iaitu Congkak, Cinta dan Damping Malam.
Patuh peraturan - Jurey Latif
Sementara itu, bagi Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) Jurey Latiff Mohd Rosli, undang-undang yang akan dikuatkuasakan itu sebenarnya mampu memberikan garis panduan yang baik kepada penggiat-penggiat seni pada masa akan datang.
Beritahu Jurey dengan mendapatkan kelulusan Ketua Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja terlebih dahulu, kebajikan pelakon kanak-kanak dapat dijaga dan ia sekali gus menampakkan kerajaan mula mengambil perhatian terhadap industri seni tempatan.
“Mungkin selama ini kita tidak sedar dan main langgar sahaja dengan apa yang telah berlaku dalam industri kita. Jika kerajaan menguatkuasakan akta tersebut, ertinya kerjaya seni itu dilihat sebagai satu industri profesional.
“Pada masa sama, kerajaan juga boleh selaraskan penggajian mengikut gred yang ditetapkan.
“Saya tak nampak apa salahnya dengan akta tersebut. Kerana ia lebih memudahkan. Bukan sahaja untuk artis kanak-kanak, sebaliknya ia juga bagus buat artis-artis dewasa,” ujarnya.
Bagaimanapun kata Jurey, pihak kementerian perlu mengadakan sesi dialog dengan penggiat seni atau supaya mereka dapat memahami peraturan tersebut.
(keratan akhbar MSTAR bertarikh 19 Disember 2010)

 

No comments:

Post a Comment