Thursday, December 16, 2010

MAJIKA MAHU LAYANAN ADIL - DIKN sepatutnya beri manfaat sama rata kepada semua penggiat seni

WAKIL enam persatuan seni yang bergabung di bawah MAJIKA (kiri) mengadakan pertemuan dengan penfurusan tertinggi rangkaian TV Kumpulan Media Prima.

KEWUJUDAN Majlis Tindakan Industri Kreatif Perfileman dan Multimedia(MAJIKA), sejak tujuh bulan lalu tidak lain dilihat sebagai kumpulan pendesak.

Ini kerana MAJIKA adalah suara gabungan enam persatuan seni yang khusus dalam bidang perfileman dan penerbitan TV untuk menyuarakan, mencadang, membahas dan melaksanakan isu berkaitan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN). Manfaatnya diharap dapat dikongsi dengan sama rata antara stesen TV, penerbit, pengarah, pelakon, pekerja filem dan sebagainya.

Presiden Penaja MAJIKA, Jurey Latiff Rosli, berkata perubahan dasar amat diperlukan kepada semua pemain industri bagi memperoleh kepentingan sama rata lebih lagi negara sedang menuju negara maju.

“Atas sebab itu kami sepakat duduk bersama beberapa persatuan yang berkait dengan televisyen dan filem harus mengeluarkan satu suara, industri ada masalah dan tidak mampu pergi jauh kerana dasar yang mengekang. Dengan adanya suara yang satu ini kami dapat menjadi badan pendesak untuk kerajaan mendengar keluh kesah dan kita tahu apapun berkaitan industri kreatif ini harus mengubah dasar dan dasar yang ada hari ini haruslah menjurus ke arah itu,” katanya yang pernah membangkitkan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) ketika MAJIKA mula-mula ditubuhkan lagi.
Sedang KPKK mencadangkan dasar industri kreatif itu, MAJIKA diberi pengiktirafan untuk turut serta bagi memberi pandangan, cadangan serta rangka perbincangan bagi menghasilkan industri kreatif.

“Apabila ada suara kita yang terbabit secara terus dalam industri kreatif multimedia TV dan filem ini menyebabkan suara kami sudah mula didengar dan pandangan kita turut dimasukkan dalam dasar industri kreatif. Insya-Allah jika ia dibentangkan nanti, kesannya dapat dilihat apabila semua yang terbabit dalam industri ini akan akur dengan kehendak kerajaan,” katanya yang baru saja mengadakan pertemuan bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pengurusan rangkaian TV kumpulan Media Prima Sdn Bhd baru-baru ini bagi membincangkan pelbagai isu.

Dalam pertemuan itu, MAJIKA turut menyentuh berkaitan royalti yang sememangnya menjadi perjuangan utama MAJIKA berkaitan harta intelektual yang mana di bawah Dasar Industri Kreatif Negara nanti, harta intelek adalah aset utama kepada pengkarya.

“Jika hari ini dasar mengatakan stesen TV tidak boleh ambil hak, kami akan akur. Maknanya dasar harus dibetulkan agar semua pemain yang ada memahami dan menyumbang ke arah pembangunan industri kreatif dengan lebih sihat.

“Kita mahu penerbit akan rasa terbela dan tidak teraniaya. Begitu juga dengan pelakon dibayar dengan setimpal termasuk pengarah, pekerja dan penulis skrip, jadi semua akan mendapat manfaat dengan dasar yang betul.

“Dasar industri kreatif ini besar tetapi kita hanya memberi tumpuan kepada segmen TV, filem dan multimedia saja. Kita tidak mencampuri urusan industri kreatif lain. Kerajaan nampak industri kreatif ini besar dan ia dipecahkan kepada beberapa segmen. Industri TV dan filem ini adalah antara yang terbesar sehingga kerajaan meluluskan dana RM200 juta,” katanya.

(keratan akhbar Berita Harian pada 30 November 2010, Selasa)

No comments:

Post a Comment