Monday, June 27, 2011

GAFIM perlukan pemimpin muda


BARU-BARU ini, Kak Pora hadiri majlis Malam Penghargaan FINAS. Malam  itu ramai yang dapat hadiah sempena Anugerah Trofi Samad Idris termasuklah diadakan pelancaran buku biografi komposer veteran, Datuk Ahmad Nawab. Seronok berada di majlis itu apabila dapat berjumpa ramai orang filem.

Kak Pora sempat jugalah jumpa dengan beberapa kawan rapat dalam industri. Kami berbincang banyak perkara termasuklah mengenai penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) ke-25. Apabila ditanya kepada orang FINAS, bila nak dibuat FFM25, baru Kak Pora tersedar rupa-rupanya Gabungan Persatuan Penggiat Filem Malaysia (GAFIM). Apabila tanya pada seorang pemimpin persatuan yang berada dalam GAFIM, dia beritahu Kak Pora, memang mereka sedang membuat persiapan nak anjurkan FFM25 tetapi bukan diadakan dalam masa terdekat ini, sebaliknya bakal berlangsung pada November nanti.

Baguslah kalau GAFIM sudah mula menggerakkan kerja untuk FFM25. Jangan tak jadi buat tahun ini sudahlah. Apabila berbual panjang pada majlis itu, Kak Pora baru dapat tahu dalam GAFIM sekarang ada cerita panas sebab beberapa pemimpin persatuan hendak merebut jawatan presiden badan gabungan itu. Kak Pora diberitahu, sepatutnya mesyuarat agung GAFIM akan diadakan pada 29 Jun ini tetapi atas masalah teknikal, ia terpaksa ditunda kepada 17 Julai ini.

Kak Pora juga dengar cerita, ramai pemimpin persatuan yang berada dalam GAFIM sekarang sedang asyik melobi untuk dipilih menjadi Presedin GAFIM bagi penggal baru, menggantikan Ahmad Puad Onah yang dikatakan sudah meletak jawatan. Pemangku jawatan itu sekarang ialah Datin Paduka Shuhaimi Baba, iaitu Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).


 Daripada risikan Kak Pora, ada empat calon mahu bertanding dalam mesyuarat agung nanti, masing-masing khabarnya sudah pasang strategi dan saling melobi untuk menang. Mereka ialah Shuhaimi;  Presiden Persatuan Penyanyi Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA), Datuk M Daud Wahid; Presiden Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM) dan Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latif Rosli.

Ia bererti dalam mesyuarat agung pada 17 Julai nanti, akan ada pertandingan empat penjuru merebut jawatan presiden badan gabungan itu, Kalau diteliti nama empat calon itu, Kak Pora berasakan Jurey Latiff lebih sesuai untuk menerajui GAFIM sebab ketrampilan dan keberaniannya bersuara selain dia kelihatan lebih berpengaruh dan ada banyak idea.

Bukan Kak Pora nak melobi Jurey Latiff, tetapi calon lain Kak Pora  nampak sudah berumur dan kurang menampakkan kredibiliti untuk membawa masa depan dan hala tuju industri perfileman dengan lebih menyakinkan. Selain faktor usia dan pengaruh, Kak Pora lihat Jurey Latiff lebih mempunyai misi dan tahu apa yang mahu diperjuangkan dalam dunia filem kita yang sekarang lebih mencabar.

Kak Pora sendiri dapat menilai, Shuhaimi bukannya orang yang berlatarkan kemahiran mengendalikan pertubuhan, dia lebih kepada seorang pengkarya filem sejati, bukan pentadbir. Ismail dan M Daud pula tidak mampu membawa hala tuju persatuan meraka secara lebih dinamik, malah ada ketikanya SWAM dan PAPITA seperti tidak bertaring dalam memperjuangkan hal dan kebajikan ahlinya. Mereka sendiri dalam persatuan masing-masing tidak nampak memperjuangkan isu dalam industri filem. 

Jurey Latiff sebagai pemimpin muda dalam PTVM dilihat lebih berani bertindak, berani bersuara dan lebih fokus terhadap perancangan persatuan. Lihat saja PTVM, meskipun baru saja ditubuhkan tetapi di bawah kepemimpinan Jurey Latiff, ia sudah dilihat mampu memberi keyakinan kepada ahlinya dan orang filem, kemunculannya dalam industri nampak lebih relevan dan membuka mata ramai pihak termasuk di peringkat menteri.

Selain itu, Jurey Latiff juga masih muda dan mempunyai misi baik untuk membawa perubahan dalam industri perfileman. Kak Pora lebih yakin, kalau Jurey Latiff menjadi Presiden GAFIM, dia boleh membawa transformasi dan dimensi baru dalam GAFIM sesuai dengan aspirasi kerajaan, tak gitu? Yang penting, janganlah nanti dalam mesyuarat agung nak bergaduh pula. Eloklah ahli GAFIM beri  peluan pada Jurey Latiff untuk menunjukkan kemampuannya kali ini.

Berita Minggu 26 Jun 2011, Jeling Kak Pora.


Friday, June 17, 2011

ISU HAK SIARAN PENERBIT TV DI BAWAH AKTA HAK CIPTA 1987

PTVM telah menghantar memorandum pindaan Akta Hakcipta Terpelihara Harta Intelek kepada YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan telah menerima surat daripada Ketua Pengarah MyIPO seperti berikut……..


Maklumbalas daripada MyIPO, Pihak KPDNKK telah mengambil inisiatif dengan mengemukan beberapa cadangan pindaan ke atas AKta Hak Cipta 1987 (Pindaan 2010) yang antara lain memperluaskan kuasa-kuasa Tribunal Hak Cipta untuk membolehkan pihak berkepentingan di dalam industri hak cipta merujuk isu-isu berkaitan hak cipta kepada Tribunal.

Dengan tertubuhnya Tribunal ini kelak, pihak berkepentingan dalam industri hak cipta akan mempunyai satu platform alternatif selain dari Mahkamah bagi menyelesaikan pertikaian berkaitan hak cipta.

Untuk makluman, Akta Hak Cipta 1987 (Pindaan 2010) akan dibaca untuk kali kedua di persidangan Parlimen pada sesi Jun ini dan sekiranya diluluskan, ahli-ahli Tribunal akan dilantik bagi tujuan pelaksanaan fungsi Tribunal Hak Cipta.

Inilah hasil usaha Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) di dalam memperkukuhkan perjuangan dan memperkasakan persatuan.

Thursday, June 16, 2011

Jangan Mudah Persalah Sesiapa

TELEMOVIE : Surah Al-Fatihah
TERBITAN : Enuja Production Sdn Bhd
PENERBIT/PENGARAH URUSAN : Zainuddin Mohd Ismail
PENGARAH : Raja Ahmad Alauddin
PENOLONG PENGARAH : Mohd Nasri
PENULIS SKRIP : Mazlan Manan
PENGURUS PRODUKSI : Arie Zaharie
PEMASARAN DAN TAJAAN : Azlan Mohd Nor
KONTI : Yaya Nadzri
PROP MASTER : Dzulhady Ruslan
PROPMAN : Mohd Nasriq, Shahrul Nizam
SOLEKAN DAN DANDANAN : Suraiya Hussin
RUNNER : Saufi
HANDY : Syafiq Johari
JURU KAMERA : Abdul Malek Marwi
PENATA CAHAYA : Amizulkifli Nawari
PENATA BUNYI : Mohd Haffis Mohd Zain
PELAKON : Nasha Aziz (Mastura), Nasir Bilal Khan (Rahman), Rafael El-Arash (Solah), Rahim Omar (Imam), Shahrulnizam (Hussin) dan Kismah (Mak Ngah)



 
SEHARI sebelum memulakan penggambaran telemovie Surah Al-Fatihah, kru produksi Enuja Production Sdn Bhd sudah bertungkus-lumus menggali lubang berhampiran Tanah Perkuburan Melayu di Paya Jaras, Selangor.

Memang dalam mana-mana penggambaran drama atau filem, apabila membabitkan babak penggambaran di kawasan perkuburan, kru produksi hanya dibenarkan membuat ‘props’ seolah-olah menggambarkan babak pengebumian jenazah. Ini bagi menghormati mereka yang disemadikan di tanah perkuburan berkenaan. 

Cabaran dalam menyiapkan babak pengebumian di tanah perkuburan cukup besar. Bukan hanya berdepan masalah mendapatkan latar tanah perkuburan malah perlu memenuhi syarat yang ditetapkan. Walaupun babak ini nampak remeh, kerjanya cukup sukar kerana perlu teliti dalam banyak perkara. Ia diakui pengarahnya, Raja Ahmad Alauddin.

Bercerita lanjut mengenai kisah di sebalik telemovie itu, Raja Ahmad memberitahu ia berkisar kepada kandungan daripada surah al-Fatihah. Sememangnya ia drama yang berkisar kepada kerohanian dan pada masa sama memaparkan pelbagai pengajaran dengan jalan cerita yang disampaikan mampu meninggalkan kesan mendalam pada emosi penonton.

“Drama ini menceritakan bagaimana kejadian yang berlaku dalam kehidupan kita sudah ditentukan oleh qada dan qadar. Tidak ada sesiapa yang perlu disalahkan apabila berlaku sesuatu musibah di luar kawalan kita.
“Apa yang penting sebagai manusia kita perlu berusaha dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dalam apa perkara atau pekerjaan yang dilakukan dengan penuh kesyukuran dan keikhlasan. Saya akui naskhah ini agak berat kerana perlu membabitkan emosi. Selain beberapa babak yang membabitkan insiden,” katanya.

Ketika ditemui di lokasi penggambaran di sekitar Paya Jaras dan Kuang, Raja Ahmad dan penerbit, Zainuddin Mohd Ismail memaklumkan penggambaran yang bermula sejak 1 Jun tidak berdepan banyak masalah kecuali keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan tempoh penggambaran berlarutan.

Begitupun, dia bersyukur kerana sehingga tempoh itu pihaknya tidak berdepan banyak masalah apatah lagi membabitkan barisan pelakon dan kru produksi yang cukup komited dengan kerja masing-masing.

Menurut Raja Ahmad, dia kagum dengan komitmen dan kegigihan yang ditunjukkan semua pelakon. Biarpun pertama kali bekerja dengan pelakon seperti Nasha Aziz dan Nasir Bilal Khan, dia tidak berdepan masalah besar untuk menyiapkan babak penggambaran telemovie itu.

Raja Ahmad yang pernah mengarahkan telemovie Lafaz Kasih Dengan Bismillah berharap naskhah berkenaan dapat diterima semua lapisan masyarakat.

Babak penting yang ditunggu-tunggu ketika itu membabitkan Nasha seolah-olah bermimpi berada dalam liang lahat selepas trauma dengan pelbagai kejadian yang menimpanya. Nasha yang membawakan watak Mastura, dikatakan menjadi punca kematian isteri dan anak Rahman lakonan Nasir Bilal Khan.

Bagaimanapun, Nasha lebih selesa menyelesaikan babak yang menyaksikan dia ditanam seakan-akan mayat hidup dilakukan di kawasan kampung tempat penggambaran kerana menghormati kawasan tanah perkuburan. Bayangkan tanah gambut yang menghempap permukaan badan Nasha dalam lubang yang digali khas untuk babak berkenaan.

Dalam satu kejadian awal pagi, Mastura yang baru pulang ke kampung secara tidak sengaja melanggar isteri Rahman yang mengakibatkan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Anak Rahman juga ditimpa musibah sama apabila ditimpa pokok dalam keadaan ribut petir selepas bertemu Mastura.

Peristiwa hitam itu membuatkan Mastura trauma apabila sentiasa menyalahkan dirinya sebagai penyebab kematian keluarga Rahman. Gelora perasaan Mastura yang bercelaru kerana tidak berpeluang menjelaskan keadaan sebenar atau ingin mengakui akan kesalahan itu kepada Rahman terbuku dalam hati. Akibatnya pelbagai bayangan dan mimpi yang dilalui Mastura apabila mengenangkan kejadian itu.

Tuesday, June 14, 2011

Beri royalti ulang drama

 KUALA LUMPUR: “Saya sarankan kepada setiap stesen televisyen (TV) negara yang menyiarkan drama ulangan supaya memberikan royalti semula kepada pengarah rancangan dan dengan wang itu dapatlah kami (produser) membantu artis yang kesempitan,” kata pengarah drama, Rashid Sibir. 

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai primadona, Azean Irdawaty, 61, yang kini hidup kesusahan sejurus wang simpanannya habis berikutan terpaksa membiayai kos perbicaraan dan perubatan anaknya, Benjy.

Rashid berharap stesen TV negara peka dengan nasib yang menimpa artis veteran yang hilang punca pendapatan disebabkan masalah kesihatan atau tidak mampu untuk bekerja.
“Saya mohon jasa baik stesen TV memberikan royalti semula seperti yang dilakukan di Hollywood... cuba lihat kehidupan artis veteran Hollywood dan Malaysia, banyak sangat bezanya.

“Walaupun mereka sudah tua kehidupan mereka amat mewah jika dibandingkan dengan artis kita. Ini kerana stesen TV Hollywood memberikan royalti untuk drama yang disiarkan semula termasuklah lagu yang dimainkan di radio,” katanya.

Rashid berkata, kebanyakan stesen TV hari ini membeli drama termasuk semua hakcipta dan tidak membayar royalti jika ia ditayangkan semula pada masa akan datang.
“Kerana tidak dibayar royalti, amat susah untuk kami (produser) membantu artis yang kesusahan,” katanya.

Rashid berkata, bagi inisiatif lain persatuan artis seperti Seniman dan Karyawan harus bergabung membantu artis veteran memerlukan dengan mengutip sumbangan.
“Jika seorang artis menderma RM10, jika 1,000 yang menderma sudah RM10,000 diperoleh..sekurang-kurangnya sumbangan itu dapat mengurangkan beban yang ditanggung mereka,” katanya.

Rashid antara pengarah drama yang paling rapat dengan Azean sudah beberapa kali memanggilnya berlakon selepas seniwati itu menjalani pembedahan barah pada 2007.

“Terbaru saya mengundangnya berlakon drama Hati Seorang Ibu yang sudah disiarkan di Astro bulan lalu. Walaupun dia sakit saya tetap memanggilnya kerana saya mahu membuktikan dia mampu bekerja,” katanya. Pengarah drama, Raja Ahmad Alauddin, menyarankan setiap pengarah drama menawarkan watak yang ringan kepada Azean berdasarkan kemampuannya untuk berlakon.

“Sayang sekali jika kita tidak mengambilnya berikutan bakat yang dimilikinya tinggi,” katanya.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik berkata, Azean harus dibantu kerana dia mempunyai tanggungan perbelanjaan terhadap keluarga termasuk perbelanjaan perbicaraan Benjy.

“Saya memohon jasa baik pengarah drama menawarkan pekerjaan untuknya,” katanya.

Friday, June 10, 2011

Kecewa ahli persoalkan kepimpinan




Harun tetap pertahankan kedudukannya sebagai Presiden SENIMAN sehingga akhir penggal

SATU persatu persatuan hiburan bergolak, seolah-olah menunjukkan orang seni suka bertelagah. Baru-baru ini Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bergolak apabila Presidennya, Mat London atau Ahmad Ibrahim menarik diri daripada persatuan itu.

Ketika sedang kecoh perihal Mat London, tersebar desas desus mengenai Presiden Persatuan Seniman Malaysia atau SENIMAN, Harun Salim Bachik yang juga mahu melepaskan jawatan baru dipegang memasuki tahun kedua.
Apabila khabar angin itu bertiup, usaha menjejaki Harun giat dijalankan. Bagaimanapun dia gagal dikesan kerana telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi.
Kemunculan Harun di majlis sidang media mengenai penganjuran Pertandingan Nyanyian Lagu-Lagu P Ramlee baru-baru ini memberi peluang untuk bertanya lanjut mengenai kesahihan cerita itu.

Harun pada mulanya keberatan untuk mendedahkan pergolakan yang berlaku di dalam persatuan itu termasuk ura-ura mengenai perletakkan jawatan sebagai Presiden SENIMAN.

“Setakat ini saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan ahli persatuan. Cuma baru-baru ini ketika Mesyuarat Agung Tahunan SENIMAN, ada sedikit isu yang dibangkitkan beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan corak pimpinan saya.

“Tiada sebarang kekecohan pun yang berlaku tetapi memang ada pihak meminta saya meletakkan jawatan. Mereka mempersoalkan mengenai rekod kewangan syarikat, seolah-olah saya menyalah gunakan wang persatuan. Sedangkan selama menganjurkan pelbagai program sejak saya mengambil alih tampuk pimpinan SENIMAN saya tidak pernah menyentuh wang pokok yang disimpan di Amanah Raya.
“Kebanyakan wang yang digunakan untuk menganjurkan sebarang majlis adalah hasil wang tajaan. Contohnya, Malam Lagenda Datuk Jamil Sulong, wang itu kita cari sendiri dengan cara menjual meja.

“Memang tidak nafikan ada ambil wang dari Amanah Raya tetapi itu pun wang dividen bukannya wang pokok,” jelasnya.

Harun menegaskan dia tidak gentar kerana segala dokumentasi dan rekod sepanjang memimpin persatuan itu dibuat dengan betul. Malah dia turut mendapatkan nasihat daripada Pejabat Pendaftar untuk mendapatkan pengesahan mengenai laporan kewangan persatuan dan ternyata keputusan menunjukkan dia mengendalikan wang persatuan dengan betul.



“Pada mesyuarat agung tempoh hari, saya melampirkan rekod kewangan untuk rujukan semua ahli. Apabila melihat rekod kewangan tahunan mencecah RM100,000, menyangka saya membazir wang persatuan. Sedangkan seperti saya katakan, semua wang itu datangnya daripada penaja. Saya tidak ambil satu sen pun wang pokok yang disimpan.

“Tak nafikan apabila ada ahli mempertikaikan kepimpinan saya, sedikit sebanyak timbul juga perasaan kecewa. Saya buat kerja ini secara ikhlas, bukannya dibayar gaji empat lima ribu sebulan,” katanya.

Tegas Harun, dia akan cuba mempertahankan jawatan ini selama mana yang mampu, dan akur kalau pada mesyuarat agung tahun depan ada ahli berhasrat untuk menyingkirkannya.

Bagaimanapun, dia mengesahkan Timbalan Presiden SENIMAN, Shahriza Mahmud meletakkan jawatan atas alasan mahu memberi tumpuan kepada rumah tangganya. Seorang lagi ialah AJK SENIMAN, Wazata Zain yang terpaksa menarik diri kerana baru dipilih Timbalan Presiden Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM).

Wednesday, June 8, 2011

Mesyuarat AJK PTVM Ke 23

En. Mohd Taha Ab Wahid, Setiausaha PTVM



Assalamualaikum wbt dan Selamat Sejahtera.

Mesyuarat  AJK PTVM Ke 23 akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut:-

Tarikh                 :        09hb. Jun 2011 
Hari                      :        Khamis
Masa                   :        2.00 petang 
Tempat                :        Bilik Mesyuarat     
                                       PTVM Sri Rampai


Sehubungan dengan itu kehadiran semua ahli jawatankuasa PTVM adalah diwajibkan.


Keprihatinan dan kerjasama daripada semua ahli jawatankuasa, amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Friday, June 3, 2011

TV Alhijrah tetapkan syarat

Pelakon mesti tutup aurat, tiada adegan bersentuhan antara pelakon bukan muhrim
STESEN TV AlHijrah mahu berada di garisan hadapan dalam menyampaikan syariah Islam kepada penonton. Bagaimanapun mesej itu akan disampaikan secara kreatif dan berkesan agar dapat menarik golongan muda berubah ke arah kebaikan.
Satu darinya dengan mengenakan syarat serta garis panduan khusus kepada penerbit drama dan filem sebelum karya mereka diluluskan untuk siaran di stesen TV AlHijrah.
Stesen yang dilancarkan enam bulan lalu, kini dapat disaksikan menerusi saluran Astro 114, bermula Rabu lalu.

Penerbit drama tempatan harus mematuhi syarat ditetapkan di mana pelakon yang terbabit harus menutup aurat, serta tiadanya adegan pegang di kalangan pelakon bukan muhrim dalam produksi yang ingin disiarkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang ditemui selepas menjayakan program istimewa Segalanya Bermula Di Sini sempena kemasukan TV AlHijrah secara rasminya ke saluran Astro berkata, garis panduan ditetapkan tidak dinafikan pada mulanya akan membebankan penerbit, tetapi kesannya nanti amat baik kepada penonton.

“Kami memang meletakkan syarat di mana penerbit harus mematuhi garis panduan sekiranya ingin drama terbitan mereka disiarkan di stesen kami. Usia kedewasaan kami baru enam bulan, mungkin ada yang kami terlepas pandang tetapi kami tidak akan sewenang-wenangnya meminggirkan hal-hal sensitif yang boleh menjadi isu. Sebaliknya akan sedaya upaya kami hindari.
“Memang tak dinafikan syarat dikenakan kepada penerbit akan sedikit sebanyak membebankan mereka tetapi sebagai sebuah stesen yang berpaksikan kepada keislaman, kami perlu mengambil kira semua perkara.

“P Ramlee sendiri tidak memerlukan adegan menjolok mata untuk menggambarkan babak yang sensitif, cukup hanya disampaikan secara simbolik tetapi penonton masih boleh faham dan karyanya terus evergreen.

“Kalau boleh kami pun mahu menjadi seperti itu, di mana mesej yang ingin kami ketengahkan disampaikan dalam suasana santai. Tetapi sebenarnya ada pengajaran besar yang berlaku,” kata Jamil Khir lagi.

Selain Jamil, rancangan istimewa selama dua jam bermula jam 9 malam itu turut mengundang beberapa personaliti, pengarah dan artis tempatan. Dihoskan oleh Syafiq, Zulakifli, Mohd Amin Idris dan Irma Hasmie turut menemuramah kumpulan Al Mawlid, Mustaffa Daood dari kumpulan Debu, Studio Muallaf & Friends, Erma Fatimah, Wan Hasliza, Wan Kamaruddin serta ramai lagi.

Menerusi AlHijrah juga, penonton mendapat kefahaman mengenai peranan dimainkan Jabatan Perdana Menteri terhadap masyarakat seperti pembahagian zakat, bantuan kepada anak yatim dan fakir miskin serta banyak lagi.

Walaupun berkonsepkan keislaman, stesen TV AlHijrah juga tidak akan meminggirkan program berunsurkan hiburan asalkan masih berlandaskan nilai kerohanian. Stesen berkenaan juga akan memperkenalkan program berkonsepkan realiti kerana populariti program sedemikian di kalangan penonton.

“Apabila menyebut TV Alhijrah, saya tidak mahu penonton mengaitkan stesen ini dengan ceramah agama atau azan semata-mata, tetapi kami mahu stesen ini menjadi medan di dalam pembentukan sahsiah dan ibadah tidak hanya untuk golongan anak-anak tetapi dewasa dan juga untuk seisi keluarga.

“Dengan konsep yang kita perkenalkan ini, ia juga tentunya mendatangkan cabaran kepada TV Alhijrah kerana kami tidak mahu dilihat pada skop yang sempit.

Hiburan yang akan diketengahkan oleh stesen ini juga tidak akan bersifat stereotaip. Kita akan cuba mengundang artis dari luar negara seperti Australia, Afrika, Amerika untuk mewarnai lagi program kami,” kata Jamil lagi.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda pula berkata, program yang disiarkan enam bulan lepas akan ditayangkan kembali untuk memberi peluang kepada pelanggan Astro yang terlepas program menarik di stesen berkenaan untuk menikmatinya kembali.

Bagaimanapun pada masa sama, TV AlHijrah akan terus memperkenalkan program baru kepada penontonnya seperti drama epik bersiri Alauddin terbitan KL Motion Pictures yang menemui penonton setiap Sabtu jam 8.30 malam dan drama Kitab Cinta arahan Erma Fatima yang menemui penonton setiap Rabu hingga Jumaat, jam 8.30 malam.

Sejak memulakan siaran pada 1 Disember, program yang mendapat jumlah tontonan tinggi ialah slot drama, program Majalah Islam, Misteri Alam Melayu dan Ejen Halal. Saluran TV AlHijrah memulakan siaran dari jam 12 tengahari hingga 12 tengah malam pada Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis dan menemui penonton lebih awal bermula jam 7 pagi pada Jumaat, Sabtu serta Ahad.