Thursday, June 16, 2011

Jangan Mudah Persalah Sesiapa

TELEMOVIE : Surah Al-Fatihah
TERBITAN : Enuja Production Sdn Bhd
PENERBIT/PENGARAH URUSAN : Zainuddin Mohd Ismail
PENGARAH : Raja Ahmad Alauddin
PENOLONG PENGARAH : Mohd Nasri
PENULIS SKRIP : Mazlan Manan
PENGURUS PRODUKSI : Arie Zaharie
PEMASARAN DAN TAJAAN : Azlan Mohd Nor
KONTI : Yaya Nadzri
PROP MASTER : Dzulhady Ruslan
PROPMAN : Mohd Nasriq, Shahrul Nizam
SOLEKAN DAN DANDANAN : Suraiya Hussin
RUNNER : Saufi
HANDY : Syafiq Johari
JURU KAMERA : Abdul Malek Marwi
PENATA CAHAYA : Amizulkifli Nawari
PENATA BUNYI : Mohd Haffis Mohd Zain
PELAKON : Nasha Aziz (Mastura), Nasir Bilal Khan (Rahman), Rafael El-Arash (Solah), Rahim Omar (Imam), Shahrulnizam (Hussin) dan Kismah (Mak Ngah)



 
SEHARI sebelum memulakan penggambaran telemovie Surah Al-Fatihah, kru produksi Enuja Production Sdn Bhd sudah bertungkus-lumus menggali lubang berhampiran Tanah Perkuburan Melayu di Paya Jaras, Selangor.

Memang dalam mana-mana penggambaran drama atau filem, apabila membabitkan babak penggambaran di kawasan perkuburan, kru produksi hanya dibenarkan membuat ‘props’ seolah-olah menggambarkan babak pengebumian jenazah. Ini bagi menghormati mereka yang disemadikan di tanah perkuburan berkenaan. 

Cabaran dalam menyiapkan babak pengebumian di tanah perkuburan cukup besar. Bukan hanya berdepan masalah mendapatkan latar tanah perkuburan malah perlu memenuhi syarat yang ditetapkan. Walaupun babak ini nampak remeh, kerjanya cukup sukar kerana perlu teliti dalam banyak perkara. Ia diakui pengarahnya, Raja Ahmad Alauddin.

Bercerita lanjut mengenai kisah di sebalik telemovie itu, Raja Ahmad memberitahu ia berkisar kepada kandungan daripada surah al-Fatihah. Sememangnya ia drama yang berkisar kepada kerohanian dan pada masa sama memaparkan pelbagai pengajaran dengan jalan cerita yang disampaikan mampu meninggalkan kesan mendalam pada emosi penonton.

“Drama ini menceritakan bagaimana kejadian yang berlaku dalam kehidupan kita sudah ditentukan oleh qada dan qadar. Tidak ada sesiapa yang perlu disalahkan apabila berlaku sesuatu musibah di luar kawalan kita.
“Apa yang penting sebagai manusia kita perlu berusaha dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dalam apa perkara atau pekerjaan yang dilakukan dengan penuh kesyukuran dan keikhlasan. Saya akui naskhah ini agak berat kerana perlu membabitkan emosi. Selain beberapa babak yang membabitkan insiden,” katanya.

Ketika ditemui di lokasi penggambaran di sekitar Paya Jaras dan Kuang, Raja Ahmad dan penerbit, Zainuddin Mohd Ismail memaklumkan penggambaran yang bermula sejak 1 Jun tidak berdepan banyak masalah kecuali keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan tempoh penggambaran berlarutan.

Begitupun, dia bersyukur kerana sehingga tempoh itu pihaknya tidak berdepan banyak masalah apatah lagi membabitkan barisan pelakon dan kru produksi yang cukup komited dengan kerja masing-masing.

Menurut Raja Ahmad, dia kagum dengan komitmen dan kegigihan yang ditunjukkan semua pelakon. Biarpun pertama kali bekerja dengan pelakon seperti Nasha Aziz dan Nasir Bilal Khan, dia tidak berdepan masalah besar untuk menyiapkan babak penggambaran telemovie itu.

Raja Ahmad yang pernah mengarahkan telemovie Lafaz Kasih Dengan Bismillah berharap naskhah berkenaan dapat diterima semua lapisan masyarakat.

Babak penting yang ditunggu-tunggu ketika itu membabitkan Nasha seolah-olah bermimpi berada dalam liang lahat selepas trauma dengan pelbagai kejadian yang menimpanya. Nasha yang membawakan watak Mastura, dikatakan menjadi punca kematian isteri dan anak Rahman lakonan Nasir Bilal Khan.

Bagaimanapun, Nasha lebih selesa menyelesaikan babak yang menyaksikan dia ditanam seakan-akan mayat hidup dilakukan di kawasan kampung tempat penggambaran kerana menghormati kawasan tanah perkuburan. Bayangkan tanah gambut yang menghempap permukaan badan Nasha dalam lubang yang digali khas untuk babak berkenaan.

Dalam satu kejadian awal pagi, Mastura yang baru pulang ke kampung secara tidak sengaja melanggar isteri Rahman yang mengakibatkan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Anak Rahman juga ditimpa musibah sama apabila ditimpa pokok dalam keadaan ribut petir selepas bertemu Mastura.

Peristiwa hitam itu membuatkan Mastura trauma apabila sentiasa menyalahkan dirinya sebagai penyebab kematian keluarga Rahman. Gelora perasaan Mastura yang bercelaru kerana tidak berpeluang menjelaskan keadaan sebenar atau ingin mengakui akan kesalahan itu kepada Rahman terbuku dalam hati. Akibatnya pelbagai bayangan dan mimpi yang dilalui Mastura apabila mengenangkan kejadian itu.

No comments:

Post a Comment