GAFIM perlukan pemimpin muda
BARU-BARU ini, Kak Pora hadiri majlis Malam Penghargaan FINAS. Malam itu ramai yang dapat hadiah sempena Anugerah Trofi Samad Idris termasuklah diadakan pelancaran buku biografi komposer veteran, Datuk Ahmad Nawab. Seronok berada di majlis itu apabila dapat berjumpa ramai orang filem.
Kak Pora sempat jugalah jumpa dengan beberapa kawan rapat dalam industri. Kami berbincang banyak perkara termasuklah mengenai penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) ke-25. Apabila ditanya kepada orang FINAS, bila nak dibuat FFM25, baru Kak Pora tersedar rupa-rupanya Gabungan Persatuan Penggiat Filem Malaysia (GAFIM). Apabila tanya pada seorang pemimpin persatuan yang berada dalam GAFIM, dia beritahu Kak Pora, memang mereka sedang membuat persiapan nak anjurkan FFM25 tetapi bukan diadakan dalam masa terdekat ini, sebaliknya bakal berlangsung pada November nanti.
Baguslah kalau GAFIM sudah mula menggerakkan kerja untuk FFM25. Jangan tak jadi buat tahun ini sudahlah. Apabila berbual panjang pada majlis itu, Kak Pora baru dapat tahu dalam GAFIM sekarang ada cerita panas sebab beberapa pemimpin persatuan hendak merebut jawatan presiden badan gabungan itu. Kak Pora diberitahu, sepatutnya mesyuarat agung GAFIM akan diadakan pada 29 Jun ini tetapi atas masalah teknikal, ia terpaksa ditunda kepada 17 Julai ini.
Kak Pora juga dengar cerita, ramai pemimpin persatuan yang berada dalam GAFIM sekarang sedang asyik melobi untuk dipilih menjadi Presedin GAFIM bagi penggal baru, menggantikan Ahmad Puad Onah yang dikatakan sudah meletak jawatan. Pemangku jawatan itu sekarang ialah Datin Paduka Shuhaimi Baba, iaitu Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).
Daripada risikan Kak Pora, ada empat calon mahu bertanding dalam mesyuarat agung nanti, masing-masing khabarnya sudah pasang strategi dan saling melobi untuk menang. Mereka ialah Shuhaimi; Presiden Persatuan Penyanyi Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA), Datuk M Daud Wahid; Presiden Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM) dan Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latif Rosli.
Ia bererti dalam mesyuarat agung pada 17 Julai nanti, akan ada pertandingan empat penjuru merebut jawatan presiden badan gabungan itu, Kalau diteliti nama empat calon itu, Kak Pora berasakan Jurey Latiff lebih sesuai untuk menerajui GAFIM sebab ketrampilan dan keberaniannya bersuara selain dia kelihatan lebih berpengaruh dan ada banyak idea.
Bukan Kak Pora nak melobi Jurey Latiff, tetapi calon lain Kak Pora nampak sudah berumur dan kurang menampakkan kredibiliti untuk membawa masa depan dan hala tuju industri perfileman dengan lebih menyakinkan. Selain faktor usia dan pengaruh, Kak Pora lihat Jurey Latiff lebih mempunyai misi dan tahu apa yang mahu diperjuangkan dalam dunia filem kita yang sekarang lebih mencabar.
Kak Pora sendiri dapat menilai, Shuhaimi bukannya orang yang berlatarkan kemahiran mengendalikan pertubuhan, dia lebih kepada seorang pengkarya filem sejati, bukan pentadbir. Ismail dan M Daud pula tidak mampu membawa hala tuju persatuan meraka secara lebih dinamik, malah ada ketikanya SWAM dan PAPITA seperti tidak bertaring dalam memperjuangkan hal dan kebajikan ahlinya. Mereka sendiri dalam persatuan masing-masing tidak nampak memperjuangkan isu dalam industri filem.
Jurey Latiff sebagai pemimpin muda dalam PTVM dilihat lebih berani bertindak, berani bersuara dan lebih fokus terhadap perancangan persatuan. Lihat saja PTVM, meskipun baru saja ditubuhkan tetapi di bawah kepemimpinan Jurey Latiff, ia sudah dilihat mampu memberi keyakinan kepada ahlinya dan orang filem, kemunculannya dalam industri nampak lebih relevan dan membuka mata ramai pihak termasuk di peringkat menteri.
Selain itu, Jurey Latiff juga masih muda dan mempunyai misi baik untuk membawa perubahan dalam industri perfileman. Kak Pora lebih yakin, kalau Jurey Latiff menjadi Presiden GAFIM, dia boleh membawa transformasi dan dimensi baru dalam GAFIM sesuai dengan aspirasi kerajaan, tak gitu? Yang penting, janganlah nanti dalam mesyuarat agung nak bergaduh pula. Eloklah ahli GAFIM beri peluan pada Jurey Latiff untuk menunjukkan kemampuannya kali ini.
Berita Minggu 26 Jun 2011, Jeling Kak Pora.
No comments:
Post a Comment