Tuesday, June 14, 2011

Beri royalti ulang drama

 KUALA LUMPUR: “Saya sarankan kepada setiap stesen televisyen (TV) negara yang menyiarkan drama ulangan supaya memberikan royalti semula kepada pengarah rancangan dan dengan wang itu dapatlah kami (produser) membantu artis yang kesempitan,” kata pengarah drama, Rashid Sibir. 

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai primadona, Azean Irdawaty, 61, yang kini hidup kesusahan sejurus wang simpanannya habis berikutan terpaksa membiayai kos perbicaraan dan perubatan anaknya, Benjy.

Rashid berharap stesen TV negara peka dengan nasib yang menimpa artis veteran yang hilang punca pendapatan disebabkan masalah kesihatan atau tidak mampu untuk bekerja.
“Saya mohon jasa baik stesen TV memberikan royalti semula seperti yang dilakukan di Hollywood... cuba lihat kehidupan artis veteran Hollywood dan Malaysia, banyak sangat bezanya.

“Walaupun mereka sudah tua kehidupan mereka amat mewah jika dibandingkan dengan artis kita. Ini kerana stesen TV Hollywood memberikan royalti untuk drama yang disiarkan semula termasuklah lagu yang dimainkan di radio,” katanya.

Rashid berkata, kebanyakan stesen TV hari ini membeli drama termasuk semua hakcipta dan tidak membayar royalti jika ia ditayangkan semula pada masa akan datang.
“Kerana tidak dibayar royalti, amat susah untuk kami (produser) membantu artis yang kesusahan,” katanya.

Rashid berkata, bagi inisiatif lain persatuan artis seperti Seniman dan Karyawan harus bergabung membantu artis veteran memerlukan dengan mengutip sumbangan.
“Jika seorang artis menderma RM10, jika 1,000 yang menderma sudah RM10,000 diperoleh..sekurang-kurangnya sumbangan itu dapat mengurangkan beban yang ditanggung mereka,” katanya.

Rashid antara pengarah drama yang paling rapat dengan Azean sudah beberapa kali memanggilnya berlakon selepas seniwati itu menjalani pembedahan barah pada 2007.

“Terbaru saya mengundangnya berlakon drama Hati Seorang Ibu yang sudah disiarkan di Astro bulan lalu. Walaupun dia sakit saya tetap memanggilnya kerana saya mahu membuktikan dia mampu bekerja,” katanya. Pengarah drama, Raja Ahmad Alauddin, menyarankan setiap pengarah drama menawarkan watak yang ringan kepada Azean berdasarkan kemampuannya untuk berlakon.

“Sayang sekali jika kita tidak mengambilnya berikutan bakat yang dimilikinya tinggi,” katanya.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik berkata, Azean harus dibantu kerana dia mempunyai tanggungan perbelanjaan terhadap keluarga termasuk perbelanjaan perbicaraan Benjy.

“Saya memohon jasa baik pengarah drama menawarkan pekerjaan untuknya,” katanya.

No comments:

Post a Comment