Monday, February 21, 2011

SATU PENGAJARAN

TINDAKAN A Aida menyaman Sheera Iskandar yang juga teraju utama drama Halimah Jongang kerana didakwa melanggar kontrak dengan memotong rambut hingga menyebabkan pelbagai masalah lain timbul mengundang pelbagai persepsi. Ada yang berbisik mengandaikan pemilik syarikat produksi A Aida Productions Sdn Bhd itu sengaja membesarkan perkara remeh bagi memancing publisiti murahan dan ada juga yang bersetuju.
Walau apa juga persepsi, tindakannya bukan mengikut kehendak hati marah semata-mata mencerminkan tidak profesional seorang penerbit sebaliknya ia dianggap sebagai satu pengajaran buat pelakon lain agar tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan jika masih terikat dengan lampiran kontrak.
Hujahan A Aida sudah bersepah di dada akhbar hingga penjelasannya di sebuah program televisyen berhubung perkara yang sama dianggap melampau kerana mengeluarkan kata kasar.
Sheera juga tidak berpeluk tubuh. Dakwaan dirinya melanggar kontrak siri popular itu disifatkan tidak berasas. Siapa pula yang ingin mengaku salah atau berundur dengan jawapan berlembut?

Justeru, pihak Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) yang bertanggungjawab dalam soal kebajikan penerbit televisyen tempatan melalui presidennya, Jurey Latiff Rosli terpaksa tampil melihat kemelut yang kian menghimpit agar tidak kekal berterusan.
Melihat punca permasalahan ini sebagai sesuatu yang cukup remeh pada awal dan seharusnya lekas dicari penyelesaian, namun kerana tindakan enggan berkomunikasi serta tidak peka terhadap kontrak yang ditandatangani, ia menjadi lebih kronik hingga akhirnya membabitkan banyak pihak yang terpaksa campur tangan.
“Saya tidak mahu bersikap berat sebelah. Justeru saya memantau situasi ini secara menyeluruh. Apa yang jelas, masalah ini berpunca daripada tindakan Sheera yang melanggar kontrak perjanjian Halimah Jongang. Tindakannya bukan setakat menyusahkan pihak produksi untuk membetulkan semula watak dan menyesuaikan keseluruhan plot cerita dengan imej barunya yang tersasar daripada karakter, malah ia bagai mencabar pihak penerbit kerana ingkar mengikut sesuatu yang sudah dipersetujui di peringkat awal.
“Saya punya pengalaman yang sama sebagai seorang penerbit dan perkara ini memang menyusahkan banyak pihak. Paling memalukan apabila pihak stesen televisyen mula mempersoalkan keadaan itu kerana watak Halimah Jongang sudah sinonim dengan pembangunan karakter tertentu. Namun apabila Sheera memotong rambut dan dikatakan pernah beberapa kali ‘hilang’ daripada lokasi penggambaran, ia memang menyusahkan.
“Penerbit juga menanggung kos kerugian untuk mencari pula alternatif lain bagi menyesuaikan semula watak dan imej itu selain terpaksa berdepan dengan pihak stesen televisyen bagi menjelaskannya. Imej dan reputasi penerbit juga boleh tercalar dengan perkara yang mungkin remeh pada sesetengah pihak seperti ini.

“Justeru ia satu masalah yang serius dan tidak sepatutnya berlaku terutamanya kepada mereka yang sudah lama berkecimpung,” katanya. Mendengar rungutan dan keputusan muktamad A Aida ingin menyaman Sheera dianggap serius. Namun adakah tindakan itu satu langkah terbaik atau relevan dilakukan dalam gelanggang seni penerbitan tempatan yang kecil seperti Malaysia? Jurey bagaimanapun enggan mengulas mengenai tindakan saman-menyaman itu sebaliknya hanya memberikan beberapa alasan kukuh mengapa ada kalanya tindakan berani seperti ini perlu ada.
“Soal saman-menyaman atau memberi amaran melalui prosedur peguam memang kita lihat sesuatu yang berat dan hanya memberikan kesan lain kepada masalah ini. Namun ada kalanya ia perlu walaupun skala industri kita tidak besar bagi menjaga kepentingan sesetengah pihak terutamanya penerbit. Objektifnya bukan untuk meraih publisiti atau melihat jumlah wang itu sebagai ukuran sebaliknya tindakan ini sekurang-kurangnya dapat menyedarkan sesetengah pihak agar tidak sewenang-wenangnya melanggar kontrak.

“Ini adalah satu pengajaran yang mungkin dapat membuka mata pihak lain untuk lebih berhati-hati dan tidak mengambil mudah sesetengah perkara. Jika dilihat pada kesannya kepada penerbit sendiri, baik daripada aspek reputasi dan imej serta kredibilitinya, impak itu jauh lebih menyakitkan. Mungkin selepas ini pelakon dan golongan penggiat seni khususnya lebih sedar akan kepentingan sesebuah projek pihak produksi,” katanya.

(oleh MURSHID EUNOS, nurshid@hmetro.com.my. Keratan Akhbar Harian Metro 20 Februari 2011, Ahad)

No comments:

Post a Comment