Jurey Latiff Rosli |
Nampaknya tulisan Kak Pora mengenai isu penganjuran Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2010 dalam ruangan ini minggu lalu, yang sepi tanpa promosi mendapat perhatian banyak pihak dalaman industri hiburan. Kak Pora sendiri pun terkejut apabila tiba-tiba ASA 2010 kembali. Tiada isyarat dan bunyi, ASA 2010 muncul selepas lebih tiga tahun tidak dianjurkan.
Lagi membuatkan Kak Pora terpinga-pinga apabila pengumuman acara itu dibuat dalam tempoh kurang tiga minggu daripada tarikh majlis ASA 2010 akan berlangsung. Jangankan Kak Pora yang terkejut, perasaan sama turut dikongsi Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) yang dipimpin Jurey Latiff Rosli.
Sebelum ini, Jurey ada memberitahu keinginan mereka untuk menganjurkan Anugerah TV 2010 selepas tiada pihak berminat untuk meraikan sumbangan penggiat di balik tabir industri penyiaran. Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa ditangguhkan apabila dimaklumkan ASA 2010 akan kembali dianjurkan. Lalu, Jurey menyatakan PTVM sedia membantu jika penganjur memerlukan pertolongan.
Tunggu punya tunggu, Jurey beritahu Kak Pora, mereka hanya tahu mengenai ASA 2010 menerusi akhbar dan televisyen. Usahkan dijemput untuk hadiri sidang media, PTVM langsung tidak dimaklumkan mengenai penganjuran ASA 2010. Pelik juga ye kerana pemain utama dalam industri penyiaran pun tak tahu menahu mengenai ASA 2010. Bila ditanya kepada pihak berkenaan, mereka berdolak-dalih dan menyalahkan orang lain menguruskan isu jemputan.
Jurey berpendapat, ASA 2010 sepatutnya diraikan secara besar-besaran terutama selepas empat tahun tidak dianjurkan. Apatah lagi, ia adalah satu-satunya acara yang meriahkan seluruh penggiat industri penyiaran. Tetapi semua itu cuma menjadi angan-angan. Mungkin kerana peranan PTVM yang belum jelas seperti Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membuatkan badan penyiaran menolak untuk bekerjasama dengan mereka. PTVM seperti tidak dipandang langsung sedangkan mereka banyak memainkan peranan dalam perjuangan untuk menjaga kebajikan penerbit dan pekerja industri televisyen.
Jawapan diberi mereka akan menjemput ahli PTVM pada malam kemuncak nanti. Kak Pora tengok tarikh ASA 2010 makin dekat kad jemputan belum diedarkan lagi. Agak Kak Pora pihak yang dipertanggugjawabkan menguruskan hal itu tidak menyimpan alamat tetamu untuk diundang. Takkan semua benda mahu ditunggu pada saat akhir? Jika PTVM sudah menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama, mengapa tidak peluang itu diambil untuk merangka pelbagai pengisian seperti dibuat Festival Filem Malaysia (FFM) saban tahun.
Kak Pora faham mengapa Jurey mengeluh. Memanglah terasa kalau berada di tempat mereka. Namun, seperti kata Jurey, sebagai pemain utama industri penyiaran, PTVM tetap bangga kerana selepas sekian lama menanti ada pihak yang prihatin dan menghargai penat lelah mereka. Tetapi bila benda seperti ini berlaku, mereka berasa hati. Tindakan itu seolah-olah peranan mereka tidak diperlukan bagi menperkemaskan jentera penganjuran ASA 2010. Malaslah Kak Pora nak mengomel panjang-panjang mengenai ASA 2010.
(keratan akhbar Berita Minggu, Ahad 13 Februari 2011)
No comments:
Post a Comment