Friday, February 18, 2011

'SAHAM SINGA' BUNUH INDUSTRI KREATIF

DEMI memenuhi kehendak selera penonton, mana-mana stesen televisyen pasti mengerah idea mereka dalam menyajikan program-program terbaik untuk dipertontonkan.

Atas tuntutan sedemikian, pelbagai rancangan direncanakan dalam direktori mereka termasuklah memberi peluang kepada syarikat produksi tempatan untuk menghasilkan program-program berkualiti untuk tatapan penonton.

Namun, timbul pula cerita yang kurang enak terhadap stesen milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) apabila dikatakan membuka ruang kepada segelintir penerbit tempatan untuk mendominasi jumlah jam untuk slot yang disediakan RTM.

Ada syarikat penerbitan dikatakan mendapat sehingga 500 jam untuk menerbitkan rancangan-rancangan RTM sehingga penerbit lain terpaksa berputih mata.

Keluhan dan rintihan para penerbit sehingga ada yang gulung tikar dan menjual studio mendapat reaksi positif daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim ketika ditemui di majlis pelancaran Anugerah Seri Angkasa 2010 (ASA 2010) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rais menegaskan tidak akan membenarkan mana-mana syarikat penerbitan menggunakan RTM sebagai batu loncatan untuk mendapatkan sesuatu projek mengikut saluran yang tidak sepatutnya. 

Beliau yang menyifatkan golongan itu sebagai mendapat 'saham singa', meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai hal berkenaan supaya melaporkan kepadanya untuk siasatan lanjut.

Janji Rais itu mendapat reaksi positif daripada beberapa penerbit yang menyifatkan itu adalah satu tindakan berani yang akan membela nasib para penerbitan tempatan yang teraniaya sekian lama.

Bukan itu sahaja, tindakan Rais turun padang untuk menyelesaikan masalah berkenaan membolehkan mereka menarik nafas lega di samping mengelak kejatuhan industri kreatif di Malaysia.

Jurey Latiff Rosli
Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli ketika dihubungi berharap agar isu itu tidak dipandang enteng oleh pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dan dapat diselesaikan segera demi kepentingan para penerbit.

"Terdapat 752 buah produksi di negara ini yang bersaing untuk mendapatkan slot siaran di stesen-stesen televisyen tempatan.

"Jika peluang sama rata tidak diberikan, bagaimana syarikat-syarikat produksi ini mahu terus hidup kalau slot tersebut asyik diberikan kepada syarikat yang sama?

"Industri di negara ini bukanlah sebesar. Kalau kerajaan tidak tampil membantu, pihak mana lagi yang boleh menghulurkan bantuan," soal Jurey yang juga Penerbit Eksekutif World Evolution Brain (M) Sdn. Bhd.

Tambah Jurey, RTM mempunyai kira-kira 4,000 jam dalam slot siarannya setahun untuk diagihkan kepada syarikat penerbitan.

Setiap satu syarikat produksi tempatan katanya, hanya memerlukan sekurang-kurangnya 20 ke 30 jam setahun untuk mengisi slot siaran demi meneruskan kelangsungan hidup.

Ruhani Ab. Rahman
Sementara itu, Penerbit Nizarman (M) Sdn. Bhd., Ruhani Ab. Rahman ketika ditanya pendapatnya mengenai janji Rais itu, dengan nada ceria berkata: "Hanya kuasa politik sahaja yang boleh merubah senario yang dilihat semakin serius ini. 

"Jika masalah ini tidak diatasi dengan segera, saya percaya, satu demi satu syarikat produksi akan gulung tikar kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang konsisten.

"Produser juga akan pening kepala kerana memikirkan alternatif lain untuk mengembangkan perniagaan mereka.

"Dalam negara ini, terdapat banyak lagi syarikat yang berpotensi untuk menghasilkan program-program bermutu untuk paparan di kaca televisyen.

"Jadi, kredibiliti tersebut sudah cukup membuktikan kami juga berhak untuk mendapat jumlah jam yang sama." 

Penerbit Eksekutif BKB Production Sdn. Bhd., Saodah Majid pula tidak pasti sejauh mana kesahihan kemelut itu.

Bagaimana pun katanya, ia sudah lama menjadi topik perbualan di kalangan teman-temannya.

"Jika benarlah situasi ini berlaku, saya harap RTM cepat memperbetulkan keadaan dan memberi peluang sama rata kepada produser lain.

"Bagaimana produser lain nak cari makan sekiranya peluang tidak diberikan? Kami pun ingin kaya juga dengan bayaran lumayan yang diberikan RTM," kata Saodah berseloroh.


Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment