Wednesday, July 13, 2011

Ucapan Selamat Hari Lahir Kepada Presiden PTVM


Mohd Taha Ab Wahid, Setiausaha PTVM
 Terlebih dahulu, bagi pihak semua rakan seperjuangan dalam PTVM, dengan perasaan penuh gembira dan tulus ikhlas, saya menyampaikan doa dan ucapan 'selamat hari jadi' kepada presiden kita,  En. Jurey Latiff Rosli, sempena hari lahirnya yang ke 45  ini. Mudah-mudahan Allah cucuri rahmat dan lanjutkan usia beliau, sihat walafiat dan sentiasa bahagia, sambil meneruskan sumbangannya kepada agama, bangsa dan perjuangan untuk persatuan.

Friday, July 8, 2011

'Artis Jangan Terlibat Perhimpunan Bersih'


Jurey Latiff Rosli
 PETALING JAYA: Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latif Rosli menasihati para artis supaya tidak terlibat dengan perhimpunan haram Gabungan Bersih dan Adil (Bersih) yang dijadualkan Sabtu ini.

Jurey berkata jika ada mana-mana artis yang terlibat dalam perhimpunan itu ia akan menjejaskan reputasi serta boleh menjatuhkan moral dunia hiburan.

"Saya harap tiada artis yang terlibat dengan perhimpunan tersebut kerana ia ternyata merugikan diri dan menyusahkan masyarakat lain.
"Jika mereka nekad untuk sertai Bersih, fikirlah semasak-masaknya apa faedah perhimpunan itu kepada semua," tegasnya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Tambah Jurey lagi, kerana perhimpunan tersebut, dia yang juga penerbit dan pengarah drama terbarunya, Maharani, terpaksa membatalkan penggambaran yang sepatutnya diadakan di satu lokasi di Kuala Lumpur.

"Kerana perhimpunan ini, banyak jalan yang telah ditutup termasuklah lokasi penggambaran drama saya.
 
"Bagaimanapun, saya akan mencari lokasi-lokasi yang sesuai untuk babak lain pula," katanya.

Drama 13 episod lakonan Maimun Khalid, Ako Mustapha dan Zaidi Omar akan disiarkan pada September depan di TV1.

Wednesday, July 6, 2011

Undang-Undang Banteras Pelanggaran Hak Harta Intelek Diperketat





KUALA LUMPUR – Kerajaan semalam memberi isyarat bahawa ia akan memperjuangkan dan membela nasib serta hak golongan artis di negara ini tanpa bertolak ansur terhadap pelanggaran hak-hak harta intelek. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan meminda Akta Hak Cipta 1987 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan, undang-undang untuk melindungi hak-hak golongan artis akan lebih ketat.

Antara tumpuan yang bakal diberikan melalui pindaan akta itu meliputi aspek kutipan royalti yang lebih telus, penguatkuasaan Tribunal Hak Cipta, larangan muat turun bahan seni secara tidak sah dan jumlah bayaran minimum kepada karyawan seni. “Isu paling penting adalah mengenai royalti karyawan kerana ketika ini tiada satu sistem kutipan yang memuaskan manakala badan kutipan yang sedia ada tidak berdaftar dengan kerajaan.

“Selepas akta ini dipinda, mereka perlu berdaftar dan beroperasi secara lebih telus,” katanya ketika merasmikan Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO 2011 di DoubleTree by Hilton, The Intermark, Jalan Tun Razak di sini semalam. Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe dan Datuk Rohani Abdul Karim; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom; Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Abdul Manan Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah MyIPO, Mohd. Shahar Osman.

Turut menyerikan majlis ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak serta Pengarang Kosmo, Baharom Mahusin.

Lebih 500 tetamu termasuk 300 artis hadir pada majlis tersebut termasuk Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Harun Salim Bachik dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandes. Antara bintang-bintang yang hadir ialah Datuk Sarimah Ahmad, Jamal Abdillah, Amy Search, Ziana Zain, Farah Asyikin, Ifa Raziah dan Norman KRU.

Ismail Sabri memberitahu, apabila akta itu dilaksanakan kelak, setiap badan pengutip royalti artis yang berdaftar perlu membuat perjanjian bertulis untuk melaksanakan urusan tersebut. “Jika ada pelanggaran dalam syarat yang ditetapkan, badan itu boleh dikenakan penalti sehingga RM500,000 dan mereka perlu ada butir lengkap dalam sebarang urusan kutipan royalti berkenaan,” tegasnya. Selain itu, beliau berkata, akta baru itu juga akan menetapkan kadar minimum peratusan kutipan setiap hasil yang sepatutnya diperoleh oleh artis seperti penyanyi, komposer, penulis lirik atau pelakon. Ujarnya, kerajaan akan menetapkan jumlah itu dan apabila ia dilaksanakan tidak akan berlaku lagi bayaran rendah diperoleh oleh artis.

 
Ismail Sabri menambah, Tribunal Hak Cipta juga akan dikuatkuasakan dan diberi lebih kuasa dalam pindaan akta berkenaan. “Jika ada artis yang tidak puas hati, mereka boleh kemukakan aduan ke tribunal yang tidak akan mengambil masa yang lama dan mereka tidak perlu bayar caj peguam yang mahal,” ujarnya. Sementara itu, Amy Search mendedahkan dalam forum mengenai harta intelek yang diadakan pada himpunan semalam bahawa jika lagu-lagu nyanyiannya tidak dicetak rompak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, dia mungkin mampu meraih royalti sehingga RM15 juta.

Sunday, July 3, 2011

Kisah Hidup Man Raja Lawak,

Man Pos Masuk Kampung adalah drama pertama menampilkan Man Raja Lawak sebagai watak utama.

SESUAI dengan sisi peribadi juara Raja Lawak musim kelima, Man yang bertugas sebagai kakitangan Pos Malaysia maka telefilem Man Pos Masuk Kampung arahan Yusof Kelana mengimbau perjalanan hidup seorang posmen dan bakal disiarkan pada Selasa, 16 Ogos ini menerusi Astro Warna.


Man Pos Masuk Kampung terbitan YKS Film Maker Sdn Bhd, syarikat produksi milik bersama Yusof Kelana dan Serina Redzuawan. Drama bergenre komedi itu buat kali pertamanya menampilkan Man Raja Lawak sebagai watak utama. Selain Man, kisah komedi selama 90 minit itu turut dibintangi Yaat Hamzah (jJamilah), Serina Redzuawan (Wawa), Harun Salim Bachik (Pak Husin) dan Zulkifli Ismail (Roslan). Ia turut dibantu Z Zambree dan Kay Maria.

Man Raja Lawak punyai bakat lakonan yang masih boleh digilap.
“Zaman sudah berubah, kebanyakannya menganggap tugasan posmen hanya menghantar bil atau surat saman. Bagaimanapun, kisah Man Pos Masuk Kampung mempunyai maksud tersirat. Saya terfikir mahu mengkisahkan perjalanan hidup dan kerjaya seorang posmen apabila melihat Man dalam program Raja Lawak 5. Saya bergabung idea dengan penulis skrip, Martias Ali untuk hasilkan Man Pos Masuk Kampung.

“Tidak dinafikan, Man sudah berusia dan berumahtangga, tetapi dia ada bakat semula jadi sebagai pelakon. Saya melihat Man ada tarikan tersendiri, Cuma bakatnya perlu digilap. Selepas habis penggambaran Man Pos Masuk Kampung, Man yang cuti tanpa gaji selama setahun terbabit dalam beberapa drama lain.

“Man juga komited ketika berada di set penggambaran. Walaupun ada kala terpaksa melakukannya berulang kali, Man Nampak bersunggu-sunggu melakukannya. Man Pos Masuk Kampung adalah kisah hidup Man. Dia terbabit dalam 55 babak. Mungkin babak komedi semakin sinonim dengan Man, tetapi dia mampu berlakon serius dalam drama ini. Katanya yang sebelum ini pernah mengarahkan dua filem komedi, MX3 dan Pontianak Menjerit.

Man Pos Masuk Kampung mengisahkan Man yang mengambil keputusan menghantar surat cinta lamanya kepada seorang gadis selepas mengetahui gadis itu juga menyimpan perasaan terhadapnya. Namun, pencarian rumah Jamilah terbantut apabila alamat rumah itu hilang ketika dia menyelesaikan masalah orang lain. Dari kecil lagi, Man sering menjadi penghantar surat bagi abangnya, Ijoi yang mencintai Wawa.

Man ke rumah Haji Ramli untuk bertemu Jamilah, adik kepada Wawa. Man, meminati Jamilah namun tidak pernah meluahkan perasaannya. Sepuluh tahun berlalu, Man bekerja sebagai posmen dan bertugas di beberapa negeri termasuk di Terengganu.


Antara babak seram dalam telefilem Man Pos Masuk Kampung.

Hari pertama bekerja di negeri itu, Man terpaksa menyesuaikan dengan persekitarannya. Ketika agak keliru dengan jalan di sebuah kampong, Man bertanya seorang suri rumah yang menjemur kain . Alangkah terkejutnya Man apabila mendapati suri rumah itu ialah Wawa, bekas kekasih abangnya yang sudah berkahwin dengan lelaki lain.

Selepas sekian lama tidak berjumpa, Man bertanyakan Wawa mengenai khabar Jamilah. Jamilah tinggal di daerah lain bersama keluarga dan bakal dipinang keesokan harinya. Jamilah kecewa Man tidak membalas cintanya. Man tergamam kerana tidak menyangka dia tidak bertepuk sebelah tangan selama ini. Man menceritakan hatinya sudah lama terpaut pada Jamilah, tetapi malu menghantar surat cinta yang sekian lama ditulis kepadanya. Wawa menceritakan segala-galanya pada Jamilah, tetapi dia tidak mempercayainya. Jamilah mahu bukti surat cinta dulu jika Man mencintainya.


Antara babak percintaan dalam telefilem Man Pos Masuk Kampung.



Berita Minggu, 03 Julai 2011 (Ahad)

Mantapkan prosedur tapisan LPF


Jurey Latiff Rosli, Presiden PTVM
PERSATUAN Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mahu prosedur tapisan dan garis panduan penerbitan semua program televisyen di Negara ini termasuk drama dan dokumentari dimantapkan supaya tidak timbul lagi isu berkaitan sensitiviti terutama perihal agama Islam.

Ini penting supaya keadaan keruh tidak lagi berlaku dalam hubungan penerbit drama dan stesen TV dengan pihak Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) seperti berlaku terhadap isu drama bersiri Sakti Delima di TV3 baru-baru ini, selain memelihara keharmonian masyarakat, kesejahteraan dan keselamatan Negara.

Tegas PTVM, dalam era masa kini semua orang mahu bersuara dan bercakap atas hak kebebasan bersuara , industri penyiaran masih tetap mempunyai tanggungjawabnya sendiri untuk terus memelihara keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

Presiden PTVM, Jurey Latiff Rosli, berkata pihaknya sudah memberikan pandangan dan cadangan kepada LPF supaya satu perbincangan diadakan di antara stesen kerajaan dan swasta bagi menyelaraskan fasa prosedur tapisan menerusi Standard Operating Procedure (SOP) dipraktikan supaya penerbit TV tidak dipersalahkan pada masa depan.

“Ini juga wajar bagi memudahkan tugasan pegawai LPF yang terpaksa menapis lambakan bahan siap untuk siaran. Kami di PTVM juga mencadangkan LPF bekerjasama dengan JAKIM bagi memantapkan lagi garis panduan dan prosedur penerbitan bahan siaran yang membabitkan kepentingan Islam. Produser boleh muflis apabila drama terbitannya tidak dibayar kerana tidak dapat disiarkan.

“Sebagai ahli bersekutu LPF, saya juga terpanggil untuk membetulkan satu kenyataan kurang tepat oleh seorang penulis dalam akhbar minggu lalu berkenaan budaya kerja yang tidak profesional penerbit drama tempatan dalam soal berurusan dengan LPF. Tulisan penulis itu yang menempelak LPF suatu ketika dulu tanpa mendapat maklumat sebenar isu Sakti Delima kini diulangi sekali lagi dalam membuat tuduhan melulu kepada penerbit dikatakan sangat manja hingga menyusahkan stesen TV dan LPF.

“Sesetengah penerbit mendapat slot di stesen TV menurut sumber LPF macam orang bagi susu mereka balas tuba.” Adakah kenyataan penulis yang seperti tidak membuat kajian ini datang dari LPF atau andaian penulis itu sendiri yang sememangnya tidak menyukai produser drama tertentu?

“Saya sendiri sebagai Ahli Bersekutu LPF dilantik bagi membantu LPF dalam menjalankan tugas mereka dengan mengambil kira pandangan industri sudah memberikan penjelasan kepada Pengerusi LPF dan Setiausaha Bahagian Penapisan Filem Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan SOP penghasilan drama dan penghantaran bahan siap untuk siaran RTM.

“Ia amat berkesan dalam memastikan bahan siaran terbabit mengikut garis panduan LPF. Persoalannya ialah SOP ini tidak sama antara stesen kerajaan dan swasta. Maka sebab itu saya mencadangkan KDN menetapkan SOP sama standard seperti diguna pakai untuk semua stesen.

“Ingin saya jelaskan, produser faham proses dan prosedur membabitkan penerbit TV, stesen TV dan LPF. Isu Sakti Delima adalah contoh kes yang dibangkitkan PTVM bagi member penjelasan kepada LPF mengenai proses penerbitan sesuatu drama dan proses siaran drama.
“Setiap cadangan dipilih akan disenarai pendek untuk melalui proses pembentangan cadangan dengan jelas cerita penuh di depan panel penilai. Selepas mendapat persetujuan dan kelulusan panel penilai stesen, maka kebenaran secara bertulis diberikan kepada penerbit TV bagi menyediakan skrip penuh sebelum menerbitkan rancangan. Kontrak perjanjian ditandatangani di mana satu pengisian kontrak menjelaskan penerbit perlu menghantar bahan siap kepada stesen pada tarikh ditetapkan.

“Apabila bahan siap dalam bentuk DVD dihantar kepada stesen maka tanggungjawab stesen memastikan bahan siap itu dihantar kepada LPF bagi memastikan isi kandungan siaran tidak bercanggah garis panduan LPF. Jika bahan siap DVD itu lulus penilaian stesen dan LPF maka penerbit diarahkan menyiapkan pita induk bahan siap untuk siaran.

“Begitu juga jika ada masalah berbangkit dalam pengisian program yang perlu dibaiki atau disunting, penerbit akur untuk memastikan ia diterima LPF. Proses dan prosedur ini adalah SOP yang diamalkan RTM tetapi tidak di Media Prima manakala ASTRO menggunapakai “in-house censors”. Kata Jurey yang juga Ahli Jawatankuasa Penasihat FINAS.


Berita Minggu, 3 Julai 2011 (Ahad)

Saturday, July 2, 2011

Rangsang industri kreatif negara

Festival-festival kesenian yang kerap diadakan di ibu negara juga merangsang industri kreatif negara. - gambar hiasan

HAKIKAT bahawa industri kreatif boleh menjadi satu daripada teras ekonomi negara mula diterima rakyat, terutamanya mereka yang memiliki bakat dan potensi kreatif untuk melakukan perubahan besar.

Menerusi pengiktirafan kerajaan bahawa industri kreatif boleh menjana pendapatan dan peluang kerja berserta dengan galakkan dan rangsangannya, terdapat kemunculan dan kebangkitan pelbagai aktiviti dalam bidang itu.

Ini lebih-lebih lagi apabila kerajaan, menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) telah merumuskan 11 strategi di bawah Dasar Industri Kreatif Negara untuk menjadikan industri ini lebih selaras, tersusun dan dinamik.

Dianggarkan industri kreatif menyumbang kira-kira 1.27 peratus Pendapatan Negara Kasar (PNK) negara pada 2008 dan objektifnya ialah untuk meningkatkan lagi sumbangan itu. Kebanyakan negara maju seperti Britain dan Amerika Syarikat mencatatkan sumbangan lebih tinggi terhadap PNK iaitu masing-masing 4.5 peratus dan 6.0 peratus.

Tidak banyak tumpuan diberikan sebelum ini mungkin kerana industri itu kurang dikenali dan potensi besarnya daripada segi ekonomi masih kabur. Tetapi kini keadaan adalah jauh berbeza berikutan langkah kerajaan mengambil perhatian akan potensinya selepas melihat pendirian proaktif yang diambil oleh negara-negara lain.

Ambil pembikinan filem, misalnya. Berikutan keputusan kerajaan memberikan status yang sama rata bagi insentif cukai kepada semua filem terbitan tempatan, sama ada dalam Bahasa Malaysia, Cina atau Tamil, asalkan 51 peratus hak milik filem itu dimiliki rakyat Malaysia dan 50 peratus diterbitkan atau dirakamkan di dalam negara, terdapat peningkatan dalam pembikinan filem di dalam negara.

Idea di sini adalah bukan sekadar membuat filem semata-mata hanya untuk mengeluarkan filem atau untuk memenuhi impian seseorang, tetapi ia mengenai menerbitkan filem buatan Malaysia yang mencapai tahap box-office, bukan hanya di dalam negara tetapi juga di luar negara.

Pendek kata, memerlukan perubahan cara berfikir dan inisiatif mengenai bagaimana menjadikan filem dan dokumentari buatan Malaysia boleh menarik penonton, sama ada menerusi kerjasama dengan pihak asing dan seumpamanya.

Beberapa langkah telah digerakkan berikutan gesaan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang tidak jemu-jemu menggalakkan aktiviti kebudayaan dan kesenian, kepada agensi-agensi di bawah kementeriannya. "Perlu berinovatif dan berfikir di luar kebiasaan", merupakan ungkapan yang sinonim dengan dirinya.
Perbadanan Kemajuan Filem Negara (Finas), telah bekerjasama dengan National Geographic Channels International (NGCI) untuk menerbitkan beberapa dokumentari pada durasi 60 minit mengenai pelbagai tokoh dan pembangunan di Malaysia.

Ini termasuk Becoming a King, SMART Tunnel, Fight Masters: Silat, Among the Great Apes with Michelle Yeoh dan A Leader's Legacy: Tun Abdul Razak yang memaparkan hasil kerja penerbit berbakat Malaysia.

Hakikat bahawa dokumentari berkenaan telah dihasilkan dengan jayanya membuktikan gabungan bakat-bakat dan kisah unik di Malaysia, suatu hakikat yang diakui oleh Naib Presiden Jualan Kandungan National Geographic Channel, Germaine Deagan.

Perkataan ajaib di sini ialah kreativiti. Mesejnya amat mudah: bagaimana untuk menceritakan kisah yang baik dengan bijak dan mampu menawan hati penonton.

Berikutan kejayaan Finas itu, agensi lain di bawah KPKK seperti Filem Negara (FNM) dan malahan RTM telah diminta menerbitkan dokumentari berkualiti tinggi yang boleh dieksport. Zaman sudah berlalu di mana dokumentari diterbitkan hanya untuk penonton tempatan.

Malahan Aswara atau Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, agensi di bawah KPKK, mengambil inisiatif untuk menjadi institusi pendidikan tempatan yang pertama menubuhkan fakulti khusus untuk penerbitan filem animasi, kata Rektornya, Datuk Dr. Mohamed Najib Dawa. Pengambilan pertama sebanyak 20 pelajar bagi kursus diploma tiga tahun itu bermula pada 18 Julai.

Keputusan Aswara itu konsisten dengan misi untuk mengeluarkan graduan yang diperlukan pasaran, kata Mohamed Najib, yang bangga bahawa 95 peratus graduan Aswara mendapat kerja sebaik sahaja menamatkan pengajian.

Dan untuk menunjukkan betapa seriusnya Aswara dalam memastikan di manakah kedudukan pelajarnya apabila mereka tamat belajar nanti, ia baru-baru ini telah menjemput Raman Hui, pakar animasi popular yang terbabit dalam pembikinan filem animasi seperti Shrek danKungfu Panda bagi bengkel sehari.

Jika diperhatikan, tidak berlakunya kekurangan bakat dalam pelbagai bidang di negara ini. Ramai penyanyi Malaysia seperti Gary Chaw dan Ah Niu telah mencipta nama di Hong Kong, Taiwan dan China.

Baru-baru ini, Wan Muhammad Hazzim Wan Muhammad Zulkifli, 17, dari SMK Datuk Dol di Melaka mengalahkan ramai pelukis antarabangsa dalam pertandingan kerja seni untuk muka depan album Irisdescent kumpulan rock Linkin Park, yang lagunya telah dijadikan lagu tema filem Transformers: Dark Side of the Moon.

Baru-baru ini pelbagai komen muncul di media dan Internet membahaskan mengenai peruntukan dana kerajaan untuk membantu industri kreatif selepas Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia), tersalah petik jumlah yang dibelanjakan bagi sambutan "Hari Seniman", majlis yang dikhususkan untuk artis tempatan.

Kurang daripada RM100,000 dibelanjakan bagi majlis itu, kata Modzaki Din, Setiausaha Bahagian Pengurusan Acara di KPKK, bukannya RM100 juta seperti dinyatakan.

Untuk rekod, 97 permohonan bagi pinjaman berjumlah RM99.95 juta di bawah Tabung Industri Kreatif telah diluluskan setakat ini untuk membantu industri kreatif menjalankan aktiviti seperti penerbitan filem, animasi dan muzik, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) KPKK Datuk Ab. Ghaffar A. Thambi.

Sebanyak 60 permohonan bagi pinjaman RM88.4 juta di bawah tabung yang sama sedang dinilai.

Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, tabung itu ialah untuk membantu mereka dalam industri itu supaya produk dan perkhidmatan mereka dapat ditambah baik dan dieksport untuk menjana pendapatan kepada negara.

Tetapi tidak semua artis yang berjaya memerlukan bantuan kerajaan. Kalangan yang benar-benar kreatif tidak mempunyai mentaliti subsidi. Contoh terbaik ialah penyanyi kelahiran Miri, Zee Avi yang turut dikenali sebagai KokoKaina.

Penyanyi itu yang nama sebenarnya ialah Izyan Alirahman telah memanfaatkan sepenuhnya saluran You Tube untuk menjadi penyanyi popular di Amerika Syarikat dan Jepun. Dengan sudah memiliki satu album yang mendapat sambutan hangat, beliau bakal mengeluarkan satu lagi album bulan depan.

Seorang lagi penyanyi muda yang merupakan lulusan UiTM, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, juga memanfaatkan Internet untuk mendapatkan sokongan peminatnya. Dan dengan berbekalkan personaliti menarik dan fasih berbahasa Inggeris, beliau berjaya mendapatkan tajaan daripada beberapa syarikat besar seperti Canon, DiGi dan Malaysia Airlines untuk membiayai impiannya mengembangkan bakat nyanyiannya di luar negara.

Tiada batasan atau kekangan bagi golongan ini. Mereka tahu bahawa bakat dan kreativiti mereka mampu membawa mereka untuk menggapai impian mereka tanpa perlu bergantung kepada bantuan kerajaan. Bakat seperti inilah yang amat diperlukan oleh negara.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa senario kreatif tempatan, khususnya dalam kebudayaan dan kesenian, telah menyaksikan peningkatan aktiviti pada masa ini.

Tidak perlu pergi jauh untuk melihat impaknya. Festival KL yang sedang berlangsung mengetengahkan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan di venue seperti Istana Budaya dan Balai Seni Lukis Negara sehingga akhir bulan ini, satu lagi bukti kesungguhan kerajaan dalam mempromosikan industri kreatif. - BERNAMA