Friday, February 18, 2011

'SAHAM SINGA' BUNUH INDUSTRI KREATIF

DEMI memenuhi kehendak selera penonton, mana-mana stesen televisyen pasti mengerah idea mereka dalam menyajikan program-program terbaik untuk dipertontonkan.

Atas tuntutan sedemikian, pelbagai rancangan direncanakan dalam direktori mereka termasuklah memberi peluang kepada syarikat produksi tempatan untuk menghasilkan program-program berkualiti untuk tatapan penonton.

Namun, timbul pula cerita yang kurang enak terhadap stesen milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) apabila dikatakan membuka ruang kepada segelintir penerbit tempatan untuk mendominasi jumlah jam untuk slot yang disediakan RTM.

Ada syarikat penerbitan dikatakan mendapat sehingga 500 jam untuk menerbitkan rancangan-rancangan RTM sehingga penerbit lain terpaksa berputih mata.

Keluhan dan rintihan para penerbit sehingga ada yang gulung tikar dan menjual studio mendapat reaksi positif daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim ketika ditemui di majlis pelancaran Anugerah Seri Angkasa 2010 (ASA 2010) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rais menegaskan tidak akan membenarkan mana-mana syarikat penerbitan menggunakan RTM sebagai batu loncatan untuk mendapatkan sesuatu projek mengikut saluran yang tidak sepatutnya. 

Beliau yang menyifatkan golongan itu sebagai mendapat 'saham singa', meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai hal berkenaan supaya melaporkan kepadanya untuk siasatan lanjut.

Janji Rais itu mendapat reaksi positif daripada beberapa penerbit yang menyifatkan itu adalah satu tindakan berani yang akan membela nasib para penerbitan tempatan yang teraniaya sekian lama.

Bukan itu sahaja, tindakan Rais turun padang untuk menyelesaikan masalah berkenaan membolehkan mereka menarik nafas lega di samping mengelak kejatuhan industri kreatif di Malaysia.

Jurey Latiff Rosli
Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli ketika dihubungi berharap agar isu itu tidak dipandang enteng oleh pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dan dapat diselesaikan segera demi kepentingan para penerbit.

"Terdapat 752 buah produksi di negara ini yang bersaing untuk mendapatkan slot siaran di stesen-stesen televisyen tempatan.

"Jika peluang sama rata tidak diberikan, bagaimana syarikat-syarikat produksi ini mahu terus hidup kalau slot tersebut asyik diberikan kepada syarikat yang sama?

"Industri di negara ini bukanlah sebesar. Kalau kerajaan tidak tampil membantu, pihak mana lagi yang boleh menghulurkan bantuan," soal Jurey yang juga Penerbit Eksekutif World Evolution Brain (M) Sdn. Bhd.

Tambah Jurey, RTM mempunyai kira-kira 4,000 jam dalam slot siarannya setahun untuk diagihkan kepada syarikat penerbitan.

Setiap satu syarikat produksi tempatan katanya, hanya memerlukan sekurang-kurangnya 20 ke 30 jam setahun untuk mengisi slot siaran demi meneruskan kelangsungan hidup.

Ruhani Ab. Rahman
Sementara itu, Penerbit Nizarman (M) Sdn. Bhd., Ruhani Ab. Rahman ketika ditanya pendapatnya mengenai janji Rais itu, dengan nada ceria berkata: "Hanya kuasa politik sahaja yang boleh merubah senario yang dilihat semakin serius ini. 

"Jika masalah ini tidak diatasi dengan segera, saya percaya, satu demi satu syarikat produksi akan gulung tikar kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang konsisten.

"Produser juga akan pening kepala kerana memikirkan alternatif lain untuk mengembangkan perniagaan mereka.

"Dalam negara ini, terdapat banyak lagi syarikat yang berpotensi untuk menghasilkan program-program bermutu untuk paparan di kaca televisyen.

"Jadi, kredibiliti tersebut sudah cukup membuktikan kami juga berhak untuk mendapat jumlah jam yang sama." 

Penerbit Eksekutif BKB Production Sdn. Bhd., Saodah Majid pula tidak pasti sejauh mana kesahihan kemelut itu.

Bagaimana pun katanya, ia sudah lama menjadi topik perbualan di kalangan teman-temannya.

"Jika benarlah situasi ini berlaku, saya harap RTM cepat memperbetulkan keadaan dan memberi peluang sama rata kepada produser lain.

"Bagaimana produser lain nak cari makan sekiranya peluang tidak diberikan? Kami pun ingin kaya juga dengan bayaran lumayan yang diberikan RTM," kata Saodah berseloroh.


Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

Thursday, February 17, 2011

‘SAHAM SINGA’ DI RTM AKAN DISIASAT


DR. RAIS Yatim bersama wakil-wakil stesen televisyen RTM, Media Prima dan Astro sewaktu pelancaran Anugerah Seri Angkasa 2010 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
 
SAMA seperti stesen-stesen televisyen (TV) lain, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memerlukan banyak rancangan seperti drama, dokumentari dan bual bicara bagi mengisi slot siaran stesen penyiaran itu pada setiap hari.

Justeru, RTM bukan setakat menerbitkan sendiri rancangan-rancangan siarannya tetapi turut menerima bekalan itu daripada syarikat-syarikat produksi swasta pada sepanjang tahun bagi memenuhi permintaan tersebut.

Bagaimanapun, dalam menerima bahan-bahan rancangan untuk siaran RTM di saluran TV1 dan TV2 terdengar banyak keluhan di kalangan penerbit swasta yang dikatakan menerima agihan pembekalan slot yang tidak sama rata.

Berhubung perkara itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pihaknya akan meneliti agihan slot pembekalan rancangan di dua saluran TV itu agar ia dibekalkan mengikut saluran yang betul.

"Dalam hal ini, saya tidak benarkan mana-mana pihak menggunakan RTM sebagai batu loncatan bagi mendapatkan sesuatu projek mengikut saluran yang tidak sepatutnya. Mereka itu adalah golongan yang mendapat 'saham singa'.

"Kalau wujud 'saham singa' atau laluan mudah untuk mendapatkan sesuatu projek dan kekayaan di RTM dengan mengetepikan pihak-pihak lain yang lebih layak, sila beritahu saya. Saya akan siasat sendiri perkara itu," komennya.
Dr. Rais mengulas isu itu pada majlis pelancaran Anugerah Seri Angkasa 2010 (ASA 2010) yang akan diadakan pada 18 dan 19 Februari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Isu itu timbul apabila ada yang mendakwa terdapat segelintir penerbit mendapat sehingga 500 jam setahun bagi membekalkan slot rancangan di RTM sehingga mengetepikan penerbit-penerbit lain yang mempunyai kelayakan sama.
"Dalam hal ini, saya akan pastikan supaya RTM bersikap adil dalam memberikan slot pembekalan rancangan di TV1 dan TV2. Kalau betul ia berlaku sila tampil ke depan dengan bukti dan kami akan siasatnya dengan segera," janjinya.

Pada majlis itu, Dr. Rais menjelaskan ASA 2010 mencatat sokongan yang positif bukan sahaja daripada kalangan tiga stesen penyiaran tersebut tetapi juga jumlah pencalonan yang diterima pada kali ini.

Jelasnya, anugerah itu kali ini meningkat 20 peratus berbanding penganjuran tahun 2006 di mana tahun ini kita menerima 521 pencalonan. Ini suatu angka yang besar dan amat membanggakan semua pihak yang terbabit.

"Tahun ini secara keseluruhannya 198 pencalonan kategori radio dan 323 pencalonan kategori TV telah diterima untuk bertanding pada ASA 2010. Turut diselitkan ialah kategori Tokoh Seri Angkasa.

"Bagaimanapun daripada lebih 600 pencalonan yang kami terima daripada semua stesen TV ada di antaranya yang ditolak penyertaannya kerana ia diluar jangka masa siaran yang telah ditetapkan iaitu dari 1 Jun hingga 31 Julai 2010," ujarnya.

AS A 2010 menyaksikan RTM mendominasi kebanyakan kategori pada kali ini, apabila menerima 111 kategori radio dan 133 kategori TV, Astro (25 kategori radio, 76 kategori TV) dan Media Prima Berhad (17 kategori radio, 100 kategori TV).

Selain tiga penyiar gergasi tanah air itu, ASA 2010 turut disertai oleh organisasi dan syarikat seperti Bernama, Filem Negara, THR, 988 FM, Cats FM dan Suria FM yang turut menghantar pencalonan masing-masing.

Anugerah yang diiktiraf oleh kementerian terbabit menyaksikan pertembungan drama-drama yang disiarkan Astro Prima apabila RTM mempertaruhkan dua drama berjudul Perempuan dan Sekudus Doa Arisya serta Astro Prima (Denai Berbisik dan Anak-Anak Lorong).

Dengan tema yang kebanyakannya bertemakan kemanusiaan yang sarat dengan mesej dan telah meruntun hati para penonton seperti Anak-Anak Lorong dan Perempuan mampu mengangkat salah satu daripadanya sebagai pemenang kategori Drama TV Terbaik.

Bagi kategori Pengarah Drama TV Terbaik ia memperlihatkan pertembungan antara pengarah lama dan baru seperti Erma Fatima dan Mohd Fahmi Sarindi yang mempertaruhkan drama arahan masing-masing yang mempunyai garapan tersendiri.

Dalam hal ini, selain gaya arahan termasuklah pergerakan kamera dan latar lokasi penggambaran dijalankan, jalan cerita sesebuah drama dan keberkesanan lakonan para pelakonnya juga menyumbang ke arah itu.

Saham Neraka arahan Erma Fatima dan Sebelum Akhirat arahan Murali Abdullah tentunya paling mencuri tumpuan para juri di mana ia tidak menghairankan jika salah salah satu daripadanya muncul sebagai pemenang kategori ini.

Selain kategori drama, rancangan berbentuk hiburan atau konsert juga mendapat perhatian ramai, contohnya kategori anugerah Pengacara TV Terbaik yang membariskan lima finalisnya iaitu Ally Iskandar, Sarimah Ibrahim, Cheryl Samad, Wan Kamarudin Wan Ibrahim dan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Calon paling sengit bagi mengungguli anugerah itu ialah Sarimah Ibrahim dan Ally Iskandar di mana kalau salah seorang daripadanya memenangi anugerah itu ia mungkin sukar untuk mendapat bantahan ramai.




Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar HAFIZ JOHARI


Monday, February 14, 2011

Selamat menyambut Maulidur Rasul 1432H

En. Jurey Latiff Rosli
Presiden PTVM, En. Jurey Latiff Rosli mengucapkan Selamat menyambut Maulidur Rasul 1432H masihi 2011 kepada seluruh rakyat Malaysia. Sambutan yang akan diadakan pada hari esok 15 Februari 2011, selasa bersamaan 12 R.Awal 1432H. Dengan TEMA KEBANGSAAN 2011 “1 MALAYSIA 1 UMMAH” yang bertujuan umat Islam diseru untuk bersatu dengan menyayangi agama, bangsa dan negara di samping menanam azam bagi melahirkan satu ummah yang mampu membawa kedamaian dan keadilan berpaksikan kepada al-Quran dan sunah.

PENUNDAAN TARIKH MAJLIS TAKLIMAT DANA INDUSTRI KREATIF BERSAMA BSN.

Khas kepada Ahli-Ahli PTVM :

Adalah dengan segala hormatnya dimaklumkan Majlis Taklimat Dana Industri Kreatif Bersama BSN yang sepatutunya diadakan pada 16 Februari 2011 (Rabu), masa 3.00 petang, bertempat di Bilik Melaka, PWTC terpaksa ditunda di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Kesulitan tersebut disebabkan di atas pihak BSN, iaitu Encik Mohd Som bin Abu Pengurus Pinjaman Industri Kreatif, dipanggil oleh Timbalan Perdana Menteri pada hari dan waktu yang sama berkenaan isu Dana Industri Kreatif.

Tarikh terbaru untuk majlis tersebut akan dimaklumkan dengan kadar segera.

Segala kesulitan amat dikesali. Sekian, dimaklumkan.

Sunday, February 13, 2011

PTVM kesal diketepikan penganjur ASA 2010

Jurey Latiff Rosli

Nampaknya tulisan Kak Pora mengenai isu penganjuran Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2010 dalam ruangan ini minggu lalu, yang sepi tanpa promosi mendapat perhatian banyak pihak dalaman industri hiburan. Kak Pora sendiri pun terkejut apabila tiba-tiba ASA 2010 kembali. Tiada isyarat dan bunyi, ASA 2010 muncul selepas lebih tiga tahun tidak dianjurkan.

Lagi membuatkan Kak Pora terpinga-pinga apabila pengumuman acara itu dibuat dalam tempoh kurang tiga minggu daripada tarikh majlis ASA 2010 akan berlangsung. Jangankan Kak Pora yang terkejut, perasaan sama turut dikongsi Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) yang dipimpin Jurey Latiff Rosli.

Sebelum ini, Jurey ada memberitahu keinginan mereka untuk menganjurkan Anugerah TV 2010 selepas tiada pihak berminat untuk meraikan sumbangan penggiat di balik tabir industri penyiaran.  Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa ditangguhkan apabila dimaklumkan ASA 2010 akan kembali dianjurkan. Lalu, Jurey menyatakan PTVM sedia membantu jika penganjur memerlukan pertolongan.

Tunggu punya tunggu, Jurey beritahu Kak Pora, mereka hanya tahu mengenai ASA  2010 menerusi akhbar dan televisyen. Usahkan dijemput untuk hadiri sidang media, PTVM langsung tidak dimaklumkan mengenai penganjuran ASA 2010. Pelik juga ye kerana pemain utama dalam industri penyiaran pun tak tahu menahu mengenai ASA 2010. Bila ditanya kepada pihak berkenaan, mereka berdolak-dalih dan menyalahkan orang lain menguruskan isu jemputan.

Jurey berpendapat, ASA 2010 sepatutnya diraikan secara besar-besaran terutama selepas empat tahun tidak dianjurkan. Apatah lagi, ia adalah satu-satunya acara yang meriahkan seluruh penggiat industri penyiaran. Tetapi semua itu cuma menjadi angan-angan. Mungkin kerana peranan PTVM yang belum jelas seperti Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membuatkan badan penyiaran menolak untuk bekerjasama dengan mereka. PTVM seperti tidak dipandang langsung sedangkan mereka banyak memainkan peranan dalam perjuangan untuk menjaga kebajikan penerbit dan pekerja industri televisyen.

Jawapan diberi mereka akan menjemput ahli PTVM pada malam kemuncak nanti. Kak Pora tengok tarikh ASA 2010 makin dekat kad jemputan belum diedarkan lagi. Agak Kak Pora pihak yang dipertanggugjawabkan menguruskan hal itu tidak menyimpan alamat tetamu untuk diundang. Takkan semua benda mahu ditunggu pada saat akhir? Jika PTVM sudah menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama, mengapa tidak peluang itu diambil untuk merangka pelbagai pengisian seperti dibuat Festival Filem Malaysia (FFM) saban tahun.

Kak Pora faham mengapa Jurey mengeluh. Memanglah terasa kalau berada di tempat mereka. Namun, seperti kata Jurey, sebagai pemain utama industri penyiaran, PTVM tetap bangga kerana selepas sekian lama menanti ada pihak yang prihatin dan menghargai penat lelah mereka. Tetapi bila benda seperti ini berlaku, mereka berasa hati. Tindakan itu seolah-olah peranan mereka tidak diperlukan bagi menperkemaskan jentera penganjuran ASA 2010. Malaslah Kak Pora nak mengomel panjang-panjang mengenai ASA 2010.

(keratan akhbar Berita Minggu, Ahad 13 Februari 2011)

Monday, February 7, 2011

Penghargaan untuk Anak

 PENGIKTIRAFAN masyarakat dunia terhadap filem Malaysia menerusi majlis anugerah seperti festival menjadi pencapaian terbaik pada produser tempatan terus menghasilkan karya bertaraf antarabangsa.
Kejayaan ini bukan saja bersifat peribadi, tetapi dianggap kayu pengukur dalam menilai sejauh mana hasil kerja anak seni tanah air kita mampu menandingi karya luar negara yang sudah tentu mempunyai kelebihan dari aspek bajet dan tenaga produksi besar.
Jika dilihat pada kejayaan antarabangsa sebelum ini, filem tempatan sudah menembusi pasaran dunia. Filem Kaki Bakar arahan U-Wei Saari menjadi filem pertama negara ditayangkan pada acara berprestij, Festival Filem Cannes, Perancis pada 1995.

Turut menjadi kebanggaan apabila filem Karaoke arahan Chris Chong Chan Fui menang anugerah Mavericks di Festival Filem Antarabangsa Calgary, Kanada, dua tahun lalu.

Begitu juga, Allahyarham Yasmin Ahmad diangkat Pengarah Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-54 berlangsung di Taiwan pada awal Disember tahun lalu. Kemenangan menerusi filem Muallaf ini adalah kejayaan tertinggi filem tempatan di pertandingan antarabangsa itu.

Meneruskan kegemilangan, filem pendek Anak arahan Martias Mohd Ali pula berjaya meraih anugerah khas juri pada pertandingan filem pendek dikenali Festival Social & Corporate Responsibility International Promotional Theatre (Script 2011) diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Gokulam, Cochin Metropolis, India selama dua hari pada 28 Januari lalu.

Martias yang menjadi wakil tunggal negara ke sana berkata, acara julung kali anjuran Rotary Club of Cochin Metropolis dengan kerjasama Public Broadcasting Service Trust dan Indian Documentary Producers Association (IDPA) ini menyaksikan enam karya bertanding untuk kategori Antarabangsa termasuk Sepanyol sebanyak tiga penyertaan, Australia (1) dan Austria (1).

Walaupun filem Sepanyol, Boy In The Closet menang anugerah Filem Pendek Terbaik tetapi Anak, terbitan Two Tones Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) tetap berbangga dengan kejayaan Golden Halo Awards.

“Sambutan yang diterima daripada karyawan mahupun penonton di sana terhadap Anak memang cukup hebat. Ada antara mereka bukan saja bertepuk tangan apabila Anak selesai dipertontonkan tetapi ada yang berjumpa saya menyatakan filem ini mampu menang.

“Bagi saya, kejayaan anugerah ini menjadi pencapaian awal untuk penyertaan
di festival seterusnya. Maklum balas yang diterima, penonton menyatakan Anak adalah suatu karya yang menarik perhatian ramai dan tidak pernah terfikir mengenai subjek pemanasan global yang ingin diperjuangkan.

“Malah, juri berkata, Anak mencetuskan tanda tanya pada penonton pada peringkat awal dan akhirnya memberi kesedaran pada semua penonton.


 “Pada pertandingan ini, ada juga subjek lain diketengahkan seperti kelaparan, pembunuhan gajah dan ikan paus, sebaliknya hanya Anak membawa kisah mengenai kepentingan menjaga pokok.

“Jika dilihat, karya lain yang bertanding memang cukup hebat pada aspek penceritaan dan penyampaian. Saya turut kagum hasil Boy In The Closet membawa kisah budak lelaki menyelamatkan adiknya ketika peperangan seolah-olah filem cereka,” katanya.

Kata Martias, enam juri dipertanggungjawab mengadili karya bertanding iaitu bekas pemenang Aktres Terbaik, Revathy Menon; wartawan dan juga pemenang anugerah International Journalist Author & Documentary Film Maker, Anita Pratap; editor filem, Bina Paul Venugopal; bekas Naib Presiden IDPA, Ajithan G Kurup; wakil akhbar Indian Express, E P Unny dan juruaudit, Jose Dominic.

“Saya melihat penganjuran acara ini juga mencatat kejayaan. Menariknya, ada produser di sana yang berhasrat menjalin kerjasama untuk projek seterusnya.

“Dari aspek CGI, mereka juga kagum. Malah, Anak bukan saja mencatat kemenangan tetapi secara tidak langsung mempromosikan Malaysia apabila membuatkan mereka tertarik melancong ke sini.

“Daripada 17 penyertaan Anak yang dihantar ke pertandingan seluruh dunia, Jepun dan Barcelona sudah memberi maklum balas filem ini disenarai pendek. Begitu juga, Festival Filem Cannes masuk peringkat kedua proses pemilihan.

“Biarpun Anak gagal menang pada Anugerah Profima, baru-baru ini tetapi kejayaan di Script 2011 tetap mengubat kekecewaan. Langkah seterusnya, saya masih berusaha ingin menayangkan Anak sempena Hari Bumi pada 22 April nanti.

“Untuk itu, saya ingin mengajak syarikat korporat untuk bekerjasama. Saya juga berhasrat mengadakan pertandingan filem pendek atas tujuan korporat, sosial dan tanggungjawab (CSR).

“Harapan saya, jika Anak dapat ditayangkan sekurang-kurangnya di 10 negara, ia sudah menjadi kebanggaan pada saya dan produksi ini,” katanya.


(Keratan Akhbar Harian Metro, Oleh Elrafaei Sapi. ahmadelrafaei@hmetro.com.my)