Thursday, March 31, 2011



KEDENGARAN nada suara tinggi lelaki separuh abad memecah suasana sunyi di sebuah rumah banglo. Lelaki itu memberi respons kepada isterinya mempersoal mengapa dia masih membenarkan bekas menantu bekerja di syarikatnya.

Perbualan antara suami isteri itu kemudian terganggu apabila pengarah berkata 'cut!'. Itu antara adegan menarik yang ingin dipaparkan menerusi drama bersiri Sahara, yang mula disiarkan menerusi slot Samarinda di TV3, sejak semalam. ia disiarkan setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam.


Drama 25 siri arahan Jamal Khan ini mengisahkan hubungan adik-beradik iaitu Sahara sebagai kakak yang terlalu menyayangi adiknya, Hartina sehingga sanggup berkorban dan mengalah demi membahagiakannya.
Mengikut skrip Sharifah Abu Salem, Sahara yang lima bulan menjanda turut berkorban memberi cinta keduanya bersama Ashraf pada Hartina walaupun mereka bercadang untuk berkahwin.

Memberi kekuatan, watak utama Sahara dijayakan pelakon berpengalaman, Nanu Baharudin manakala bakat baru, Tasha Shilla Razak diberi kepercayaan membawa watak Hartina serta Ammar Alfian Aziz sebagai Ashraf.


 Produser, Zainuddin Mohd Ismail berkata, cabaran menghasilkan drama ini bermula sejak di peringkat awal seperti pemilihan pelakon yang sesuai mengikut watak dan kehendak stesen TV.

Katanya, perbincangan antaranya dengan TV3 penting dalam mencapai keputusan bersama dan menghasilkan drama terbaik yang berkualiti dan memberi kepuasan pada penonton.

"Sejak awal sebelum penggambaran bermula, Nanu, Tasha dan Ammar memang menjadi pilihan pertama kami untuk membintangi drama ini.

"Begitu juga, apabila drama ini mendapat slot Samarinda, saya percaya slot ini mempunyai peminat tersendiri yang menantikan drama baru ditayangkan.
"Bagi saya, kekuatan drama ini bergantung pada pelbagai aspek seperti skrip yang bagus, barisan pelakon dan pengarah yang sesuai.


"Saya berharap drama ini tidak mengecewakan TV3 dan penonton apabila ia disiarkan. Saya bersyukur kerana mempunyai barisan kru yang memberi kerjasama terbaik dalam menjayakan proses penggambaran," katanya ketika ditemui di lokasi sebuah banglo mewah di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Jamal pula berkata, drama ini yang membawa kisah keluarga dianggap memberi cabaran besar padanya termasuk tanggungjawab pada dua watak utama lakonan Nanu dan Tasha.


 "Ketika penggambaran, Nanu tidak mempunyai masalah pada aspek lakonan cuma saya lebih perhatikan lakonan Tasha. Pada mula penggambaran, banyak 'take' digunakan pada Tasha tetapi semakin lama dia berlakon, dia mula menunjuk peningkatan pada diri.

"Lokasi juga memberi cabaran apabila penggambaran di kawasan luar tertangguh kerana hujan. Paling mencabar apabila lima adegan yang sudah dirakam hilang dan terpaksa melakukan penggambaran semula," katanya.

Dalam memberi hasil pengarahan terbaik, Jamal juga memberi fokus pada lakonan Ammar yang membawa karakter 'berat' iaitu kematian tunang dan bercinta dengan wanita lebih berusia iaitu Sahara.

"Pelakon baru tidak memberi masalah pada saya kerana mereka juga berbincang dengan saya dalam mendapatkan penghayatan sepatutnya. Saya fikir watak Sahara lebih mencabar kerana banyak bermain emosi dalaman.

"Cabaran lain, ada adegan kemalangan jalan raya membabitkan watak Helmi lakonan Zack Kool yang perlu diteliti. Apapun, saya berterima kasih pada produser kerana percaya pada kerja saya.
 

"Akibat sibuk kejar tarikh siaran, saya hanya memberi tumpuan di lokasi dan tidak sempat membuat proses suntingan. Namun, saya dengan produser tetap berbincang untuk memastikan hasil yang dipertontonkan berkualiti dan terbaik," katanya.

Penggambaran drama ini dijangka mengambil masa 40 hari dengan mengambil lokasi di Bukit Jelutong, Shah Alam, sekitar Lembah Klang termasuk Port Dickson, Negeri Sembilan.

Memberi kelainan, Nanu, Tasha dan Ammar diberi latihan selama sehari menunggang kuda untuk memenuhi kehendak adegan yang dirakam. Kata Jamal, ada adegan kemalangan membabitkan Tasha melanggar Sahara ketika menunggang kuda.



JUDUL: Sahara
PRODUKSI: Enuja Production Sdn Bhd
PRODUSER: Zainuddin Mohd Ismail
PRODUSER EKSEKUTIF:
1. Mohd Ismail Hassan Ali
2. Rahmathun Nisa Abd Wahab
PENGARAH: Jamal Khan
PENOLONG PENGARAH: Azizon Abd Razak
PENGURUS PRODUKSI: Arie Zaharie
PENGARAH FOTOGRAFI/JURUKAMERA: Junaimeramfizal Rahmat
PENOLONG JURUKAMERA: Hazizi Yais Razali
JURU AUDIO: Norhasbullah Rashid
JURU PENATA CAHAYA: Ruddy Armizal @ Mohd Mizan Othman
KONTI: Lenny Merlina Md Yusuf
JURUSOLEK: Suraiya Hussin
WARDROBE: Hanafiah Abd Majid
PROP MASTER: Dzulhady Ruslan
PROPMAN: Mohd Nasriq Ariffin
PEMBANTU AM: Aizol Arsyad Putra, Ahmad Shafiq Juhari, Mohd Ishak Mohd Ismail
BENDAHARI: Shahira Nashriq
PELAKON: Nanu Baharudin (Sahara), Tasha Shilla Razak (Hartina), Ammar Alfian Aziz (Ashraf), Esma Daniel (Rizal), Kuza (Datin Zahra), Manan (Datuk Bakri), Fadhilah Mansor (Puan Imah), Abu Bakar Juah (Mazlan), Zack Kool (Helmi)

No comments:

Post a Comment